Whitesnake "Forevermore" Live In Bukit Jalil! 30.10.2011

Ok, versi penuh.

Semua sudah tahu yang David Coverdale dan rakan-rakan Whitesnake-nya telah menyerang Stadium Putra Bukit Jalil pada 30 Oktober yang lepas dalam rangkaian jelajah "Forevermore", iaitu rilisan terbaru mereka.


Penyanyi tempatan yang dijemput untuk membuka tirai persembahan adalah Ella & The Band. The Band di sini terdiri daripada Amir selaku Pengarah Muzik & pemain gitar, Rithan "DejaVoodoo Spells" sebagai pemain gitar jemputan, Joe "Wings" sebagai pemain gitar jemputan, Flybass sebagai pemain bass, Jimmy "Tempered Mental" sebagai pemain drum dan Lawrence sebagai pemain keyboard.


Dengan majoriti ahli band adalah dari Klang, maka tidak menghairankanlah kenapa aku dapat pass belakang pentas dan bersama-sama dengan mereka semua...he he he. Harus diakui mereka adalah antara pemuzik rock yang terbaik di negara kita sekarang di samping puluhan kalau tidak ratusan lagi pemuzik rock di luar sana.


Aku menjejakkan kaki di Stadium Putra pada tengahari Sabtu 30 Oktober bersama-sama dengan dua orang rakan, salah seorang daripadanya adalah "Jurugambar Rasmi" untuk band Ella & The Band ini. Aku juga memegang pass "Jurugambar Rasmi" maka secara automatik aku menjadi "pembantu" kepada kawan aku itu.

Pukul 2.00 petang kelihatan krew-krew Whitesnake masih menyiapkan kelengkapan mereka di atas pentas. Sambil melihat-lihat kawasan sekeliling, suasana kelihatan tenang seolah-olah tiada apa yang akan berlaku. Suasana yang sedikit "aneh" untuk konsert besar seperti ini. Tiada kelihatan penjual baju T tiruan seperti ketika konsert-konsert tempatan. Tiada juga kelihatan mat rock-mat rock kental yang biasanya suka datang awal ke venue persembahan. Memang janggal sungguh!

Sesi 'soundcheck' sepatutnya dijangka bermula pada pukul 3.30 petang. Tapi mungkin kerana terdapat kesilapan komunikasi, Aldrich, Beach, Devin, Ruedy dan Tichy hanya tiba pada pukul 4.30 petang. Berada di hadapan pentas ketika sebuah band rock sedang melakukan sesi 'sound check" adalah satu momen yang sukar dilepaskan. Apatah lagi band yang sedang melakukan sesi 'sound check' itu adalah band 'gergasi' seperti Whitesnake! Tanpa kehadiran Coverdale (seperti dijangka) mereka berlima melakukan ujian bunyi sambil jurutera bunyi mereka berusaha untuk mendapatkan 'setting' terbaik. Kelihatan mixer Digico 5 digunakan oleh jurutera mereka (untuk makluman, model terkini ialah Digico 9), mungkin untuk mendapatkan 'feel' dan mood bunyi sebenar Whitesnake.

Yang peliknya, tidak kelihatan walau sebutir monitor bunyi di atas pentas! Bagaimana mereka hendak mendengar apa yang mereka mainkan? Di sini sudah kelihatan salah satu daripada beberapa perkara "profesional" dan canggih yang mereka bawa. Mereka tidak memerlukan monitor tradisional kerana mereka semua menggunakan "in-ear monitor". Alat ini ialah seperti "ear phone" dan disumbat terus kedalam telinga. Ini dapat mengurangkan jumlah peralatan di atas pentas dan menambahkan ruang untuk mereka beraksi. Bijak, bijak...

Selepas hampir sejam mereka melakukan sesi ujian bunyi sambil 'jamming' 2-3 lagu-lagu "Blues" tiba giliran The Band untuk melakukan ujian bunyi. Seperti biasa, penyanyi tidak akan kelihatan ketika sesi "soundcheck" maka hanya pemuzik yang melakukan ujian bunyi. The Band dibantu oleh Andrew daripada JS Music sebagai jurutera bunyi mereka. Perkarangan stadium mula didatangi penonton (tapi masih belum tahap dibanjiri lagi). Gerai menjual cenderahati rasmi Whitesnake juga sudah dibuka. Tapi, dah nama pun rasmi, harga untuk t-shirt adalah sekitar RM 90 - RM 120. Aku hanya mampu telan air liur saja..ha ha ha.

Tepat jam 8.00 malam (suatu yang baru dalam konsert di Malaysia, konsert bermula tepat pada waktu. Dah macam Singapura..ha ha ha) The Band muncul di atas pentas. Tanpa kelibat Joe dan Ella, mereka membuka tirai persembahan dengan sebuah instrumental Blues "Bad Hair Day" ciptaan Amir. Kemudian intro "Nuri" dimainkan sebelum Joe dan Ella muncul di atas pentas. Sorakan penonton tanpa mengira kaum dan juga bangsa (orang putih juga terhangguk dengan lagu-lagu Ella ok!) membuktikan bahawa pemuzik kita juga tidaklah ketinggalan jauh sangat. Sekiranya diberikan peluang dan juga sokongan yang sepatutnya, memang boleh berdiri sama tinggi dah pemuzik kita dengan dengan pemuzik luar!




Ella menyanyikan 4 buah lagu pada malam itu. Nuri, Sembilu, Bayangan dan Layar Impian sebelum isyarat "berhenti" diberikan oleh pengurus pentas (sepatutnya Ella dijangka menyanyikan 5 buah lagu). Maka persembahan Ella diberhentikan tepat pukul 8.30 malam. Ella kelihatan melambai-lambai kearah penonton sambil menyebut "Here I go again" dengan tujuan bergurau dengan penonton.

Setelah pentas dibersihkan dan tirai hitam dibuka hingga menampakkan latar belakang HANYA logo Whitesnake sahaja (penggunaan cat "glow in the dark" pada logo tersebut juga menampakkan hasil yang sangat minimalis namun tetap gempak), tepat jam 9.00 malam Coverdale dan rakan-rakan muncul di atas pentas sambil memainkan muzik "intro" (tipikal intro untuk kumpulan rock, main chord E saja). Penonton sudah mula melonjak-lonjak dan menjerit-jerit. Dengan kehadiran sekitar 4000 penonton (sekarang boleh faham kan kenapa venue ditukar dari Stadium Negara ke Stadium Putra) tirai persembahan dibuka dengan lagu Best Years. Kemudian diikuti dengan Give Me All Your Love dan Love Aint No Stranger sebelum kawasan hadapan pentas "dibersihkan" oleh 'bouncer' bertugas (memang sudah diberitahu Whitesnake hanya mengizinkan jurukamera dan jurugambar media berada di hadapan pentas untuk 3 buah lagu pertama sahaja).



Secara keseluruhan, Whitesnake menyanyikan kira-kira 15 buah lagu, 2 sesi solo oleh Aldrich dan Beach dan satu sesi solo drum. Dengan satu encore, Still Of The Night (lagu ini ketara sudah diturunkan 'key'), solo Coverdale untuk Soldier Of Fortune dan Burn (yang dimasukkan sedikit elemen Stormbringer di akhir verse) ternyata bahawa Whitesnake memang Whitesnake! Mungkin akan ada suara-suara yang membandingkan era kegemilangan John Sykes, Rudy Sarzo dan Cozy Powell atau gandingan Vai dan Vandenberg tapi ternyata nama Whitesnake itu sendiri berdiri teguh dengan hanya satu susuk, David Coverdale!



Meskipun hampir kesemua lagu-lagu yang dimainkan sudah diturunkan 'key' (kadang-kadang kedengaran gitar di tune hingga Drop C!) tapi apa yang aku kagum, sepanjang hampir 2 jam konsert berlangsung, Coverdale menyanyi sama seperti kita mengunyah nasi. Langsung tak lupa lirik walaupun tiada "prompter" di hadapan beliau! Sama seperti konsert Iron Maiden tempohari juga tidak kelihatan "prompter" mahupun buku lirik di atas pentas. Sesuatu yang patut dimalukan oleh artis-artis tempatan. Selaku penyanyi, menghafal lirik adalah termasuk dalam bidang tugas penyanyi dan seharusnya penyanyi TANPA gagal harus menghafal lagu-lagu yang bakal mereka nyanyikan. Barulah datangnya 'feel!'.



Aku beransur dari stadium pada pukul 1 pagi dengan satu lagi pengalaman berharga menonton "raksaksa" rock dunia sambil mencongak-congak band rock mana lagi yang akan berjaya dibawa masuk oleh promoter tempatan.

Setlist Whitesnake.

1. Intro
2. Best Years
3. Give Me All Your Love
4. Love Aint No Stranger
5. Is This Love
6. Still Your Heart
7. Forevermore
8. Guitar Duel (snake dance)
9. Can You Hear The Wind Blow
10. Love Will Set You Free
11. Drum Solo
12. Deeper The Love
13. Fool For Your Lovin
14. Here i Go Again
15. Still Of The Night
16. Soldier of Fortune
17. Burn




1. Kredit kepada Dr. Ben untuk setlist lagu, kak Linda Rasul untuk gambar-gambar depan stage, Ismail Ibrahim untuk gambar-gambar belakang pentas dan Amir dan Jaikhand daripada Family Tree Production untuk 'backstage pass' ketika hari konsert tersebut.




Whitesnake: Langsung di Bukit Jalil (Pra-tayang)

Layan dulu gambar-gambar ni ye? Dapat jumpa komputer yang sempurna akan sambung lagi..:-)









Tanpa Perisai Untuk Selama-Lamanya...

Kembali kita kepada perkara asal yang menggembirakan di blog ini, muzik. Yeay!

Semenjak peninggalan blog yang sangat-sangat lama tiada kemaskini ini, beberapa album sempat aku sambar. Ada yang melalui proses pendengaran berulang kali di studio sebelum aku mengambil keputusan untuk membelinya dan ada juga yang melalui proses "download-dulu-dengar-baru-beli". Kedua-dua proses ini ternyata memberikan hasil yang sangat-sangat berbaloi kepada album yang dibeli.


Album ini telah melalui proses pengulangan banyak kali di studio tempat aku melepak dan buat kerja "runcit-runcit". Pertama kali mendengar track "Love Will Set You Free," sudah rasa macam "Wow!". Sound gitar yang garang pada hampir keseluruhan lagu dan juga ballad yang bercampur elemen country ala-ala US Rock ternyata membuka mata hampir semua peminat Whitesnake khususnya dan peminat muzik rock amnya hinggakan banyak komen-komen di internet yang menobatkan album ini sebagai "Best Rock Album Of The Year".

Asal daripada CD yang dibeli oleh kawan melalui Amazon.com (yang kemudiannya aku beli sekeping juga melalui mudah.my), juga disertakan DVD "The Making Of Forevermore". Dengan penceritaan oleh Coverdale, Aldrich dan semua bandmates, nampak yang mereka benar-benar enjoy ketika merakamkan album ini. Studio rakaman berupa sebuah rumah agam (aku lupa lokasinya) dengan kelihatan SSL (Solid State Logic) Board yang terkini, Gibson Les Paul Custom Black Beauty (ada kenai ka gitar ni? hehehe), set drum 'jumbo kit' 24', tak menghairankanlah kenapa sound band ini begitu "besar" kedengaran di dalam album ini.

Memetik kata-kata Coverdale di dalam DVD "The Making" ini, beliau sendiri tidak menetapkan apa-apa peraturan kepada ahli kumpulan yang lain. Mereka bebas untuk buat "project" band atau main gig-gig luar cuma apabila bersama Whitesnake, mereka harus menumpukan kepada band. Patutlah semuanya nampak gembira ketika sesi rakaman album!

Tracklist album:

1. "Steal Your Heart Away"

2. "All Out of Luck"

3. "Love Will Set You Free"

4. "Easier Said Than Done"

5. "Tell Me How"

6. "I Need You (Shine a Light)"

7. "One of These Days"

8. "Love and Treat Me Right"

9. "Dogs in the Street"

10. "Fare Thee Well"

11. "Whipping Boy Blues"

12. "My Evil Ways"

13. "Forevermore"



Whitesnake 2011

(Dari kiri: Doug Aldrich, Michael Devin, David Coverdale, Reb Beach, Brian Tichy)



Satu yang aku belajar melalui pengamatan, kalau nak dengar orkestra dengan pengaruh klasikal, Eropah adalah tempat yang paling sempurna! Begitulah yang dapat disimpulkan melalui rilisan sempena 25 tahun ulangtahun Helloween ini. Perbezaan yang sangat ketara sekiranya kita mendengar album ini dengan album Metallica S&M sekiranya ingin dibuat perbandingan (walaupun San Francisco Orchestra itu dipimpin oleh Michael Kamen).

Paling aku teruja, Prague Symphony Orchestra yang memainkan hampir keseluruhan bahagian klasikal dalam album ini, berjaya mengadunkan elemen klasikal dengan sangat baik ke dalam lagu-lagu metal Helloween. Andi Deris juga berjaya membawakan suara beliau supaya 'kena' dengan lenggok muzik 'gubahan baru' yang digubah sempena album ini. Paling ketara elemen "horns" yang sangat jelas dan sangat menarik dalam gubahan lagu-lagunya. Mengingatkan aku kepada kolaborasi Wings dan Orkestra Simfoni kebangsaan ketika Konsert Opera Hidup tempohari...:)

Lagu yang paling menarik minat aku dalam album ini sudah tentulah The Keepers Trilogy, sebuah medley yang menggabungkan 3 lagu epik Helloween - Halloween, Keeper Of The Seven Keys dan The King Of 1000 Years. I Want Out juga digubah dengan begitu baik dengan elemen koir 'kanak-kanak' pada permulaan lagu.

Memang album ini sudah tidak kedengaran "garang" langsung pada peminat-peminat tepu metal. Tapi sebagai pecinta muzik, sekali-sekala apa salahnya buang "distortion" tu jauh-jauh, relaks di kerusi sandar sambil melayan gabungan 2 genre muzik yang pada zahirnya "bertentangan" ini.

Tracklist:

1. "Dr. Stein"

2. "Future World"

3. "If I Could Fly"

4. "Where the Rain Grows"

5. "The Keeper's Trilogy"

6. "Eagle Fly Free"

7. "Perfect Gentleman"

8. "Forever And One (Neverland)"

9. "I Want Out"

10. "Fallen to Pieces"

11. "A Tale that Wasn't Right"

Helloween 2011

Andi Deris, Michael Weikath, Sascha Gerstner, Markus Grosskopf, Daniel Löble


p/s: Gambar dan tracklist di ambil dari internet. Tak sempat nak shoot gambar dari CD sendiri..:)


Selamat Tinggal Gaddhafi!

Salam sejahtera semua. Minggu lepas aku kira banyak memahatkan sejarah-sejarah baru untuk dikenang oleh insan-insan pada masa akan datang. Antara yang paling besar selain daripada "Himpun" yang tak berapa nak himpun itu adalah berita Kolonel Muammar Gaddhafi berjaya dibunuh oleh pemberontak Libya

Banyak respon atas kematian beliau. Kiranya reaksi bercampur baur. Ada yang suka, ada juga yang bersedih. Kebanyakan yang bersedih pula kerana mengenangkan kenapa mayatnya diperlakukan sekejam itu padahal beliau sudah merayu untuk tidah dibunuh.

Apapun, suka untuk aku berkongsi di sini catatan daripada seorang rakan "alam maya" dan alam nyata yang mempunyai pengalaman bermastautin di Libya selama hampir 3 tahun (2009-2011). Beliau mempunyai pandangan yang tersendiri mengenai pemimpin Arab-Afrika itu. Kita tidak semestinya bersetuju namun ada baiknya kita membaca keseluruhan entri sampai habis sebelum meninggalkan komen.

Klik di sini untuk membaca di blog beliau

Kredit untuk Libyaman aka Baba Zahra'

Reminiscences of Abang Besar of Libya

Dalam surat-surat terakhirnya kepada Commandante Che Guevara, Yang Teramat Mulia Dr. Fidel Castro seringkali memujuk mengajaknya kembali ke Cuba. Ketika menulis surat-surat tersebut, Fidel menyebut tentang kestabilan Cuba yang mereka perolehi sesudah revolusi. Celia Sanchez menyentuh tentang romantisme revolusi itu sendiri, dan bagaimana pendukung revolusi itu perlu meneruskan legasi yang terbentuk bagi menjaminnya terus hidup. Namun Che Guevara ialah seorang revolusioner, yang tegas bahawa seorang revolusioner perlu berjuang, bukan sekadar mentadbir meneruskan legasi sebuah revolusi yang sudah terbentuk. Itu kerja sebahagian besarnya dimonopoli orang politik.


Pada 19 Januari 2009, ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Benghazi, Libya, imej pegun paling kukuh dalam ingatan gua adalah imej Kolonel Muammar Gaddhafi. Selain itu, lapangan terbang Benghazi, dihiasi dengan bangkai-bangkai kapal terbang, kereta kebal dan kubu-kubu tentera (bunkers) yang menyebabkan bulu roma gua sedikit meremang. Suasana Argentina ketika Ongania dan Chile ketika Pinochet sentiasa bermain dalam kepala hotak gua.


Suasana Libya, yang disurahkan kepada gua sebelum ke sana, adalah mirip Syria ketika Assad (bapa) memerintah. Tahun 1996, pertama kali ke Syria, adalah pengalaman yang sangat tidak menyeronokkan. Gambar kepala Assad (plague) yang menyerupai sisi Queen Elizabeth pada wang syiling British, wujud di setiap 360 darjah pemandangan. Perjalanan terasa bagaikan diperhati, pergerakan rasa bagaikan diekori, dan sebaik melepasi sempadan untuk ke Turki, hati rasa lega bagaikan baru lepas kena interview dengan pak mertua ketika kali pertama bertemu.


Tapi Benghazi adalah dunia yang berbeza. Warganya tidak langsung bimbang untuk mengkritik Gaddhafi. Mungkin pada mereka Gaddhafi berada 1200 kilometer nun di Tripoli, rasa bimbang tidaklah begitu hebat. Namun masih dalam berhati-hati, kerana para soldadu, mukhabarat dan polis rahsia sentiasa menjadi mata dan telinga. Beruntung, kerana gua sampai di Libya pada tahun 2009, bukannya ketika era embargo, saat ahli keluarga boleh menjadi tali barut pemerintah, saat isteri boleh menghantar suami ke penjara rahsia dengan hanya satu panggilan dan dibalas ganjaran wang, saat anak boleh menyebabkan ibu-bapa diheret polis rahsia hanya untuk merebut harta pusaka.


Libya pada 2009 sudah sangat terbuka. Pelabur luar sudah mengerumun untuk mengaut kekayaan minyak Libya. Dasar Gaddhafi juga sudah sedikit berubah. Selepas 40 tahun revolusi, Gaddhafi tahu bahawa hari-hari akhirnya semakin hampir. Saiful Islam lebih banyak memainkan peranan pentadbiran, menjadi penghubung untuk negara-negara Eropah, menjadi pemikir untuk menarik pelabur. Namun, The Leader masih lagi kuasa tunggal dan mutlak. Mana mungkin bangsa Arab diperintah oleh demokrasi, buktikan!


Pembangunan di Libya sangat pantas. Dengan rizab minyak yang paling besar di Afrika, dan kesepuluh terbesar dunia, duit bukanlah satu masalah, pada ketika warganya cuma berjumlah sekitar 6 juta orang. Rumah-rumah kediaman didirikan di segenap pelusuk negara. Dari bandar besar di Tripoli dan Benghazi, sehinggalah pekan-pekan kecil di Nalut dan Beyda, rumah-rumah kediaman dibina sebesar saiz rumah Semi-D kebanggaan rakyat Bolehland. Dan sebahagian besar rumah kediaman diberikan secara percuma. Tanpa sebarang bayaran. Bahkan pemuda yang berkahwin, yang mengikut skim bantuan kerajaan, akan menerima sebuah rumah, kereta dan wang sara hidup pada awal perkahwinan.


Pendidikan di Libya adalah percuma. Tanya sahaja kepada mereka yang belajar di Libya dan menerima biasiswa selama pengajian di sana. Mereka menerima penempatan, wang saku dan tiada bayaran yuran pengajian. Itu untuk warga luar, apatah lagi untuk anak bangsa mereka sendiri. Lihatlah bagaimana mewahnya kehidupan pelajar Libya di Kuala Lumpur yang menerima sekitar 5-7 ribu sebulan duit biasiswa kerajaan. Lihatlah bagaimana meriahnya kedutaan Libya satu ketika dahulu setiap awal bulan, ketika mereka beratur untuk mengambil habuan masing-masing.


Kebanyakan hospital di Libya adalah percuma. Ketika era embargo, para doctor dan jururawat kesemuanya didatangkan dari negara blok kiri. Bahkan sehingga ke hari ini, kebanyakan hospital kerajaan masih lagi menggaji para doctor dan jururawat luar. Bahkan hospital-hospital kebanyakannya dinamakan mengikut kerakyatan doctor dan jururawat dominan di hospital itu sendiri. Ada hospital Bulgaria, hospital Malta, hospital Rusia dan sebagainya. Lebih menarik, kerajaan mendirikan hospital-hospital pakar dan sangat sedikit hospital umum. Jika tangan patah terus sahaja ke hospital pakar tulang, untuk kanak-kanak sudah tersedia hospital pakar pediatric dan seterusnya. Dalam radius 20km di Tripoli sahaja ada dua hospital pakar tulang, bukti warga Libya memang kerap patah kaki dan tangan.


Di sebalik pembangunan yang sangat pesat, khususnya di Tripoli, Gaddhafi sentiasa mengawal perkembangan ekonomi yang diterajui oleh Saiful Islam. Gaddhafi tidak mahu Libya menjadi seperti Dubai, yang akhirnya didominasi oleh warga asing. Gaddhafi tetap mahu Libya diterajui oleh warga Libya sendiri. Syarikat asing yang melabur diwajibkan membuat JV dengan syarikat tempatan. Setiap seorang pekerja luar yang dibawa masuk, mestilah dalam tempoh lima tahun mampu mencurahkan kepakarannya kepada 5 orang warga tempatan. Urusniaga kadangkala menjadi terlalu sukar kerana pelbagai kekangan birokrasi, yang rupanya bertujuan untuk mengawal ekonomi negara. Untuk mendapatkan bayaran bagi sebuah projek, adakalanya mengambil masa sehingga setahun, sesudah mendapat kelulusan pelbagai peringkat, selepas mendapat kepastian pakar-pakar yang diupah dari luar dan mendapat lampu hijau kewangan daripada People’s Congress sendiri.


Kesemuanya kelihatan sangat socialist. Kadangkala sangat communist. Tapi siapa yang dapat menafikan bahawa di sebalik communism dan socialism itu banyak tersembunyi pelbagai keindahan, dan ada ketikanya kesedihan. Revolusi, bagi kebanyakan warga, adalah indah pada awalnya sahaja. Jubilant at the very beginning, pain in the mid, and ending with horror.
Gaddhafi terlepas pandang pada bahagian Timur, yang kebanyakan masih didokong oleh penyokong Raja Idris. Mereka geram kerana penumpuan awal pembangunan di Libya tertumpu pada Tripoli dan Sirte. Walaupun revolusi yang dipimpin pada usia 27 tahun itu tidak menumpahkan setitis darah, cengkaman dictator selama 42 tahun pemerintahannya memang menyebabkan rakyat Libya hidup dalam kebimbangan. Tapi di negara Arab mana yang kebebasannya memungkinkan rakyat untuk bersuara bebas mengkritik sang pemimpin? Lebanon yang mencuba sejak sekian lama masih lagi belum bertemu noktahnya.


Tapi lewat ini, Gaddhafi kelihatan semakin toleransi. Ketika perancangan pembangunan ekonomi negara diserahkan kepada Saiful Islam, negara Libya sememangnya melalui satu era yang menyebabkan seluruh pelabur dunia boleh meleleh air liur. China dan Turkey, adalah contoh dua negara yang menggunakan sepenuhnya hubungan baik dengan Libya bagi kepentingan para pelabur mereka. Bahkan kerajaan China dengan kuasa buruh yang dominan, telah bertindak bijak memberikan pembangunan untuk ditukar dengan minyak. Rumah-rumah yang dibina oleh kerajaan China melalui syarikat-syarikat pelaburan mereka, kadangkala gua rasa tidak masuk akal. Rakyat Libya cuma sekitar 5 juta orang, tapi kawasan perumahan baru yang dibangunkan bagai mahu menampung 15 juta penduduk.


Satu ketika, seorang Project Manager yang baru pertama kali tiba di Tripoli bertanya kepada gua, di manakah rakyat Libya yang miskin? Ini kerana dia melihat rumah-rumah besar di sepanjang jalanraya Tripoli seakan mustahil untuk mengatakan kewujudan warga yang miskin. Betul, mustahil jika tiada yang miskin. Gua bawa bersiar ke Janzour untuk melihat rumah-rumah flat tepi laut, juga anak-anak muda yang melepak tepi jalan setiap malam sambil melayan ganja, katanya ini tidak susah, kerana mereka masih tetap punyai tempat tinggal.


Itulah satu factor yang menyebabkan kita perlu rasa cemburu. Penempatan untuk warganya tidak dibina sekadar melepas batuk ditangga. Rumah flat yang paling bangsat di tepi laut di Janzour pun ada 4 bilik tidur serta dua ruang tamu. Warga Benghazi yang memaki hamun Gaddhafi itu, tinggal di rumah-rumah flat yang 4 kali lebih besar daripada flat bandaraya kebanggaan DBKL. Sejauh Darna dan Tabruq, yang mempunyai tanah yang lebih luas, rumah-rumah kediaman yang dibina adalah lebih mewah. Semi-D 4 atau 5 bilik, adalah sesuatu yang sangat biasa. Semuanya dibina konon untuk dijual tapi pada akhirnya rakyat akan memiliki tanpa perlu membuat sebarang bayaran.


Secara umum, kekayaan hasil minyak memang diagihkan dengan sebaiknya. Gaddhafi mahu memberikan semua benda kepada warganya, supaya mereka terus gembira dan diam. Penganggur yang mengangkat senjata bersorak dan berlagak ala guerrilla dalam TV yang lu orang lihat itu, membesar dengan duit subsidi negara. Lelaki berjambang dan berjanggut yang mengetuk kepala Gaddhafi itu, gua sangat yakin setiap bulan akan ke stor-stor makanan menghulurkan kad pengenalan untuk digantikan dengan tepung, gula, spaghetti, minyak dan beras. Atau paling kurang, kesemua mereka yang membenci Gaddhafi di Benghazi itu, tidak membayar bil elektriknya!


Benar, gua sendiri sudah jemu melewati pintu besar penjara Abu Slim yang menjadi igauan ngeri setiap warga Libya itu. Betul, di penjara itu jugalah 1200 orang inmates ditembak mati hanya satu malam. Betul juga, ketika pemerintahannya Gaddhafi menjadi satu ikon yang menakutkan bagi mereka yang cuba bersuara untuk menentang. Betul juga, Libya tidak pernah mengadakan pilihanraya dan tiada satu parti politik pun yang wujud ketika era Gaddhafi.


Tapi, apa perlunya igauan ke atas sebuah penjara yang punya hanya tiga bangunan dan selebihnya kawasan lapang jika lu hanya perlu biarkan Gaddhafi terus berkuasa dan rakyat menikmati semua benda secara percuma? Apa perlu lagi bimbangkan satu susuk seperti Gaddhafi pada ketika rakyat memang menikmati hasil kekayaan negara secara sama rata? Betul, Gaddhafi menzalimi rakyatnya, tetapi apakah semua mereka dizalimi? Tolong baca ini dalam konteks politik dunia Arab yang sangat unik dan bukannya pada skala politik tempatan. Demokrasi pada dunia Arab tidak akan berhasil tetapi Malaya landskap politiknya adalah berbeza dan kita bukanlah sebuah negara bangsa yang terbina dengan pelbagai kabilah seperti bangsa Arab. Jangan selepas ini ada yang mahu pulangkan paku buah keras pada gua agar menerima kezaliman dan ketidakadilan UMNO selama puluhan tahun ke atas bangsa Malaysia. Itu senario yang berlainan.


Kembali ke Libya, dan Gaddhafi yang memang tidak lari daripada sebarang kesilapan. Akibat tidak memberikan tumpuan pada kawasan rural, di bahagian Timur, di Benghazi sehingga ke Tobruk di sempadan Mesir, maka anasir asing mulai mencucuk jarum. Atas dasar yang semakin terbuka, Britain dan Peranchis juga turut melabur, tetapi tumpuan hanya diberikan di bahagian Timur. Benih yang disemai sekian lama akhirnya membuahkan hasil lewat revolusi Bou Azizi di Tunisia.


Pada satu majlis, bersama dengan rakyatnya di Al-Wahat, Gaddhafi telah ditanya tentang rumah-rumah kediaman yang telah siap dibina, atas tanah-tanah yang diambil daripada rakyat tetapi masih belum diserahkan dan belum berpenghuni. Dengan sikap bersahajanya Gaddhafi memberitahu mana-mana rumah yang sudah siap, bolehlah sesiapa pun nak masuk. Kejadian itu berlaku pada 14 Januari 2011. Dan malam itu, bukan sahaja di Al-Wahat, bahkan di seluruh pelusuk Libya, semua projek-projek perumahan telah diserbu. Kediaman yang sudah siap terus diambil. Sampai tak cukup, rumah baru nak naik "ground beam" pun sudah ada kutu pacak khemah.


Akibatnya, Libya sedikit huru hara. Semua orang mahu dapat rumah percuma. Mahu atau tidak kehendak rakyat masih terpaksa dituruti. Kerajaan terpaksa berlembut. Walaupun sebenarnya, ucapan Gaddhafi itu hanya untuk penduduk Al Wahat, tetapi seluruh Libya berpesta mengambil unit kediaman percuma. Ketika Tunisia sedang panas dengan revolusinya, Gaddhafi terpaksa sedikit sebanyak berlembut.


Dari sinilah, musuh melihat bahawa tekanan boleh digunakan. Dari sinilah mereka mencuba dan tahu bahawa mereka perlu berani melawan. Walaupun sebenarnya mereka tiada sebarang tuntutan sangat yang perlu untuk dilaungkan. Ketika rumah percuma, pendidikan percuma, kesihatan percuma, rizab minyak makan tak habis, harga minyak seliter 20 sen boleh isi sampai tumpah-tumpah, makanan murah tiada cukai import, beli kereta dengan harga murah boleh buat loan tak payah interest, musuh-musuh Gaddhafi hanya melaungkan isu hak asasi manusia sahaja, kerana itulah modal terbaik yang dimiliki oleh Peranchis dan Britain, yang ketika itu sedang berusaha mencari sumber minyak alternatif dan berdepan dengan krisis bekalan tenaga.


Dalam ucapan terakhirnya, Gaddhafi menyebut yang dia akan melawan hingga ke titisan darah yang terakhir. Dia tidak akan lari, dan dia sanggup mati di tanahairnya sendiri. Akhirnya Gaddhafi memang mengotakan janjinya. Socialist yang sejati, tidak akan berundur. Tetap teguh dengan pendiriannya, seperti Che yang menolak kesenangan di Cuba, jawatan sebagai menteri, pemimpin tertinggi parti dan komander tentera, sebaliknya mahu terus berjuang di hutan Bolivia, menjaja revolusi untuk membebaskan seluruh benua Amerika. Preferio morir de pie que vivir siempre arrodillado, lebih baik mati berdiri daripada hidup melutut!


Gaddhafi memang zalim, tetapi sezalim dan sejahat Gaddhafi adalah sebaik-baik imperialist Barat. Gua sangat pasti, rakyat Libya akan menyesali apa yang telah terjadi. Al Fatihah untuk Abang Besar, The Leader of the Revolution and the Founder of the Great Socialist People's Libyan Arab Jamahiriya.


Sabatikal...

Uhuk...uhuk... Lama sungguh tak menulis apa-apa dalam blog ni ye? Melambak-lambak benda yang patut ditulis, tak ditulis. Biarkan Berlalu je benda-benda tu...hu hu hu.

Harapnya entri ini dapat menjadi pemangkin untuk menulis kembali...:)

P/s: Terima kasih kepada Hazrey si Bapa GulaGula kerana perkenalkan aplikasi ini. Sekarang gua boleh menulis sambil terlentang atas tilam...kah kah kah!

Soal Yang Selidik?

Walau dalam mood raya, terasa nak post sesuatu...

Sila lihat gambar di bawah...

Soalan:

1. Apa motif soal selidik ini? Di pejabat kerajaan?

Selamat Hari Raya semua!!! BlogBooster-The most productive way for mobile blogging. BlogBooster is a multi-service blog editor for iPhone, Android, WebOs and your desktop

percubaan mic...1, 2, 3

Salam semua. Ini entry pengenalan untuk percubaan mengupdate blog mengggunakan telefon.

Kalau korang berjaya membacanya maknanya percubaan ini berjaya! he he he!

Opera Hidup Wings...Satu Promosi

Betul teori kebanyakkan orang yang mengatakan masa paling best untuk mengemaskini blog adalah ketika waktu pejabat. Terbukti semenjak Blogger disekat di pejabat aku, nak update blog pun terasa segan-segan je. Kalau dah balik rumah pulak, dah memang terus terpa Facebook. Takde can la nak pegang-pegang blog ni....

Sepanjang tak update blog ni ,banyak benda terlepas nak ulas atau promosi. Tapi memandangkan masih ada masa lagi, sempat la kot nak kasi sepam dua promosi ni..keh keh keh!

Akhirnya selepas menunggu untuk sekian lama, Wings akan mengadakan konsert di Istana Budaya. Ada yang kata tempat ni yang paling berprestij kat negara ni. Ada yang kata pula Istana Budaya ni macam Rock N Roll Hall Of Fame la kalau kat Amerika tu. Yang nombor wahid dah tentu Dewan Filharmonik Petronas, disama-tarafkan dengan Royal Albert Hall London tu. Apapun, terpulang kepada masing-masing punya penarafan.

Konsert ni akan diadakan selama 3 hari. Bermula pada 29 April 2011 hingga 1 Mei 2011. Dibahagikan kepada 2 konsep, Rockestra bersama Ex-Wings mengambil tempat pada malam hari manakala Acoustic bersama Rock Icon pula untuk persembahan siang (matinee). Jadinya daripada 5 persembahan, 3 dikhaskan untuk persembahan malam manakala 2 pula untuk persembahan matinee.



(teaser untuk persembahan Rockestra)

Untuk persembahan Wings bersama orkestra, khidmat Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dibawah kelolaan En. Mustafa Fuzer Nawi (adik pelakon Fauziah Nawi) akan digunakan dengan kekuatan seramai 43 orang. Juga khidmat koir yang dirahsiakan namanya yang akan mengiringi Wings untuk beberapa buah lagu. Pada persembahan ini juga digabungkan kembali artis-artis yang pernah menganggotai Wings sepanjang 25 tahun kewujudan mereka seperti Sham, Jojet, Mus dan Mel.

Persembahan matinee pula akan menggabungkan nama-nama besar dalam sejarah rock Malaysia seperti Rosli Mohalim & Ramli Sarip (Sweet Charity), Man Keedal, Yantoi & Nash (Lefthanded), Kit, Hillary & Yazit (Search), Mus (May), Yantzen (Rusty Blade), Lola (XPDC), Edrie (Chapters), M. Nasir (Kembara) dan penampilan rockers generasi baru, Azlan (Mesin Taip). Persembahan akan dijalankan secara semi-acoustic dengan seleksi pemilihan lagu daripada Wings dan juga lagu-lagu rock malar segar yang pernah mewarnai dunia muzik Malaysia.




(teaser untuk persembahan Acoustic with Rock Icon)

Tiket-tiket berharga RM 65, RM 85, RM 125, RM 165, RM 205, RM 245, RM 305 & RM 450 (VIP) boleh didapati di kaunter tiket "Box Office" Istana Budaya atau boleh layari www.ticket2u.biz untuk pembelian secara hutang (kredit kad) atau www.sayap2wings.com untuk pembelian secara tunai. Harga adalah sama untuk kedua-dua persembahan matinee dan malam.

Aku tinggalkan video klip dari 2 showcase mereka ketika sidang media tempohari untuk korang menilai samada berbaloi atau tidak untuk ke Istana Budaya nanti. Tapi daripada update terkini yang aku dapat, tiket untuk malam hanya tinggal RM 200 ke atas. Itupun tak sampai 30% daripada keseluruhan seat untuk persembahan malam manakala untuk persembahan matinee, semakin hari semakin laju penjualan tiket. Jadi kalau rasa ingin menjadi sebahagian daripada sejarah muzik Malaysia, apa tunggu lagi? keh keh keh!



preview Rockestra



preview Acoustic