Aku jarang dapat peluang ke tayangan premier sesebuah filem tempatan. Termasuk semalam (29/02/2012), baru tiga filem yang memberi peluang kepada aku untuk ke tayangan premier. Filem pertama, Estet, arahan Mamat Khalid dan yang kedua Hantu Kak Limah Balik Rumah juga arahan Mamat Khalid. Maka memang sangat-sangat berbesar hatilah tatkala aku dipelawa oleh Jenderal Sindiket Sol-jah, Naga untuk ke tayangan premier Bunohan semalam.

Aku tak bercadang untuk mengulas filem ini memandangkan ianya hanya akan mula ditayangkan di pawagam tempatan pada 8 Mac nanti. Cuma berdasarkan apa yang telah aku tengok ditambah dengan review dari mereka-mereka yang juga berpeluang menonton premier ini, aku sangat-sangat mencadangkan supaya kalian menonton juga filem ini pabila ditayangkan kelak. Kalau ikut kanta mata aku yang menontonnya, hampir tiada cela dan cacatnya filem ini (kecuali kalau kalian mengharapkan ada watak heroin lawa dan berkemban...ha ha ha).

Filem ini filem jantan. Filem yang dialognya seakan 'menyanyi'. Hampir 90% dialog menggunakan dialek Kelantan dan Pattani. Tapi jangan risau. Sarikata yang disediakan sangat-sangat membantu. Filem ini juga menampilkan hanya satu watak perempuan. Itupun watak pembantu. Latar belakang filem ini juga 'kasar'. Gelanggang tomoi, paya, kubur, tengkorak. Namun ianya bukan filem ganas atau seram. Kesimpulannya, memang jauh dari tanggapan awal kalau hanya dinilai melalui teaser di youtube.

Tanpa ragu-ragu aku akan mengulang semula menonton filem ini bila ianya dibuka untuk tayangan umum nanti. Untuk filem sebagus ini, aku tak ragu-ragu untuk mengeluarkan duit untuk tiket wayang dengan harapan agar pengarah akan dapat menggunakan duit tiket aku untuk membikin filem lain yang sebaik filem ini pada masa hadapan.

Jemputlah ke kampung saya, Bunohan!

Faizal Hussein - Ilham
Pekin Ibrahim - Bakar
Zahiril Adam - Adil "Bunga Lalang"
Wan Hanafi Su - Pok Yeh
Sofi Jikan - Pok Awang Sonar
Namron - Pok Lah
Tengku Azura - Mek Yah

Pengarah - Dain Said

p/s: Ulasan penuh hanya akan ditulis selepas 8 Mac 2012.