Isnin, 26 Mac 2012

Akhirnya...Atok Ramone ke Bukit Jalil!

Aku rasa aku skip Dolores O'Riordan dan kawan-kawannya (walaupun kita semua tahu, siapa yang mampu untuk tidak suka pada beliau, kan?) demi untuk memberikan penghormatan kepada antara adik beradik Ramones yang masih hidup (selain Tommy dan adik bongsu mereka, CJ).



Selasa, 13 Mac 2012

Bunohan

Jarang benar aku rasa teruja menunggu filem Malaysia (??) main di panggung wayang. Tapi filem yang satu ni memang buat aku tertunggu-tunggu sejak Maskara Shorties tahun lepas. Masa acara ini, selain ditayangkan temubual dengan pengarah filem ini, juga ditayangkan "trailer" khas sebagai "sneak peak" untuk filem ini.

Bunohan. Sebuah filem yang mendapat liputan meluas di laman-laman sosial. Filem ni juga telah banyak mengembara ke luar negara memenuhi jemputan ke festival-festival filem antarabangsa. Sudah jadi seperti fenomena baru pula. Namun apa isi kandung cerita ini sendiri?

Aku menonton cerita ini sebanyak 3 kali. Pertama ketika tayangan premier di KLCC (terima kasih kepada Jenderal Sol-jah). Kedua bersama member-member yang terlibat dalam bidang advertising (salah seorang ex-Imaginex) dan ketiga bersama member-member yang berasal dari Kelantan. Jadi aku rasa segala bidang dalam cerita ini aku dah paham (kot?) kah kah kah!

Bunohan bergerak atas cerita 3 beradik. Ini boleh difahami terus melalui "trailer" yang dikongsi di youtube. Ilham sebagai abang sulung, Adil sebagai adik bungsu dan Bakar (suara Bakar juga digunakan di dalam "trailer" dan digambarkan sangat "baik). Seorang sebagai pembunuh upahan, seorang sebagai peninju Muay Thai dan seorang lagi sebagai guru. Awal-awal cerita sudah dipahatkan di minda penonton yang Bakar, seorang guru adalah orang baik. Sentiasa berpakaian kemas (standard guru-guru bandar) dan dipotretkan sebagai "mat hensem". Berbeza dengan Ilham dan Adil yang jarang berpakaian lengkap dan kelihatan comot dan berpeluh.

3 beradik yang alami konflik (atau lebih tepat dilema?) masing-masing. Ilham diberikan tugasan mencari seorang peninju Muay Thai yang lari dari gelanggang, Bakar yang mendapat peluang untuk memajukan tanah dan Adil yang berhutang dengan samseng Siam dan terpaksa bertarung di gelanggang Muay Thai untuk menyelesaikan hutangnya. Namun ketika di ambang kekalahan, dia diselamatkan oleh kawan baiknya, Muski dengan bantuan beberapa orang samseng Siam.

Bunohan adalah cerita dalam cerita. Cerita di mana mesejnya secara terang sudah dinyatakan dari awal tayangan lagi. Intro cerita di kedai kopi sambil tv plasma skrin leper menayangkan sedutan daripada filem ini sendiri. Kelihatan beberapa orang kampung berbual-bual sesama sendiri sambil menyebut nama-nama pelakon yang tertera di kaca tv. Di sini juga dipaparkan aksi Bakar yang sedang berbincang dengan Jolok dan aksi Bakar menghulurkan beberapa not RM 50 kepada seorang watak pembantu yang lain.

Bunohan adalah cerita kapitalis. Cerita bahawa demi duit, manusia boleh jadi gila. Anak boleh bunuh bapa. Kawan boleh "tikam" kawan. Namun cerita ini juga membawa sisi baiknya. Sepatah dialog Namron (sebagai Pok Wah) dalam cerita ini "buang hok buruk, amik hok chomey". Tak semua yang bermula buruk akan berakhir buruk. Dan tak semua yang zahirnya bersih akan tetap bersih dalamannya.

Bunohan adalah cerita tradisi. Cerita ini mengangkat perubatan tradisional, unsur-unsur perubatan mistik dalam penceritaannya. Main puteri, makyong dan wayang kulit antara yang di angkat semangatnya dalam cerita ini. Jelmaan buaya putih juga ditonjolkan dan perlukan sedikit pemahaman dari awal cerita untuk memahami sebab buaya putih ini keluar. Tapi aku berfikiran bahawa ianya tak la sesukar mana untuk difahamkan melainkan kalian menonton tanpa membawa otak!

Bunohan bergerak dalam nafas dan bahasa Kelantan. Sementelah kampung Bunohan ini pun terletak di sempadan antara Tumpat dan Narathiwat, Thailand. Pelakon-pelakon cerita ini pada aku berjaya membawakan dialog mereka dengan baik. Mungkin ada "flaw" sikit-sikit tapi ianya tak menggangu langsung jalan ceritanya. Mungkin ada sikit kepelikan telo yang dilontarkan oleh Namron, Faizal Hussein dan Sofi Jikan tapi sebagai orang luar, usaha mereka untuk cuba menguasai bahasa Kelantan pada aku dah berjaya (3 bulan pre-production untuk kelas bahasa Kelantan dan kelas Muay Thai). Kecualilah kalian ni "Nazi Bahasa"...kah kah kah!

Bunohan adalah cerita jantan. Permulaan cerita sudah ditunjukkan adegan Ilham sedang diurut "kelakiannya" oleh seorang tukang urut yang sudah berusia. Juga babak-babak pertarungan Muay Thai "haram" di awal dan akhir cerita. Namun ianya bukanlah semata-mata filem pertarungan. Malahan babak pertarungan bukanlah babak yang mendominasi kerana ada banyak benda lain yang cuba ditayangkan pada waktu yang sama.

Bunohan menampilkan suasana kampung, paya bakau dan pantai yang menarik. Perlambangan keadaan sekitar banyak dipengaruhi oleh cuaca dan keadaan langit. DOP yang pandai buat kerja dan sangat-sangat faham makna "art" dalam filem. Aku bukanlah orang teknikal namun berkat menonton bersama-sama member yang terlibat secara langsung dalam bidang pengiklanan banyak membantu. Sepatah komen mereka "Banyak shot lepas geram. Biar kamera shot lama-lama untuk satu-satu scene pasal dalam advertising, semua shot nak kena pantas!". Untuk makluman, Dain Said, pengarah cerita ini adalah satu nama yang agak besar dalam bidang advertising.

Muzik dalam Bunohan pada aku padat namun masih boleh diperbaiki. Penataan muzik oleh Tan Yan Wei (mendiang) dari Imaginex banyak menggunakan elemen tradisi muzik Kelantan seperti rebab. Ada adegan yang seperti disengajakan 'kesumbangan" bunyian rebab ini untuk menunjukkan "feel" atau emosi adegan-adegan tersebut. Cuma entah kenapa, pabila tiba pada adegan-adegan yang sunyi seperti ketika Adil berjalan-jalan di dalam rumah, runut bunyi The Last Mohicans terus bermain-main dalam kepala otak aku. Mungkin sekiranya ditambah elemen orkestra, akan bertambah "tajam" lagi emosi adegan tersebut.

Sepatah kata aku, benda-benda "rare" dan bagus ni bukan datang selalu dan sekarang sementara tengah ada ni baiklah pergi tengok kat wayang. Nak harap "berlengkau" depan tv tunggu Astro First apa barang beb!

Secara keseluruhan aku kasi 4.5/5 bintang. 0.5 bintang pasal score muzik tadi..:-)


Ilham - Faizal Hussein
Bakar - Pekin Ibrahim
Adil - Zahiril Adam
Muski - Amerul Affendi
Pok Eng - Wan Hanafi Su
Pok Wah - Namron
Pok Awang Sonar - Sofi Jikan
Deng - Bront Palare
Mek Yah - Tengku Azura
Jolok - Husyairy Husin
Gasi - Md. Ezyendy
Ketot - Sufian Muhammad
Jing - Jimmy Lor
Cina Burung - Ho Yuhang

Pengarah - Dain Said
DOP - Charin "Tong" Pengpanich
Score Music - Tan Yan Wei
Producer - Nandita Solomon
Penerbit - Apparat Production


Gambar diambil dari Google Image dan kredit kepada website rasmi Bunohan untuk senarai pelakon.




Khamis, 1 Mac 2012

Kampung Bunohan



Aku jarang dapat peluang ke tayangan premier sesebuah filem tempatan. Termasuk semalam (29/02/2012), baru tiga filem yang memberi peluang kepada aku untuk ke tayangan premier. Filem pertama, Estet, arahan Mamat Khalid dan yang kedua Hantu Kak Limah Balik Rumah juga arahan Mamat Khalid. Maka memang sangat-sangat berbesar hatilah tatkala aku dipelawa oleh Jenderal Sindiket Sol-jah, Naga untuk ke tayangan premier Bunohan semalam.

Aku tak bercadang untuk mengulas filem ini memandangkan ianya hanya akan mula ditayangkan di pawagam tempatan pada 8 Mac nanti. Cuma berdasarkan apa yang telah aku tengok ditambah dengan review dari mereka-mereka yang juga berpeluang menonton premier ini, aku sangat-sangat mencadangkan supaya kalian menonton juga filem ini pabila ditayangkan kelak. Kalau ikut kanta mata aku yang menontonnya, hampir tiada cela dan cacatnya filem ini (kecuali kalau kalian mengharapkan ada watak heroin lawa dan berkemban...ha ha ha).

Filem ini filem jantan. Filem yang dialognya seakan 'menyanyi'. Hampir 90% dialog menggunakan dialek Kelantan dan Pattani. Tapi jangan risau. Sarikata yang disediakan sangat-sangat membantu. Filem ini juga menampilkan hanya satu watak perempuan. Itupun watak pembantu. Latar belakang filem ini juga 'kasar'. Gelanggang tomoi, paya, kubur, tengkorak. Namun ianya bukan filem ganas atau seram. Kesimpulannya, memang jauh dari tanggapan awal kalau hanya dinilai melalui teaser di youtube.

Tanpa ragu-ragu aku akan mengulang semula menonton filem ini bila ianya dibuka untuk tayangan umum nanti. Untuk filem sebagus ini, aku tak ragu-ragu untuk mengeluarkan duit untuk tiket wayang dengan harapan agar pengarah akan dapat menggunakan duit tiket aku untuk membikin filem lain yang sebaik filem ini pada masa hadapan.

Jemputlah ke kampung saya, Bunohan!

Faizal Hussein - Ilham
Pekin Ibrahim - Bakar
Zahiril Adam - Adil "Bunga Lalang"
Wan Hanafi Su - Pok Yeh
Sofi Jikan - Pok Awang Sonar
Namron - Pok Lah
Tengku Azura - Mek Yah

Pengarah - Dain Said

p/s: Ulasan penuh hanya akan ditulis selepas 8 Mac 2012.

BARBARIK PENTAS KERAS – PENUTUP MELAZATKAN UNTUK TAHUN 2022

Ura-ura untuk mengadakan konsert ini sudahpun sampai ke telinga aku sejak sebelum PM DS Ismail Sabri umumkan negara memasuki fasa pra-pand...