Ura-ura untuk mengadakan konsert ini sudahpun sampai ke telinga aku sejak sebelum PM DS Ismail Sabri umumkan negara memasuki fasa pra-pandemik lagi. Keterujaan itu memang sangat tinggi. Tapi mengenangkan apa pun boleh jadi, maka aku diamkan dulu apa yang aku dengar.
Setelah menghadiri mesyuarat pra-produksi, secara rasmi juga menandakan
yang konsert ini bakal menjadi kenyataan. Maka kerja keras untuk melancarkan
segala yang dirancang pun bermula. Sesi promosi melalui media sosial disusun.
Begitu juga dengan sesi latihan yang dimulakan lebih awal. Bayangkan ahli kumpulan
yang terlibat sudah mulakan latihan 4 bulan awal sebelum tarikh konsert. Gila
ke apa? Tapi demi menjamin hanya yang terbaik untuk dihidangkan buat pembeli
tiket, maka segala perancangan tetap diteruskan.
Walaupun sesi latihan bermula sejak bulan September, namun kerancakan
promosi dan kehangatan konsert terganggu dengan pembubaran parlimen dan tarikh
PRU yang diumumkan SPR. Betul punya potong stim la. Orang tengah sibuk nak
rock, dia boleh bubar parlimen pula! Namun nasib baik tarikh mengundi yang
ditetapkan pada 19 November 2022 agak jauh juga dengan tarikh konsert. Maka
perancangan baru perlu dibuat untuk disesuaikan dengan perkembangan terkini yang
berlaku.
Secara jujurnya aku kurang menonjolkan diri dalam konsert kali ini. Tidak
sekalipun aku jejakkan kaki ke studio 3rd Floor United (tempat
mereka berlatih) sepanjang 4 bulan masa yang mereka habiskan. Ini kerana
gara-gara aku mendapat sakit kaki yang berpunca dari kuman dalam darah sejak
dari sebelum Hari Raya Korban yang mengakibatkan kakiku bengkak sebelah. Susah
beb nak panjat tangga sampai tingkat 3 dengan kaki bengkak ni. Hu hu hu! Mujur
ada Rimi yang juga dalam pasukan pengurusan media sosial yang mengambil alih tempat
aku.
2 minggu menjelang konsert promosi secara temubual dengan media cetak dan portal
atas talian semakin agresif dilakukan. Er…konsert ini tidak menggunakan
pendekatan melakukan sidang media secara kebiasaan untuk mempromosikan konsert.
Semua aktiviti promosi dilakukan 100% melalui media sosial seperti di Facebook,
Twitter, Instagram dan Youtube dan aku antara pengurusan yang menjaga semua
akaun media sosial ini. Setiap hari bersama barisan team produksi memikirkan
apa konten berkenaan konsert untuk dimuat naik sebagai strategi promosi. Bergaduh,
merajuk, sentap...apa bala perasaan semua pernah rasa la waktu ni.
Masing-masing semua tekanan tinggi wooo!
24 Disember 2022 – Hari persembahan. Aku masih batuk-batuk dan terpaksa
memakai penutup muka (facemask) sepanjang masa. Bukan Covid-19 ya. Dah naik
lopong lubang hidung aku kena jolok dek ujian RTK. Syukur ia negatif. Antara perkara-perkara
negatif yang perlu diraikan. Tak sangka ya di tahun-tahun selepas Wawasan 2020
ni kita akan seronok bila mendapat hasil ujian negatif! Ha ha ha!
Aku ditugaskan menjaga penjualan tiket fizikal. Sebenarnya untuk konsert
ini pihak produksi tidak mahu menjual tiket fizikal. Semuanya 100% secara
online. Namun mengenangkan peminat dua susuk rokers Jo Branko dan Muss ramai
juga yang tidak terdedah kepada urusniaga atas talian ini, maka tiket fizikal
dijual tetapi hanya pada hari konsert. Aku juga bersama-sama Baha memantau
proses penukaran e-ticket kepada tiket fizikal yang pihak produksi sediakan.
Apa yang seronok pada aku ketika hari konsert sebegini ialah secara tak
langsung ia menjadi hari perjumpaan kawan-kawan lama dan yang datang dari jauh.
Semacam satu mini gathering apabila aku dapat berjumpa kembali dengan
member-member blogger, member-member roker dan juga kawan-kawan yang lain. Cuma
slek pada aku kerana tidak cergas 100% ketika itu dan terpaksa membataskan masa
‘berfoya-foya’ dengan mereka kerana tidak mahu menjadi punca kluster batuk pula
selepas konsert tamat. Ha ha ha!
Possing majalah Mangga dengan You-Know-Who
DJ Pool ex-KLFM tampil mengambil peranan sebagai pengacara pada malam itu
ketika jam menunjukkan pukul 8:45 malam. Sambil membakar perasaan penonton yang
makin memenuhkan ruang hadapan pentas, sambil dia mengimbau kenangan ketika
gandingan Jo dan Muss ini ‘mengganas’ dalam album Wings dulu. Aku sudah mula
mengambil tempat di dalam kawasan FOH sambil mencongak-congak hadirin yang
datang pada malam itu. Menurut anggaran mata kasarku, kapasiti ruang Zepp pada
malam itu senang-senang sudah mencapai 90% dari jumlah yang boleh diisi. Itupun
masih ramai yang tersangkut dek kesesakan lalulintas Kuala Lumpur malam itu
yang gagal untuk datang walaupun tiket sudah dibeli.
Tepat 9:05 malam, lagu pembukaan berkumandang. Satu paparan video ditembak
di atas layar kain yang menutupi pentas memperkenalkan barisan tenaga produksi
konsert sebelum intro Penunggu mengambil tempat sebagai lagu pembukaan pada
malam tersebut. Susun atur atas pentas sangat simple untuk konsert ini, tiada
skrin LED yang selalu menjadi latar persembahan seperti konsert-konsert lain.
Joe memang merancang untuk membuat konsert ini dengan vibe persembahan tahun 90-an. Hanya lampuan yang memeriahkan pentas
tanpa perlu skrin-skrin besar ini.
Ketika sesi temubual dengan media cetak dan pengamal media sosial, Jo Branko
sudah memberitahu yang dia akan memastikan penonton yang datang menyaksikan
konsert Barbarik Pentas Keras ini akan puas dengan bunyi yang dihasilkan dan
akan ‘membingitkan’ telinga penonton.Ternyata apa yang Joe cakap itu benar. Dari
lagu pertama lagi bunyian gitar Jo, dengungan bass Rozaimi, hentakan drum
Ainoll dan tusukan papan kekunci Adi serta pekikan suara Muss bagaikan anak
panah menerjah gegendang telinga penonton. Dari satu lagu ke satu lagu
gandingan mereka di atas pentas dengan bantuan Simon Khoo sebagai jurutera
bunyi dan Ozlan sebagai jurutera lampu memukau seluruh pelusuk Zepp. Tidak
cukup dengan itu, barisan artis jemputan yang dijemput khas oleh Joe selaku
pengarah muzik memberikan nilai tambah kepada persembahan yang ada. Penampilan
Asheed DEF GAB C, Mel dan Mael XPDC ternyata berjaya membuatkan penonton
bertambah gamat pada malam itu. Paling mengujakan? Sudah tentunya kemunculan
semula gitar keramat the legendary Les Paul Custom Lefty ‘Black Beauty’ yang
sudah tersimpan hampir 5 tahun sebelum ini. Terubat rindu beb dengar gitar ni
menjerit!
Keris Tak Ada Sarung menjadi lagu penutup pada malam itu. Sebanyak 20 lagu
dipersembahkan mereka yang mengambil masa hampir 3 jam. Kelihatan muka sang
pengarah persembahan Mie Bird tersenyum di belakang konsul mixer seolah-olah
satu batu besar sudah habis terangkat dari bahunya. Satu show yang berjaya dan
diktiraf antara konsert rock terbaik dekad ini serta layak menjadi penutup bagi
tirai persembahan tahun 2022 yang menggila dengan penganjuran satu demi satu
konsert artis tanah air dan luar negara. Barbarik Pentas Keras yang keras dan
bingit!
P/s: Aku baru perasan. Ketika pengumuman konsert ini dan ketika berlakunya
konsert ini, Malaysia ditadbir oleh dua orang Perdana Menteri yang berlainan.
Power To The People!
2 ulasan:
Ralat betul tak dapat join
Gambar saya takda sebab saya yang ambik gambar. Itu je nak cakap.
Catat Ulasan