Jemu pulak rasanya bila asyik menulis pasal konsert Double Trouble ni. Tapi bila nak menulis pasal benda lain, tak tau pulak apa yang nak ditulis.

Nak cerita pasal aku layan Mat Som kat Colliseum bulan lepas? Berapa kerat je yang masih ingat cerita arahan Dr. Hatta Azad Khan yang menampilkan Imuda sebagai Mat Som tu kan? Aku sendiri cuma harapkan novel grafik dari Dato' Lat yang menjadi sumber adaptasi filem ni yang boleh mengingatkan aku akan dialog-dialog dan babak-babak filem ni. Antara filem yang aku rasa kalau dibikin semula untuk masa kini, masih mampu melemparkan kritikan sosial yang masih relevan dengan zaman sekarang. Tapi apa orang peduli bukan? Kisah mat rempit / mat kereta turbo yang konon sudah insaf atau bagaimana seorang perempuan menjadi bohsia lebih dianggap sebuah modal cerita yang terbaik atas dasar "membawa mesej keinsafan kepada khalayak". Ada ke patut?

Nak cerita pasal aku berhabis kat PWTC masa Pesta Buku AntaraBangsa Kuala Lumpur tempoh hari? Orang lain pun baca dan beli buku juga. Silap-silap majalah pun ada. Padahal dari banyak-banyak buku yang aku berhabis tu, yang betul-betul khatam baru satu buku. Bidadari Paderi, sebuah fiksyen yang bersandarkan fakta sejarah penentangan kaum Paderi di Matur & Bonjol, dalam daerah Minangkabau yang menentang penjajahan Belanda. Karya penulis seberang, Saiful A. Imam terbitan PTS Litera pada aku antara buku-buku yang berjaya mengangkat tema fiksyen dan sejarah bersatu dalam sebuah buku. Tapi apa orang lain peduli kan? Cerita cengeh dan sedih-sedih kisah putus cinta masih menjadi pilihan penulis-penulis kita bukan? Ada ke patut?

Nak cerita pasal kemeriahan konsert Double Trouble ni? Lagi la merepek. Di saat terdengar suara-suara yang mempersoalkan mana bakat-bakat tempatan punya konsert, masih ada yang mengatakan harga tiket RM 70.00 tu sebagai mahal. Masih ada yang nak menagih tiket percuma, back stage pass dan sebagainya. Sedangkan band "purple" dari seberang yang juga akan mengadakan konsert pada hari yang sama (bukit yang berlainan) tak de siapa pula yang nak mempertikaikan tiket mahal. Padahal tiket VIP sampai RM 200! Ada ke patut?

Jadi sampai bila kita perlu nak menyalak pada perkara-perkara yang kita sendiri tak paham sebenarnya? Di saat slogan 1 Malaysia begitu sibuk dijaja, sekolah rendah pula ditukar nama dari SRK kepada SK. Saat aku bersekolah dulu, bukan satu taboo berkongsi tosai dengan kawan india, mengayuh basikal dengan kawan cina tapi sekarang perkara-perkara sebegitu sampaikan perlu disumbat melalui minda separa sedar kita pula. Setelah 53 tahun merdeka dan 6 Perdana Menteri melayu, kita masih berbicara tentang perpaduan antara kaum, perlukan Perkasa dan menyalak untuk ketuanan melayu...

Ada ke patut!