Clint Eastwood adalah seorang cowboy dan redneck sejati dan kalau di Malaysia, beliau sudah tentu menjadi ahli UMNO! Itulah kesimpulan yang ditetapkan ketika ‘sidang pleno’ Majlis Penonton Filem Suka-Suka Demaju (MAPSUJU), Damansara Perdana. Antara keahlian ‘majlis’ ini yang bersidang hampir setiap minggu di meja petak restoran mamak De Maju adalah seorang penulis skrip yang makin meningkat naik, seorang pengkritik filem yang ditakuti pembikin filem melayu, seorang koboi jalanan yang ‘menunggang’ Alza sambil mengukur jalan setiap hari dalam seragam Uber atau Grab, seorang kutu bola yang masih menganggap Dennis Berkamp itu makhluk tuhan paling power dan juga aku, seorang penonton filem runcit-runcit yang kalau datang mood, baru pergi tonton filem di pawagam. Entah bagaimana sampai tiba-tiba keluar topik Clint Eastwood ini tidaklah pula aku perasan kerana aku lebih ralit mengulit SimCity: The Builder dalam telefon genggam aku sambil menahan kantuk di mata.


Hari aku bermula pada pukul 3 petang hari Sabtu itu. Penangan melepak sampai ke Subuh sambil membuat resolusi ‘koboi’ tu. Mengambil kira venue konsert yang tak pernah lagi aku jejaki, aku keluar rumah seawal pukul 6 petang. Berbekalkan aplikasi Waze yang terpasang di telefon, aku mula menuju ke tapak konsert melalui lebuhraya KESAS. Setibanya aku di Jalan Klang Lama, macam biasa aku ‘menggagau’ mencari lokasi konsert seperti yang tertera di dalam Waze. Masalah betul aku dengan lokasi atau tempat yang tiada signboard atau sekurang-kurangnya papan penunjuk arah. Sudahlah tiada gegantung mahupun kain pemidang di depan dewan! Nasib baik aku peka dengan keadaan sekeliling. Dapat juga parking dalam kawasan sekolah yang terletak betul-betul di sebelah dewan persembahan.

Feel macam dalam Dewan Merdeka, PWTC masa Anugerah Juala Lagu dulu-dulu. 

Mata aku mula meliar mencari booth official merchandiser untuk menyambar tshirt rasmi konsert barang sehelai-dua. Namun kekecewaan melanda bila aku mendapat jawapan daripada urusetia konsert yang mereka (Mr. Big) tidak membuka gerai jualan merchandise di Malaysia. Hanya di Singapura saja baru mereka jual merchandise rasmi. Hmmm. Patutlah baju-baju bootleg buka booth sampai betul-betul depan pintu masuk ke dewan persembahan!

Tengok jarak aku dengan soundwoman. dekat bukan?

Aku mula memasuki dewan persembahan sambil mencari-cari sekiranya ada muka-muka yang aku kenal. Setelah mengenalpasti kedudukan sound engineer (soundwoman sebenarnya!), aku mengambil kedudukan menghampiri lokasi FOH (Front Of House) aka konsol tempat sound engineer berada. Penting sebenarnya untuk mengenalpasti kedudukan soundman dalam sesebuah konsert sekiranya kau mementingkan bunyi yang sedap (sweet spot) berbanding lubang hidung seseorang artis. Tapi kalau kau seorang yang ‘fetish’ lubang hidung artis, silakanlah beli tiket depan stage! Kah kah kah.

Backdrop yang minimalis dan sangat sempoi!

Tepat jam 8.16pm, lagu playback dipasang dan bayang-bayang 4 orang berbalam di atas pentas (aku tengok telefon sewaktu lagu intro dimainkan). Dengan efek ‘cd tersangkut’ ketika menuju pengakhiran lagu, Mr Big memulakan persembahan dengan lagu ‘gerudi’ mereka, Daddy, Brother, Lover, Little Boy. Penonton secara auto berdiri kagum dengan sound yang terhasil. Dengan LED board  di kiri dan kanan pentas menayangkan visual dari kamera MCP dan LED di belakang dram yang menayangkan logo Mr. Big sahaja sebagai latar belakang pentas tanpa mainan visual yang sarat. Simple dan minimalis. Aku suka!

Jarak aku dengan pentas. Maklumlah, tiket marhain. 

Lagu diteruskan hinggalah ke lagu Temperamental di mana Eric Martin mula memperkenalkan ‘guest’ percussion mereka. Siapa lagi kalau bukan the greatest Pat Torpey! Dan beliau juga bermain drum untuk lagu berhantu mereka, Just Take My Heart. Damn jiwang! Terharu juga aku memikirkan yang mereka sanggup membawa Pat Torpey yang menderita sakit Parkinson walaupun mereka sudah mempunyai drummer sessionist, Matt Starr. Sampaikan terdengar berita yang Eric Martin mengugut taknak menyanyi dalam jelajah Defying Gravity ini kalau Pat Torpey tak ikut sekali. Ini baru betul punya brotherhood! Mereka sanggup kasi Pat Torpey main percussion (lebih kepada ketuk tamborin sebenarnya) walaupun tak membantu sangat dalam persembahan live mereka asalkan mereka bersama-sama. Damn terharu ai!   

Masa ni LED kiri kanan dan belakang drum off. Tapi dorang selamba saja redah.

Satu yang aku perhatikan, sepanjang 2 jam lebih konsert berlangsung, tiada langsung tanda-tanda Eric Martin pancit. Suara pula, macam istilah zaman sekarang ni, ‘macam tertelan kaset!’. Tiada langsung tanda macam orang yang dah berumur 57 tahun. Aku sempat juga buat sedikit kerja rumah dengan menonton balik live mereka di Youtube sebelum konsert ini berlangsung. Ada juga tergelincir sikit-sikit masa Back In Budokan punya konsert dan juga konsert-konsert pasca reunion dorang. Tapi, untuk Live In Kuala Lumpur, Eric Martin perfect! Lulus 100%! Entah apalah persediaan beliau sebelum bermulanya siri jelajah Defying Gravity ini. Sesuatu yang sepatutnya ditiru rockers tempatan. Bukan setakat tiru bab glamour, bab parti saja. Eh!

  Gambar ihsan kawan aku, Din DNS aka Tokai.

Sepanjang konsert berlangsung, boleh dikatakan hampir tiada cacat cela. Kalau adapun, LED di kiri dan kanan pentas yang tiba-tiba mati bersama-sama dengan audio pentas ketika penghujung lagu Green-tinted Sixties Mind kalau tak silap aku. Namun bekalan eletrik di pentas serta merta berjaya dibaik pulih cuma proses menghidupkan kembali LED memakan masa sedikit lama. Hampir 6-7 lagu jugalah baru menyala balik LED tu. Dari segi sound pula, selepas sesi solo Billy Sheehan terasa agak bingit pasal aku perasan sebelum memulakan sesi beliau, Billy seperti memulas volume knob di amp beliau. Dan ketika band masuk semula ke pentas, Paul Gilbert juga terpaksa menaikkan volume demi untuk mengimbangi sound bass Sheehan. Namun memikirkan hanya berbaki 6 lagu untuk habis, aku tak kisah sangat pasal bingit tu.

Sesi uncle Sheehan menyolo

Secara keseluruhannya, sound mereka sedap. Ternyata Mega Star Arena sebagai venue konsert mampu untuk support penganjuran konsert rock berskala sederhana besar. Dalam laman web, dorang lebih tumpu kepada penganjuran majlis perkahwinan dan juga konsert artis-artis Hongkong. Ternyata pertaruhan aku untuk membeli tiket murah aka tiket ‘marhain’ berjaya! Tak sia-sia aku minat subjek gelombang ketika belajar matapelajaran Fizik di sekolah hampir 20 tahun yang lepas! Teori sesaran gelombang digunakan dengan sebaik mungkin demi mencari lokasi sound yang sedap dalam konsert. Sudah 2 konsert rock aku gunakan teori ini. Megadeth dan Mr. Big. Dan kedua-duanya tak mengecewakan aku dari segi bunyi.

Gambar ihsan Din DNS aka Tokai lagi!

Untuk encore, sepatutnya mereka memainkan lagu cover We’re American Band dari Grandfunk Railroad (seperti yang tertera dalam setlist). Tapi untuk malam itu, seperti yang dimaklumkan oleh Billy Sheehan yang mengambil posisi Paul Gilbert selaku pemain gitar, mereka baru saja prektis lagu ini dan akan memainkannya pada malam itu. Dan Kuala Lumpur bertuah menjadi venue pertama untuk mereka jamming lagu Three Dog Night – Joy To The World! Dan Defying Gravity menjadi lagu penutup mereka pada malam tersebut. Jarum jam juga menunjukkan pukul 10.30 pm. Awal betul konsert rock habis! Hahaha.

Setlist yang diedarkan bersama-sama poster konsert sebelum show bermula.

Ketika sesi melepak di mamak berdekatan venue, sempat diperkatakan seorang kenalan yang konsert inilah buat pertama kalinya setlist lagu diberi kepada orang ramai SEBELUM konsert bermula! Entah apa yang cuba dilakukan oleh pihak penganjur. Mungkin mereka ingat Mr. Big tak cukup besar dekat Malaysia sampai perlu diberikan setlist sebelum konsert bermula agar penonton yang datang tahu tajuk lagu agaknya. Kelakar gila weh!

Komitmen aku selaku penonton konsert terserlah di sini. Katakan Fak! kepada rock/metal kamera!

Erm...apa kaitan Clint Eastwood sebagai cowboy di awal cerita dengan Mr. Big? Pada aku, Mr Big ternyata berjaya merampas takhta band paling cowboy daripada Bon Jovi. Boleh dikatakan hampir kesemua lagu-lagu moderate dan fast mereka ada bauan Country dan feel koboi naik kuda tu senang-senang boleh jadi latar kepada muzik mereka. Dan boleh dikatakan, selaku koboi alaf baru, Mr. Big adalah band rock Amerika paling Amerika pernah Amerika lahirkan!