Khamis, 28 Disember 2017

PENCARIAN 40 TAHUN M. NASIR MENCIPTA MAGNUM OPUS DALAM KEMBARA KE SOLO

(ULASAN INI TELAH DISIARKAN DI PORTAL MAJALAH ONLINE NEON BERAPI PADA 19 DISEMBER 2017)


Poster kedua untuk acara ini. Aku suka design dia.

Aku berjaya menewaskan penggera telefon aku pada pagi itu. Sesuatu yang sangat ‘rare’ sebenarnya dan sangat menyalahi rutin hari Sabtuku – bangun di awal pagi. Sedar-sedar, aku sudah berada di Mamak Bucu di bawah bukit DBP sambil menunggu pesanan roti canai empat segi 2 keping pada pukul 9.30 pagi. Tips untuk korang mendapat roti canai yang sentiasa panas dan dibuat baru, pesanlah roti canai empat segi. Kebanyakan mamak akan membuat roti canai berbentuk bulat dan dimasukkan dalam bekas kedap udara. Akibatnya, roti canai yang tersimpan di dalam bekas akan berkuap dan menjadi lembik kesan pemeluwapan udara panas yang bertukar menjadi titik air dan seterusnya gugur membasahi roti canai yang diam di dasar bekas. Tepung yang dibasahi air, tak sedap bukan?

Sepatutnya acara forum/diskusi/perbincangan Magnum Opus: 40 tahun M. Nasir Dari Kembara ke Solo ini bermula pada waktu petang. Tetapi secara kebetulan, syarikat penerbitan aku juga mengadakan diskusi kecil-kecilan bertujuan mengira royalti dan honorarium penulis kami dan juga pembahagian ‘BRIM’ kepada ahli lembaga pengarah. Kah! Maka itulah sebabnya kenapa seawal jam 9 pagi aku sudah tercantuk di kedai mamak ini sambil melihat-lihat ‘drebar’ teksi dan abang polis minum pagi.

Usai urusan syarikat penerbitan, aku bergegas ke MATIC melalui jalan Imbi seterusnya jalan Tun Razak sebelum memasuki jalan Ampang. Jangan harap Waze nak tunjukkan kau jalan-jalan ini. Sinaganaga selaku penumpang di sebelah yang menunjukkan jalan-jalan yang boleh aku katakan ‘gilalah!’. Lalu belakang bangunan, lalu jalan kecil...terus sampai ke jalan Ampang. Mati hidup balik aku takkan ingat jalan yang ditunjuk. Oh, lupa aku katakan. Bekalan ‘bateri badan’ aku hanya diisi dengan dua keping roti canai pagi tadi. Nak singgah makan kejap, jam sudah menunjukkan pukul 2.15 petang. Tinggal 15 minit lagi sebelum acara bermula!

Secangkir Kopi Semanis Puan Puan pengacara majlis.

Setibanya aku di MATIC, kelihatan Ronasina yang kemas bertocang siap dengan bush jacket sedang berborak dengan tetamu. Sesudah berjumpa Ishmael dan mendaftarkan diri (walaupun nama yang tertera masih nama lama kelab) serta mengambil beg cenderamata, aku ke belakang seketika untuk menyalakan rokok. Ronasina kemudiannya bergabung denganku diikuti dengan Amin Iskandar, wartawan Malaysia Insight. Seir kemudian menghampiri kami semata-mata untuk pow rokok aku. Gila kau taknak kasi? Ex-editor ROTTW tu yang pow kau. Kalau dia tak pow pun, aku akan offer juga dekat dia. Perut sudah mula berSeloka Jegela Melayu. Tapi mengenangkan acara bakal dimulakan, kutahankan saja, Jebat!

Dari kiri: Ronasina, M. Nasir, Hairul Anuar Harun & Seir Rashid

Aku ditunjukkan tempat di barisan tepi hadapan di dalam dewan. Pergh! Kerusi ada tag media! Demam ke apa Ishmael ni? Di sebelahku ada makwe lawa dengan kamera tivi. Entah dari media mana, tak pula aku bertanya. Jam di telefon pintarku sudah menunjukkan pukul 3.10 petang. Bayang M. Nasir masih belum kelihatan di dalam dewan. Hmmm. Kalau aku tahu, baik aku minum kejap dekat kafe Matic tadi. Argh!

'Gaduh' pusingan pertama!

Lebih kurang pukul 3.30 petang, kelibat M. Nasir mula kelihatan dan memasuki dewan. Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh puan pengacara majlis diikuti dengan bacaan doa. Panelis mula mengambil tempat di atas pentas. Selain Ronasina sebagai moderator/pemudahcara, panelis lain ialah ‘bos’ Tempatan Fest dan juga bekas editor majalah ROTTW, Seir Rashid, penulis lirik ‘Cindai’ dan ‘Hati Kama’, Hairul Anuar Harun dan (Dato’) M. Nasir sendiri. Acara dijalankan secara format 3 pusingan di mana pusingan pertama membincangkan seputar album-album Kembara, pusingan kedua membicarakan tentang album ‘Solo’ dan pusingan akhir adalah soalan daripada penonton.

Seir Rashid selaku panelis pertama banyak mengupas mengenai rekabentuk kulit album dan juga sifat dan keunikan trio Kembara. Beliau sempat menamakan lagu kegemaran beliau, Di Suatu Keramaian kerana menampilkan antara paduan suara harmoni yang terbaik pernah dihasilkan Kembara. Beliau juga mengupas tentang pengaruh Bob Dylan dan Bob Marley dalam lagu-lagu Kembara dan juga bagaimana besarnya pengaruh S. Amin Shahab sehingga layak digelar sebagai ‘ahli keempat Kembara’.

'Punca' aku tak sempat bertanyakan soalah. Kah!

Hairul Anuar Harun yang baru saja menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana dengan memilih S. Amin Shahab sebagai subjek kajian pula banyak mengupas daripada aspek tema dan unsuru-unsur yang terdapat dalam setiap lirik-lirik lagu Kembara. 64 lagu dengan 6 buah album sepanjang tahun 1981 hingga 1986, beliau telah memecahkan lagu-lagu Kembara kepada 3 tema utama: sosio ekonomi, kehidupan/pencarian dan cinta. Manakala unsur-unsur yang ketara dalam setiap lagu-lagu Kembara pada pengamatan beliau adalah pencarian, puitis, kritikan sosio ekonomi, pembangunan negara, marhain, alam & perlambangan serta lokasi. Beliau juga sempat menimbulkan satu fakta di mana penubuhan Kembara adalah pada tahun yang sama dengan perlantikan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keempat – kaitannya dengan lirik-lirik Kembara yang banyak menyentuh tentang pembangunan negara selain kritikan sosial dan juga marhain.

M. Nasir banyak bercerita tentang pengaruh beliau ketika membesar sehinggalah tertubuhnya Kembara. Juga tentang peluang yang diberikan oleh Eric Yeoh (kalau aku tak silap dengar), orang yang bertanggungjawab membuka jalan kepada Kembara untuk merakamkan album walaupun mereka membawakan genre muzik yang tidak popular langsung pada ketika itu. Serta ‘persaingan’ dengan kumpulan Harmoni (allahyarham Zubir Ali) yang keluar pada waktu dan ketika yang dekat dengan Kembara dengan konsep yang lebih kurang sama. Beliau juga bercerita perihal mengenali A. Ali sejak dari zaman A. Ali masih lagi anggota kumpulan Sweet Charity (A. Ali pernah menjadi gitarist kumpulan Sweet Charity di awal penubuhan kumpulan itu) dan mengenal S. Sahlan di sebuah kelab cina di Singapura. Gabungan suara tinggi S. Sahlan, suara pertengahan A. Ali dan suara bass beliau ternyata menjadi gabungan terbaik harmoni untuk diterapkan dalam setiap lagu-lagu Kembara.

Paling kanan, Johan Haron. Presiden kSMN

Pusingan kedua pula banyak berkisar mengenai album ‘Solo’. Tentang siapa pemuzik di sebalik rakaman. Peranan Aziz Bakar yang membuka jalan kepada M. Nasir untuk merakamkan album tersebut. Tentang pencarian makna ‘lagu melayu’ pada M. Nasir hingga terciptanya lagu Mustika (M. Nasir mengatakan ‘lagu melayu’ dulu banyak dipengaruhi hindustan dan Amerika Latin hinggakan tiada dasar jelas tentang makna lagu melayu itu sendiri) dan juga rekabentuk kulit album yang dihasilkan allahyarham Jalil Ngah. Ketiga-tiga panelis juga secara selamat barangkali tidak menyentuh isu-isu sensitif sepanjang mereka berdiskusi. Takde apa yang sensitif pun dalam tempoh sela masa album pertama Kembara hingga album ‘Solo’ kan?

Aku tertarik dengan soalan dari Hairul Anuar Harun kepada M Nasir berkenaan penciptaan lagu. Soalan beliau kenapa M. Nasir kurang menyanyikan lagu daripada pencipta lain baik dalam album Kembara mahupun ‘Solo’. Jawapan M. Nasir secara spontan pada ketika itu, “Beatles ada nyanyi lagu orang lain?” diikuti dengan ketawa beliau sebelum menyambung percakapan. Padanya, beliau meletakkan diri sebagai seorang pelukis ketika berkarya dalam album (M. Nasir juga adalah lepasan diploma dari Akademi Seni Halus Nanyang di Singapura dalam jurusan lukisan barat). Seseorang pelukis tak suka hasil lukisan beliau dicerobohi atau dikacau pelukis lain. Ini membawa kepada persoalan yang tak sempat aku utarakan di pusingan ketiga (kerana cuma dibuka untuk 3 orang penonton saja untuk bertanyakan soalan) iaitu adakah selama ini beliau ‘mengacau’ karya-karya orang lain dengan menghasilkan lagu dan lirik yang dinyanyikan oleh orang lain? Atau beliau menggunakan orang lain sebagai ‘kanvas bergerak’ beliau untuk menyampaikan lagu dan lirik yang beliau hasilkan kerana beliau tidak ‘mampu’ untuk menyempurnakan lukisan itu. Hinggakan di tahun 2017 ini beliau masih ‘mengganggu’ lukisan orang lain?

Baru nak naik syekh!

M. Nasir juga berkongsi artis-artis barat yang menjadi rujukan beliau dan juga peneman beliau ketika kecil (abang beliau banyak menjadi penyumbang dengan membeli rekod-rekod artis ini sebelum beliau mampu membeli sendiri). Selain Bob Dylan dan Bob Marley, antara sumber beliau ketika kecil termasuklah Queen, Pink Floyd, Crosby, Stills, Nash & Young (menjawab kenapa lagu-lagu kumpulan Kembara kental dengan harmoni dan banyak berkisar tentang marhain), dan yang menariknya, M. Nasir bercerita ketika orang lain sedang sibuk mendengar kumpulan-kumpulan ‘heavy rock’ seperti Deep Purple, abang beliau memperkenalkan beliau dengan Led Zeppelin! Di akhir diskusi, Hairul Anuar Harun berharap agar penulisan lirik dapat diterima masuk dan diiktiraf sebagai sastera. Tak kiralah sastera popular atau perdana. Pada aku ini selaras dengan perubahan dunia yang sudah mula menerima penulisan lirik sebagai ‘literature’ dengan pemilihan Bob Dylan sebagai penerima anugerah Nobel pada tahun 2016 dalam kategori literature atau penulisan ini.

Bersama 'legenda' hidup, Foad Hassan (Mr. Barbarik, Srikandi Cintaku - M. Nasir dan banyak lagi lukisan beliau yang jadi cover album).
   
Acara ditutup dengan persembahan oleh M. Nasir sendiri secara akustik ditemani Johan Haron, presiden kelab Sahabat M. Nasir (kSMN) yang bermain cajon dan juga Yantoi, bassist kumpulan Lefthanded. Lama betul tak tengok Yantoi beraksi. Persembahan yang dijadualkan cuma 2 lagu tiba-tiba melarat sehingga menjadi 8 lagu. Terima kasih kepada hujan lebat yang turun lewat petang Sabtu itu. Daripada Mustika, Kepadamu Kekasih, Mentera Semerah Padi, Rajawali Terbang Tinggi...semua lagu turut dinyanyikan bersama-sama oleh penonton yang hadir. Tiada masalah walaupun beliau lupa-lupa lirik pada beberapa bahagian lagu. Yang sengsara pada petang itu sebenarnya perut aku! Dengan sejuk dewan dek penyaman udara, ditambah dengan hujan yang melebat di luar, tahap kelaparan aku sudah di tahap maksimum. Akhirnya selepas selesai lagu terakhir, aku terus bergegas ke Damansara Perdana untuk makan dan seterusnya menunggu giliran untuk mnghabiskan malam minggu bersama kutu-kutu Majlis Penonton Filem Suka-Suka Demaju (MAPSUJU).

Terima kasih dan tahniah aku ucapkan kepada Ishmael M Sharif dan Johan Haron serta kSMN atas penganjuran acara yang aku rasakan berjaya mencapai objektif  dan juga atas jemputan yang diberikan. Harapnya kalau ada Magnum Opus untuk kali kedua, jemputlah lagi ya?  
    


BARBARIK PENTAS KERAS – PENUTUP MELAZATKAN UNTUK TAHUN 2022

Ura-ura untuk mengadakan konsert ini sudahpun sampai ke telinga aku sejak sebelum PM DS Ismail Sabri umumkan negara memasuki fasa pra-pand...