(Artikel ini telah diterbitkan di portal Neon Berapi pada 27.12.2017)
Aku mengklik butang ‘pay now’ di laman sesawang Ticket Charge dengan keadaan kepala otak masih bermain-main petikan klip video lagu Matsuri yang kerap diputarkan di kaca tivi Stesen Television Malaysia Berhad (STMB) suatu ketika dahulu sebelum ia bertukar nama menjadi TV3. Masih tertera di tiket fizikal aku tarikh 10/09/2017, tarikh ketika pembelian tiket dibuat – kira-kira 4 bulan yang lepas.
Ini
adalah kali ketiga dalam hidup aku menjejakkan kaki ke puncak gunung Ulu Kali
ini. Kali pertama dahulu seingat aku dalam tahun 1992. Itupun ditipu mak aku
kononnya kami hendak ke Bukit Badong, Kuala Selangor. Kali kedua pula pada
tahun 2006 atas urusan pejabat (menghadiri persidangan sebenarnya). Jadi aku
tak boleh nak ingat apa-apa tanda mahupun jalan untuk naik ke atas. Tidak salah
rasanya untuk aku berasa sedkit teruja dan berdebar ketika tarikh 24/12 makin
menghampiri harinya. Macam nak pergi mengadap bakal keluarga mertua pun ada.
Eh!
Bersama Sinaganaga dan Aloy Paradoks, kami memulakan pendakian kami (ceh!) tepat pukul 3 petang. Dengan keadaan jalan yang tidak berapa sibuk, kami cuma mengambil sedikit masa ketika mendaki dari Genting Sempah menuju ke puncak. Itupun tidaklah lama mana. Lebih kurang pukul 5 petang kami selamat meletakkan kereta di kawasan parkir hotel First World.
Suasana
di puncak agak berkabus, bersesuaian dengan cuaca tengkujuh yang sedang melanda
negeri-negeri Pantai Timur. Namun suhu di dalam mall tidaklah sesejuk yang disangka. Beberapa kali juga aku
terpaksa membuka coat dek kepanasan walaupun sesekali angin sejuk terasa
menghembus diri ini. Lebih aku tercabar melihatkan amoi-amoi dengan tenang
mengenakan skirt pendek separas paha di sini. Fuh! Orang
berbudi kita merasa (lihat), betul?
Konsert
Kitaro kali ini membawa tema Kojiki & The Universe. Pada yang tidak tahu,
Kojiki adalah tajuk album beliau yang turut mengandungi lagu Matsuri yang kita
semua tahu itu. Jadi bayangan awal aku, konsert kali ini tentu agak slow-tempo dan kalau tak kena gaya,
boleh tertidur aku dalam Arena Of Stars nanti dek lagu-lagu yang slow ditambah dengan cuaca sejuk Genting
Highlands.
Setelah
puas mengukur panjang mall, kami terus
ke Arena Of Stars yang terletak bersebelahan dengan mall. Pukul 9.45 malam kami sudah tercantuk di atas kerusi. “Macam
kerusi stadium je tempat ni,” rungut Aloy. Dia sudah membuat kajian yang agak
terperinci tentang latar belakang tempat persembahan ini. Warna bumbung Arena
Of Stars pun dia tahu warna apa. Dahsyat betul orang teater buat homework!
Walaupun
di atas tiket tertera 10.00pm untuk waktu bermulanya persembahan, ternyata
Kitaro tidaklah setepat itu. Mungkin kerana beliau hanya dilahirkan di Jepun
namun membesar dan bermastautin di Amerika yang membuatkan menepati masa bukanlah sebahagian daripada budaya beliau. Entah. Konsert dimulakan tepat jam 10.16
malam (aku sempat melirik jam di telefon pintarku ketika ini). Lagu Silk Road
diikuti dengan Caravansary menjadi lagu pembuka panggung. Dalam balam lampu
sorot berwarna biru, kelihatan Kitaro dengan barisan keyboard-nya ditemani
seorang lagi pemain keyboard dan seorang pemain violin sebelum penari ‘Butoh’
keluar pada lagu keempat sambil menatang lilin di atas pentas; mempersembahkan
disiplin tarian ‘Butoh’ dan diakhiri
dengan dua orang pemain gendang.
'Pengantin' pada malam itu
Persembahan
Kitaro pada malam itu dibahagikan kepada 2 segmen. Segmen pertama adalah ‘Silk
Road Journey’ di mana lagu-lagu yang dimainkan adalah lebih bersifat
pengembaraan dan kebangkitan manakala segmen kedua, Kojiki & The Universe
adalah berdasarkan legenda purba Jepun berkenaan asal kewujudan angkasa, sistem
solar dan planet-planet yang bertaburan di angkasa.
Sebenarnya
hati aku sudah mulai luruh saat kali pertama memandang ke arah pentas. Hanya
kelihatan 2 buah keyboad yang diletakkan secara berhadapan dan dua biji gendang
yang diletakkan di penjuru kiri dan kanan pentas. Takkan ini saja? Tiga keping
layar yang diletakkan di tengah, kiri dan kanan pentas pula aku rasa macam
tengok wayang pacak pula. Entah tahun bila punya teknologi aku pun tak tahu.
Ketakutan
aku menjadi kenyataan bila Kitaro mincul di pentas. Muzik yang dimainkan
menggunakan ‘playback’ bergema di seluruh dewan dan Kitaro serta barisan
pemuzik undangan beliau cuma bermain ‘on top of playback music’. Tiada
kelihatan pemain bass walaupun bunyi bass kedengaran, pemain ‘Koto’ juga tak
kelihatan walaupun ada satu lagu tu didominasi oleh bunyian ‘Koto’. Senang
cakap, paling ramai cuma 6 orang saja yang kelihatan di atas pentas termasuklah
Kitaro. Dan paling palatnya, ketika lagu Matsuri dimainkan, cuma Kitaro saja
yang kelihatan di atas pentas tanpa kelihatan kelibat pemain gendang mahupun
pemuzik-pemuzik lain. Layar di kiri kanan juga tak banyak membantu. Terasa
macam tengok tv dengan skrin CRT saja sedangkan di zaman ini, sudah banyak
skrin LED dengan resolusi tinggi boleh disewa dengan mudah. Pergerakan kamera
juga agak menggeramkan di mana kamera lebih banyak tertumpu kepada penari
‘Butoh’ berbanding ‘pengantin’ kita pada malam itu. Bak kata Sinaganaga, kalau penganjur
letak Lim Swee Tin menggantikan Kitaro di atas pentas pun, orang bukan perasan,
kan?
Secara
keseluruhan, konsert Kitaro ini hanya boleh diletakkan sebagai ‘biasa-biasa’
saja. Walapun hampir 5000 kerusi di dalam Arena Of Stars ini dipenuhi penonton,
namun secara peribadi, aku rasa agak kecewa dengan persembahan beliau. Mungkin
aku terlalu mengharapkan persembahan seakan klip video Matsuri yang suatu
ketika dahulu kerap diulang tayang di kaca tivi. Untuk aku terbuai dalam
pengembaraan baik dalam segmen Silk Road Journey mahupun Kojiki & The
Universe pun aku gagal. Mungkin kerana faktor layar yang kusam dan tak membantu
langsung penceritaan melalui video yang ditayangkan. Juga mungkin faktor video
yang banyak diambil dari sumber lain seperti NASA yang membuatkan
‘pengembaraan’ menjadi lebih kepada menonton filem dokumentari bisu mengenai
angkasa lepas sambil dilatari muzik oleh Kitaro. Nasib baik tak ada kutu baca
sajak!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan