Rabu, 22 September 2010

Kembali Kepada Fitrah

Masih dalam suasana hari raya. Hari Raya kali ini aku rasa macam agak kena dengan apa yang aku lalui. Memang patut digelar "Eidul Fitri" yang membawa maksud kembali kepada fitrah. Pada hari raya kali ini juga aku semacam dibawa kembali menelusuri zaman lampau dan merenung akan kehebatan silam. Apa benda tu?

Sebenarnya benda ni secara tidak sengaja tercungkil hasil dari sesi "sembang kencang "di kedai mamak Pelita di kawasan rumah aku. Dua bulan sudah ketika aku dan kawan-kawan se"lepakan" berbual-bual maka timbul terus topik mengenai sejarah dan asal usul Melayu. Maka banyaklah yang diperdebatkan tentang sejarah "asal" Tanah Melayu ini. Juga berkaitan pertembungan Sunnah dan Syiah serta macam-macam hal lagi. Kebetulan sesi teh tarik ketika itu dihadiri oleh kawan aku yang memang minat mengkaji bab-bab sejarah. Kebetulan pula aku pun memang suka sejarah (antara sebab aku minat Liverpool kot? hahaha).

Sedang kami rancak berbual dan kebetulan pula masuk topik Syiah Rafidah, seorang brader yang kebetulan duduk di belakang kami dengan sopan meminta izin untuk mencelah lalu terus menyambung apa yang cuba disampaikan oleh kawan aku mengenai Syiah. Secara tak langsung malam itu menyaksikan dua meja yang berasingan bercantum menjadi satu dan topik perbualan kami meleret-leret terus ke sejarah awal tanah melayu sehingga ke zaman Rasullullah S.A.W.

Apa yang aku cuba sampaikan ialah hasil daripada pertemuan dan penemuan tersebut, aku semakin terbuka dan semakin memahami tentang asal-usul keturunanku. Mungkin ada antara kita yang tidak berapa minat untuk mengetahui tentang salasilah keluarga masing-masing. Dan ada juga fanatik-fanatik di luar sana yang dengan lantang bersuara kononnya memperjuangkan Bangsa Melayu sedangkan aku cukup yakin definisi Melayu yang diperjuangkan adalah sangat sempit dan dangkal.

Melayu yang kami perbincangkan ketika sesi tersebut dan diperbaharui ketika sesi Hari Raya beru-baru ini definisinya sangatlah luas. Bukan sebuah bangsa yang hanya berkisar di sekitar Tanah Melayu sahaja. Malahan sejarah Melayu itu sendiri mencakupi sehingga Perang Salib yang dipimpin oleh Salahuddin Ayyub (fakta ini disahkan oleh seorang Profesor sejarah yang amat menggemari sukan bola sepak di negara ini). Tapi sayangnya sejarah keagungan bangsa Melayu itu sendiri seolah-olah cuba diubah atau ditutup dengan secara terancang. Bukan niat aku untuk meniupkan semangat perkauman tetapi kalau dikaji dengan mendalam, sebagai contoh kedatangan bangsa lain seperti kaum cina yang berdagang di Melaka suatu ketika dulu tidak langsung menggugat kedaulatan dan jati diri bangsa Melayu itu sendiri. Malahan bukan sedikit kaum cina yang berasimilasi dan akhirnya menjadi Melayu melalui peredaran zaman (Tanah Melayu juga digelar sebagai Tanah Jawi ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melaka dan menerangkan kenapa wujudnya istilah "masuk jawi" sebagai gelaran kepada mualaf). Tapi kenapa bila buruh-buruh cina yang dibawa oleh British tidak melalui proses asimilasi yang sama? Aku rasa semua sudah tau jawapannya.

Melalui sesi tersebut juga aku mendapat pencerahan mengenai asal sirah Kesultanan Melayu itu sendiri. Mungkin akan kedengaran pelik, kelakar dan tidak masuk akal tetapi percayalah yang kesultanan Melayu itu sudah wujud lebih awal sebelum terkaitnya perjanjian antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba. Malahan ada kajian yang mendakwa bahawa kesultanan Melayu ini berasal dari Iskandar Zulkarnain dan bercantum dengan susur galur keturunan Rasullullah atau digelar Ahlul-Bait. Cumanya jangan dihadam fakta ini bulat-bulat. Aku sendiri masih terus mengkaji akan kebenaran dan kesahihan fakta-fakta ini. Bukan bermaksud ingin membangga diri dengan Melayu itu sendiri tetapi mengambil semangat Eidul Fitri itu sendiri iaitu kembali kepada fitrah supaya lebih mengenal akan bangsa dan seterusnya cuba untuk mengambil sebanyak mungkin pengajaran dari kisah-kisah silam.

Sebagai permulaan, mungkin kita sudah boleh meninggalkan Sejarah Melayu versi Richard Olaf Winstedt dan Shellabear dan mula mengkaji Sulalatus Salatin versi Tun Sri Lanang (yang belum diubahsuai).

*Sedang mencari buku tulisan Suzana Osman (kakak Aziz M. Osman): Ahlul Bait dan kaitannya dengan Kesultanan Melayu.

**Juga sedang mencari buku terjemahan Debat Syiah & Sunni. Antara Rektor Universiti Al-Azhar dengan seorang pengamal Syiah. Mungkin akan memberikan sedikit pencerahan tentang Syiah yang sebenar (tertanya-tanya mengapa Ahlul-Bait banyak yang dibunuh ketika zaman Khalifah Umaiyah).

***Pedulikan tentang gaya bahasa aku yang agak "skema" tapi aku rasa perkara yang serius perlu ditulis dengan serius (harapnya dengan tatabahasa yang betul).


6 ulasan:

[ a D D y ] berkata...

nice bro..

mungkin lu boleh usha sufisme dan metafizik..

lu search je..
kuar la blog tu..

Dr. Bentara berkata...

Sambil2 kaji syiah, jangan tinggalkan sunnah.

Dan semoga tak sesat dalam pengkajian.

FdausAmad berkata...

Yang gua belajar..Islam di bawa ke nusantara melalui keturunan Imam Jaafar yang mengamalkan fahaman sunni.

speedrider berkata...

Sila pegang nasihat Abang Ben. Salah seorang daripada kami dah isim sampai nak sembahyang pun dah tak boleh.

Pasal Melayu.. keh keh keh, sorry beb. Gua memang ultra Melayu. Rujuk balik definisi Melayu dalam perlembagaan. Jelas.

deaf-angel berkata...

thanks for sharing and please share more my fren.
aku suka baca walau too deep for me.

berteromber berkata...

aku yang jadi lemah nak baca Sulalatus Salatin ni bab ayat dia tu...pening nak memahamkannya...

BARBARIK PENTAS KERAS – PENUTUP MELAZATKAN UNTUK TAHUN 2022

Ura-ura untuk mengadakan konsert ini sudahpun sampai ke telinga aku sejak sebelum PM DS Ismail Sabri umumkan negara memasuki fasa pra-pand...