Music that originates in traditional
popular culture or that is written in such a style. Folk music is typically of
unknown authorship and is transmitted orally from generation to generation –
Google.
Setelah terlewat hampir dua bulan lebih dari tarikh asal, akhirnya album Arus Deras tiba di tangan. Bungkusan mengandungi dua buah cakera padat dan dua set poskad siap bertandatangan selamat dipisahkan dari bungkusan plastik Poslaju sekitar minggu lepas (1 September 2021). Sebuah album yang boleh saya katakan antara yang terlama saya tunggu untuk disiapkan. Mungkin sudah 7 atau 8 tahun dari kali pertama saya dimaklumkan akan projek merakam studio album yang sedang giat mereka laksanakan. Cuma album ini rupanya bukanlah album yang sama (walaupun masih mengekalkan tajuknya) yang saya diberitahu dulu. Album ini berlainan sama sekali daripada rancangan asal mereka. Kiranya album yang diberitahu dulu boleh sudah dianggap sebagai the lost album ikut kata ketua kumpulan merangkap pemain gambus/oud dan juga penerbit bersama, Zulkifli Ramli @ Zoy.
Sengaja saya mencari dan memutar kembali EP mereka,
Mabuk Kepayang yang diterbitkan sekitar 13 tahun dahulu berselang-seli dengan
album ini. Sekadar untuk menikmati betapa jauhnya pengembaraan dan kematangan
muzik mereka sejak terbitnya Mabuk Kepayang dulu hingga lahirnya Arus Deras
ini. Ah, betapa indahnya bernostalgia.
(Dewangga Sakti 2008. Gambar ihsan Dr. Rizal)
Dewangga Sakti membawa maksud lembaran kain atau
persalinan (sutera) yang mempunyai kuasa ajaib. Dikuasakan pada awalnya oleh
anak-anak kapal ‘Kesultanan Gombak’ atau dalam bahasa mudahnya alumni dan bekas
pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sg Pusu dan Akademi Seni dan Warisan Padang
Merbok. Nampaknya mereka berjaya mengekalkan penguasaan alumni yang sama untuk
album ini cuma melibatkan pertukaran susuk dan posisi.
(Senarai lagu dan pencipta)
Album ini dimulakan dengan 3 buah lagu yang mengisahkan
tentang kenangan - nostalgia atau ingatan atas perca-perca cerita lama yang
sudah berlalu. Jalan Gombak, Lupus dan Waktu Kecil Kita kuat temanya – benda yang
telah lepas dan berlalu. Bisa mendodoi kalian untuk hanyut sekali dalam
nostalgia mereka. Diikuti dengan sebuah instrumental gambus/oud yang mengikut
kata pemainnya, adalah taksim atau improvasi instrument dalam Bahasa Arab.
Instrumental ini dimainkan dalam maqam Nahawand (macam belajar taranum
pula) atau dalam skala C Minor mengikut scale muzik moden. Lagu
diteruskan dengan Langit Merah, antara kegemaran saya dalam album ini. Lagu
yang sarat dengan perasaan kesedihan baik daripada segi muzik mahupun lirik.
Nak buat macam mana, saya ni persis seperti yang ditulis almarhum JS Kevin, “…jadi sentimental hati lelaki ini.” Kah!
Ophir menjadi tajuk lagu yang seterusnya. Agak beremosi sebenarnya lagu ini terutamanya di kalangan sahabat-sahabat terdekat kerana dalam lagu in terakam jeritan ‘growl’ salah seorang sahabat mereka, allahyarham Meo Tamlikha yang telah pergi menemui Sang Pencipta akibat penangan Covid-19, pandemik durjana yang sudahpun meragut ribuan nyawa di tanah air ini. Moga rohnya dikasihi, dilimpahi rahmat dan diampuni oleh Sang Pencipta. Ameen. Diikuti dengan sebuah lagi instrumental VII yang juga merupakan satu lagi taksim.
(Senarai lagu)
Rahmat Jagat Raya pula adalah sebuah lagu yang ditulis
untuk mengingati dan menggambarkan kecintaan kepada junjungan besar kita, Rasullullah Muhammad SAW yang
kemudiannya diikuti dengan sebuah lagu berentak ‘rockdut’ atau dangdut rock
dengan tajuk yang pada saya agak ‘menegakkan bulu roma’, Malaysia Sejahtera. Ha
ha ha! Tapi saya nak puji lagu ini kerana ianya dimulakan dengan spoken word
yang sangat menangkap dengan kawalan tonasi suara dan nafas yang mantap yang dilontarkan oleh kalau tak silap pendengaran saya, Abdul Raof
yang memikul tanggungjawab sebagai penerbit bersama dan juga sebagai pemain
alatan gendang, darbuka dan kompang dalam kumpulan ini.
(Poskad lengkap bertandatangan)
Satu lagi instrumental melengkapkan 3 buah lagu instrumental
dalam Arus Deras ini. Al-Iksir atau dalam Bahasa Inggeris, Elixir
yang membawa maksud penawar atau mata air kehidupan. Ada bagusnya juga lagu-lagu
instrumental dimasukkan sekali dalam album ini. Harapnya selepas ini acara
bacaan puisi di negara ini dapatlah menggunakan lagu-lagu dari album ini
berbanding lagu-lagu instrumental Kitaro. Bukanlah menidakkan kehebatan Kitaro
itu sendiri tapi sekadar menukar rasa dan nuansa agar lebih bercitarasa
tempatan. Sekadar pendapat saya dan mohon mencadang.
Arus Deras ditutup dengan Ronggeng Putrajaya, sebuah
lagu joget sendaloka yang menampilkan penyanyi jemputan, Alfian aka Abang
Ranum, alah mamat yang pernah tular dengan bacaan ala taranum masuk gaji depan mesin
ATM tidak berapa lama dulu. Sebuah lagu joget tipikal yang diakhiri dengan penutup
joget Johor Sports Club.
Keseluruhan pembuatan album ini pada pandangan saya
adalah amat cemerlang sekali dan sangat baik hasilnya. Baik dari segi teknikal
rakaman dan adunan muzik, kekemasan bungkusan album, kreativiti grafik kulit
album dan juga kaligrafi lirik “Kerja orang rajin’ saya gelarkan. Dalam zaman di
mana muzik fizikal sudah makin pupus selari dengan pupusnya peralatan untuk
memainkannya, Dewangga Sakti berani menongkah ‘Arus Deras’ digital dan
mengeluarkan album ini tanpa ada apa-apa jaminan mereka akan mendapat laba darinya.
Tapi pada saya, bukanlah mereka yang tidak untung tetapi kita selaku rakyat Malaysia
yang kerugian sekiranya muzik sebegini hilang dari pendengaran kita sendiri.
Muzik yang dapat membawa kita kembali mengenal leluhur dan akar bangsa sendiri
tanpa perlu merendah atau mencerca bangsa atau kaum yang berlainan. Sesuai
dengan sifat muzik itu sendiri yang universal.
(Sambungan setlist di atas)
Cuma sebagai seorang yang agak lama mengenali mereka
dan mengikuti perkembangan mereka dan muzik mereka, saya merasakan akan dua kehilangan.
Kehilangan pertama ialah kehilangan sifat nakal (witty) dan raw dalam
lagu-lagu mereka. Ini saya bandingkan dengan EP Mabuk Kepayang yang telah berusia
13 tahun itu. Tiada lagi tajuk lagu yang nakal, tiada lagi nyanyian kegembiraan
beramai-ramai dan sebagainya. Tanda-tanda penuaan mungkin. Satu lagi kehilangan
adalah kehilangan bunyian yang boleh dikatakan paling dominan dalam Mabuk
Kepayang - gesekan biola. Mungkin saya terlalu bernostalgia tapi pada saya, muzik
tradisional atau folk melayu ini selain gambus, gendang dan akordion, gesekan biola
juga adalah penting dalam memberikan mood atau jiwa dalam sesebuah lagu itu.
Gesekan biola seakan mempunyai magisnya yang tersendiri pada saya lebih-lebih
lagi dalam lagu-lagu bernuansa nusantara melayu sebegini. Tapi ini cuma ulasan saya
sebagai seseorang yang pernah mendengar dan mempunyai EP lama mereka. Untuk
pendengar baru, saya rasa tiada masalah untuk kalian jatuh cinta kepada Arus
Deras pada pendengaran kali pertama.
Kesemua lagu dan lirik dicipta dan ditulis oleh ahli
kumpulan sendiri kecuali untuk lagu Lupus yang liriknya ditulis oleh rakan
mereka. Album ini juga mendapat pertolongan kawan-kawan lama mereka yang
menjadi penyanyi latar untuk lagu-lagu seperti Jalan Gombak, Malaysia Sejahtera
dan Ronggeng Putrajaya (saya juga terlibat sebagai penyanyi latar untuk dua
buah lagu. Ha ha ha!).Terbitan Himawari Records, album ini pada saya adalah
album yang wajib ada di setiap rumah di Malaysia. Bagi mereka yang mencari
kelainan, yang ingin mengkaji folk atau irama melayu atau yang sukakan
benda-benda best, album ini memang untuk anda.
(Senarai jemputan khas. Perhatikan nama saya di situ. Ha ha ha!)
Belilah dan dengarlah serta hayati bait-bait lirik dan
alunan muziknya serta kesyahduan pelantun suara utamanya (Edie adalah pemenang
Bintang Asli Remaja Kebangsaan tahun 2006 dan merupakan juara termuda di
Malaysia memenanginya ketika berusia 15 tahun). Untuk pembelian album, bolehlah
terus ke laman Facebook mereka, Dewangga Sakti atau melalui ketua kumpulan
mereka, Zulkifli Ramli. Semoga terhibur dan selamat hanyut bersama Arus Deras!
Anak-Anak Kapal Dewangga Sakti 2021.
Zulkifli Ramli – Gambus, Oud, Cura Saz, Petir
Wahyun Anwar – Rebana, Darbuka, Floor tom, Shaker,
Tamborin, Kompang
Azman Azahar – Gitar Bass, Gitar Eletrik & Akustik,
Vokal Kedua
Irwan Effendy – Akordion, Keyboard, Gitar
Eletrik
Abdul Raof Salhudin – Rebana, Darbuka, Kompang, Floor
tom, Shaker, Petir
Edie Nazrin – Vokal Utama