Khamis, 23 November 2017

PUNK BANGKIT HARI AHAD! BRAWK N ROLL & API DALAM SEKAM (SEBUAH ULASAN YANG TERTANGGUH)

(ULASAN INI TELAH DISIARKAN DI PORTAL MAJALAH 'ONLINE' NEON BERAPI PADA 9/11/2017) 

Pernah seorang kutu bersurah (aku tak dapat ingat siapakah gerangannya), “Kau tengoklah nanti. Makin nak dekat dengan pilihanraya, makin kerap ada acara hiburan!” Tak berani aku hendak bertaklid buta dengan fahaman ini. Tapi melihatkan senarai konsert/acara hiburan/persembahan muzik sejak dari awal tahun, agak sukar untuk disangkal teori kekerapan acara hiburan yang berkadaran songsang dengan tempoh masa pilihanraya ini.

Usai bangkit dari tidur pasca konsert Mr Big yang diadakan semalamnya, aku bersiap-siap dengan t-shirt Tolerate No More – FSF mengemudi Myvi-putih-dara-ku dengan tenang menghala ke Publika, Solaris Dutamas untuk showcase sempena pelancaran mini album kumpulan Brawk, Never Join The Army yang telahpun berlegar di pasaran pada suku pertama tahun ini.

Poster showcase BRAWK

Sedikit pengenalan. Brawk adalah gabungan ‘veteran’ ataupun orang lama dalam arena underground Malaysia di mana line-upnya terdiri dari Asy (The Splatters), Man (Assault), Roi (Silkhannas) dan Emri (Blind Tribe). Walaupun dengan gabungan dari pelbagai ‘fahaman’, muzik Brawk tebal dengan nuansa British 70’s Punk, Rock n Roll dengan riff-riff yang catchy dan sedap untuk berjoget.

Brawk N Roll – Brawk Album Launching Party diadakan di The Bee, Publika pada 15/10/2017. Showcase mereka telah dibantu oleh band kawan-kawan untuk memeriahkan lagi majlis. Band pertama yang membuka ‘lantai tari’ tepat jam 3.45pm adalah One Buck Shot. Ini pengalaman pertama aku sebenarnya menengok band ni secara langsung. Muzik ketat, vokal yang tak kelihatan pancit walaupun berbadan besar. Power!

Kumpulan One Buck Shot

Band kedua yang mengambil alih pentas adalah The Pilgrims. Keadaan di bawah pentas ketika ini sebenarnya agak cemas pasal Kombatt masih belum sampai lagi. Beliau tersangkut di kedai beliau di Kompleks Campbell kerana kebetulan berlangsungnya ‘Cassette Store Day’ pada hari itu. Bobby seperti biasa tenang menampal setlist dan memasang mikrofon beliau sendiri (band underground bawa mikrofon sendiri. Power!). Akhirnya Kombatt sampai setelah kesemua band member yang lain sudahpun bersedia di atas pentas. Setlist mereka pada hari ini sudah tentu banyak diambil dari rilisan terbaru mereka, Achtung Riders seperti Migran, Majlis Tari Menari, Tayar Golek dan Achtung Riders. Namun mereka tetap tidak lupa membawakan lagu-lagu daripada album terdahulu seperti Churaliya dan juga lagu keramat mereka, Sua Sue Kemuning/Air Pasang Pagi.

Vocalist The Pilgrims, Bob, dengan gaya seorang rempit sejati! Hahaha

Subculture mengambil alih pentas sesudah tamatnya slot The Pilgrims. Azreen & the gang memulakan show dengan Direction, lagu dari album terkini mereka, 365 days of Punk Rock. Fun Friends dan Blue Skirt Baby antara lagu dari album pertama mereka, Love & Hate yang mereka bawa juga pada petang itu. Selaku ‘scousers’ sejati, mereka (Azreen sorang saja sebenarnya) menyanyikan You’ll Never Walk Alone dengan gaya mereka. Fuh! Nasib baik tiada gelas yang terbang ke pentas!

Subculture in action!

Gajah dan rakan-rakan tampil mengambil alih. Kelihatan budak-budak kepala botak (skinhead) mula merapat ke arah pentas. Suspects AKA membuka persembahan dengan We’re Coming Back, satu cover song daripada kumpulan Cock Sparer berduet dengan Azreen Subculture. Menampilkan Andy Flop Poppy sebagai bassist undangan, Gajah tenang ‘mengemudi majlis’ dengan lagu-lagu dari album mereka seperti Oi! Will Survive, Together Forever, Kami Yang Disyaki selain satu lagi cover song dari The Oppresed, Ultra Violence. Masa ni aku dapat rasakan ‘pesta muda-mudi’ sebegini sudah memasuki satu fasa baru, fasa keluarga-keluarga. Dengan tenangnya, kelihatan 3-4 orang kanak-kanak berumur 4-5 tahun seronok berlari-lari di celahan penonton. Penonton pun semunya kelihatan sopan saja sepanjang masa. Tiada kelihatan pogo mahupun ‘mosh’ yang ganas macam zaman gig dulu-dulu. Ataupun, mungkinkah kerana faktor usia?

Suspect AKA bersama Azreen Subculture selaku vox undangan. Kelihatan Andy Flopp Poppy selaku bassist undangan di situ.

Band yang diraikan, Brawk dijadualkan beraksi selepas waktu Maghrib namun aku terpaksa beransur untuk ke satu lagi acara muda-mudi. Api Dalam Sekam: 20th Years of Revolution. Begitulah nama gig yang dalam flyers tertulis mula pukul 8 malam di Rumah Api (baru). Apa siginifikannya 20 tahun Revolution ini?

Poster rasmi gig Api Dalam Sekam. Diberi percuma kepada mereka yang membeli tiket masuk.

Pada tahun 1997, satu rilisan DIY telah menggegarkan arena ‘bawah tanah’ Malaysia. Sebuah kumpulan punk dari Kuala Pilah, The Bollocks, telah melancarkan demo kedua mereka (EP kalau ikut bahasa milenium). Rilisan bertajuk Revolution ini bukan sahaja lebih ‘politikal’ berbanding demo pertama mereka, My Friend (1995) yang terkenal dengan lagu Neo Arqam Punk & Police Federation itu tapi yang lebih mengejutkan, mereka menjualnya dengan hanya RM3 bagi setiap kaset (takkan korang tak ingat tulisan Pay No More Than RM3 dekat cover kaset waktu tu?) Ini secara tidak langsung telah menggerakkan banyak minda bawah sedar pada waktu itu yang punk bukan semata-mata berkenaan duit. Lebih tepat lagi, meminjam istilah dari Fahmi FSF dalam tribute beliau kepada kumpulan ini di Facebook beliau, “from punks to punks, not for the businessman”. Demo ini juga kalaupun tidak menjadi pencetus, adalah antara yang memberi inspirasi sehingga berkembangnya scene hardcore punk pada waktu itu. Siapa sangka, demo yang berharga RM3 ini terjual lebih 2,000 salinan hanya dengan secara DIY saja melalui jualan di gig, melalui distro-distro DIY dan juga melalui surat (dengan setem guna semula semestinya, haha!) Aku sendiri pernah jumpa kaset ini di kedai kaset Seksyen 2, Shah Alam pada tahun 1998 tapi dengan tulisan muka depan yang telah diubah, “Pay No More Than RM6”. Demo underground pun kena pirate waktu tu weh!

DIY till die!

Rumah Api sekarang sudah berpindah ke lokasi baru, di tingkat 18 Menara ‘A’ MPAJ di Pandan Indah. Sayangnya aku tak pernah ke Rumah Api di lokasi lama. Lokasi yang begitu signifikan sehingga Rumah Api itu sendiri mendapat namanya akibat suasana panas berbahang tiap kali gig diadakan di situ. Panas macam api! Aku naik ke tingkat 18 kira-kira jam 9.30 malam. Keluar saja dari lif, aku dah terasa feel macam dalam filem-filem Eropah ketika ingin menggambarkan suasana pesta muzik ‘haram’, jalan yang berbelok, meja tiket, dinding pemisah antara ‘kaunter tiket’ dengan ruang persembahan dan juga lampu malap. Aku sampai ketika band Rotgut sedang beraksi. Jeritan growl dengan beat drum yang ‘laju-na-mati’, menggambarkan genre muzik yang mereka perjuangkan – punk tingkat tinggi bak kata seorang punker dari Ulu Tiram. Bergenre dbeat ataupun istilah yang dikenali, grindcore, Rotgut membuka lantai persembahan pada malam itu. Crowd berdiri tanda memberi sokongan sedangkan aku terus ke ruangan ‘kantin’ Rumah Api.

Central Market Coalition 1997!

Sarjan Hassan menjadi band kedua yang membuat persembahan pada malam itu. Bergenre thrash metal/crossover, sudah ada cubaan-cubaan untuk mosh di lantai tarian tapi kebanyakan penonton masih memilih untuk menyimpan tenaga. Nak lepas untuk The Bollocks agaknya. Aku mula mencari line-up The Bollocks yang sudahpun hadir. Dengan vinyl 7” rilisan terbaru Revolution di tangan, seorang demi seorang aku ‘paksa’ turunkan autograf. Thank you Adik, Tom, Kuzai (rare betul dia pun turun malam tu) dan juga Jun.

The Bollocks bersama vox The Pilgrims dan seorang kenalan

Deepset mula mengambil alih pentas. Suasana yang sudahpun ‘hangat’ tadi diredakan seketika dengan alunan post rock gaya Deepset. Asshad dan kawan-kawan kelihatan tenang di atas pentas dengan gear mereka yang aku rasakan agak ‘heavy’. Manakala view dari ‘kantin’ Rumah Api ini yang menghidangkan pemandangan Pandah Indah di waktu malam seakan bersetuju dengan irama mendayu post rock bawaan Deepset pada malam itu. Syahdu dia lain macam!

Deepset sedang mengemudi bunyi-bunyian

FSF kembali menghangatkan pentas Rumah Api pada malam itu. Diapit 2 amp Marshall full stack serta bass amp Marshall (juga full stack), tak hairanlah sound yang terhasil sejak Rotgut membuka pentas tadi kedengaran padu dan sedap, tak bingit. FSF aka Free Spike Free, band punk ‘separa veteran’ dari Sungai Petani ini ternyata menjadi antara yang ditunggu-tunggu pada malam itu. Teringat aku pengalaman pertama kali mendengar demo mereka pada tahun 2000 di kolej Kempas, UiTM Arau. Sudah tentu track yang paling diingati adalah Sunshine-Haze-Sunshine, sebuah lagu pasal pencemaran yang diinspirasi daripada lagu nursery rhyme You’re My Sunshine. Penonton sudah mula chaos dengan bunyian  yang terhasil daripada gabungan Mat Pitt, Iwan, CikMi & Chot ini. Moshpitt sudah mula kelihatan. Penonton sudah mula berpogo. Terhuyung-hayang aku ditolak oleh mereka yang asyik dalam moshpitt! 13 lagu yang dipersembahkan dalam jangka masa 30 minit (2 lagu terakhir mikrofon sudah dirampas penonton. Total chaos!), dengan stage banter CikMi yang dirindui, ternyata FSF masih kuat pengaruh mereka dalam scene.    

FSF sempat bermesyuarat di atas pentas!


Chaos KP! The Bollocks menjadi band terakhir selaku ‘pengantin’ yang diraikan pada malam itu. Adik di posisi bass, Tom menggalas gitar dan Jun di posisi drum, penonton yang masih ‘reserve’ sejak dari tadi sudah mula merapati pentas. Semua rilisan yang terdapat dalam EP Revolution mereka mainkan. Termasuk juga Neo Arqam Punk, Police Federation, Malapetaka, My Friend, dan penampilan istimewa Kuzai di posisi drum dalam lagu ‘cult’ mereka, Viva La Punk! Lantai tari dipenuhi ‘rebangka’ (remaja-tua bangka) ‘Chaos KP’ dengan moshpitt yang semakin besar. Ternyata waktu yang sudahpun menunjukkan pukul 12.30 malam masih menarik minat budak-budak punk untuk berpogo. Manakala sebahagian ‘punk pejabat’ pula sudah ada yang beransur-ansur pulang membawa bersama kenangan menyambut ulang tahun 20 tahun Revolution bersama The Bollocks. Meminjam kata-kata Adik pada malam itu, “Diam tak diam sudah 20 tahun. So cuba kita tengok 10 tahun akan datang!” Viva La Punk!

The 'Mighty' Bollocks!

Dengan ikon punk masakini, vocalist Soul Savior dari Temerloh, BangMan!        

2 ulasan:

deaf-angel berkata...

amboi satu hari dua tempat show..

zan berkata...

Hahaha. Cubaan nak jadi Lester Bangs.

BARBARIK PENTAS KERAS – PENUTUP MELAZATKAN UNTUK TAHUN 2022

Ura-ura untuk mengadakan konsert ini sudahpun sampai ke telinga aku sejak sebelum PM DS Ismail Sabri umumkan negara memasuki fasa pra-pand...