Isnin, 30 Oktober 2017

Mr. Big 14.10.2017 - Cowboy Bergajah Alaf Baru - Satu Ulasan Tertangguh.


Clint Eastwood adalah seorang cowboy dan redneck sejati dan kalau di Malaysia, beliau sudah tentu menjadi ahli UMNO! Itulah kesimpulan yang ditetapkan ketika ‘sidang pleno’ Majlis Penonton Filem Suka-Suka Demaju (MAPSUJU), Damansara Perdana. Antara keahlian ‘majlis’ ini yang bersidang hampir setiap minggu di meja petak restoran mamak De Maju adalah seorang penulis skrip yang makin meningkat naik, seorang pengkritik filem yang ditakuti pembikin filem melayu, seorang koboi jalanan yang ‘menunggang’ Alza sambil mengukur jalan setiap hari dalam seragam Uber atau Grab, seorang kutu bola yang masih menganggap Dennis Berkamp itu makhluk tuhan paling power dan juga aku, seorang penonton filem runcit-runcit yang kalau datang mood, baru pergi tonton filem di pawagam. Entah bagaimana sampai tiba-tiba keluar topik Clint Eastwood ini tidaklah pula aku perasan kerana aku lebih ralit mengulit SimCity: The Builder dalam telefon genggam aku sambil menahan kantuk di mata.


Hari aku bermula pada pukul 3 petang hari Sabtu itu. Penangan melepak sampai ke Subuh sambil membuat resolusi ‘koboi’ tu. Mengambil kira venue konsert yang tak pernah lagi aku jejaki, aku keluar rumah seawal pukul 6 petang. Berbekalkan aplikasi Waze yang terpasang di telefon, aku mula menuju ke tapak konsert melalui lebuhraya KESAS. Setibanya aku di Jalan Klang Lama, macam biasa aku ‘menggagau’ mencari lokasi konsert seperti yang tertera di dalam Waze. Masalah betul aku dengan lokasi atau tempat yang tiada signboard atau sekurang-kurangnya papan penunjuk arah. Sudahlah tiada gegantung mahupun kain pemidang di depan dewan! Nasib baik aku peka dengan keadaan sekeliling. Dapat juga parking dalam kawasan sekolah yang terletak betul-betul di sebelah dewan persembahan.

Feel macam dalam Dewan Merdeka, PWTC masa Anugerah Juala Lagu dulu-dulu. 

Mata aku mula meliar mencari booth official merchandiser untuk menyambar tshirt rasmi konsert barang sehelai-dua. Namun kekecewaan melanda bila aku mendapat jawapan daripada urusetia konsert yang mereka (Mr. Big) tidak membuka gerai jualan merchandise di Malaysia. Hanya di Singapura saja baru mereka jual merchandise rasmi. Hmmm. Patutlah baju-baju bootleg buka booth sampai betul-betul depan pintu masuk ke dewan persembahan!

Tengok jarak aku dengan soundwoman. dekat bukan?

Aku mula memasuki dewan persembahan sambil mencari-cari sekiranya ada muka-muka yang aku kenal. Setelah mengenalpasti kedudukan sound engineer (soundwoman sebenarnya!), aku mengambil kedudukan menghampiri lokasi FOH (Front Of House) aka konsol tempat sound engineer berada. Penting sebenarnya untuk mengenalpasti kedudukan soundman dalam sesebuah konsert sekiranya kau mementingkan bunyi yang sedap (sweet spot) berbanding lubang hidung seseorang artis. Tapi kalau kau seorang yang ‘fetish’ lubang hidung artis, silakanlah beli tiket depan stage! Kah kah kah.

Backdrop yang minimalis dan sangat sempoi!

Tepat jam 8.16pm, lagu playback dipasang dan bayang-bayang 4 orang berbalam di atas pentas (aku tengok telefon sewaktu lagu intro dimainkan). Dengan efek ‘cd tersangkut’ ketika menuju pengakhiran lagu, Mr Big memulakan persembahan dengan lagu ‘gerudi’ mereka, Daddy, Brother, Lover, Little Boy. Penonton secara auto berdiri kagum dengan sound yang terhasil. Dengan LED board  di kiri dan kanan pentas menayangkan visual dari kamera MCP dan LED di belakang dram yang menayangkan logo Mr. Big sahaja sebagai latar belakang pentas tanpa mainan visual yang sarat. Simple dan minimalis. Aku suka!

Jarak aku dengan pentas. Maklumlah, tiket marhain. 

Lagu diteruskan hinggalah ke lagu Temperamental di mana Eric Martin mula memperkenalkan ‘guest’ percussion mereka. Siapa lagi kalau bukan the greatest Pat Torpey! Dan beliau juga bermain drum untuk lagu berhantu mereka, Just Take My Heart. Damn jiwang! Terharu juga aku memikirkan yang mereka sanggup membawa Pat Torpey yang menderita sakit Parkinson walaupun mereka sudah mempunyai drummer sessionist, Matt Starr. Sampaikan terdengar berita yang Eric Martin mengugut taknak menyanyi dalam jelajah Defying Gravity ini kalau Pat Torpey tak ikut sekali. Ini baru betul punya brotherhood! Mereka sanggup kasi Pat Torpey main percussion (lebih kepada ketuk tamborin sebenarnya) walaupun tak membantu sangat dalam persembahan live mereka asalkan mereka bersama-sama. Damn terharu ai!   

Masa ni LED kiri kanan dan belakang drum off. Tapi dorang selamba saja redah.

Satu yang aku perhatikan, sepanjang 2 jam lebih konsert berlangsung, tiada langsung tanda-tanda Eric Martin pancit. Suara pula, macam istilah zaman sekarang ni, ‘macam tertelan kaset!’. Tiada langsung tanda macam orang yang dah berumur 57 tahun. Aku sempat juga buat sedikit kerja rumah dengan menonton balik live mereka di Youtube sebelum konsert ini berlangsung. Ada juga tergelincir sikit-sikit masa Back In Budokan punya konsert dan juga konsert-konsert pasca reunion dorang. Tapi, untuk Live In Kuala Lumpur, Eric Martin perfect! Lulus 100%! Entah apalah persediaan beliau sebelum bermulanya siri jelajah Defying Gravity ini. Sesuatu yang sepatutnya ditiru rockers tempatan. Bukan setakat tiru bab glamour, bab parti saja. Eh!

  Gambar ihsan kawan aku, Din DNS aka Tokai.

Sepanjang konsert berlangsung, boleh dikatakan hampir tiada cacat cela. Kalau adapun, LED di kiri dan kanan pentas yang tiba-tiba mati bersama-sama dengan audio pentas ketika penghujung lagu Green-tinted Sixties Mind kalau tak silap aku. Namun bekalan eletrik di pentas serta merta berjaya dibaik pulih cuma proses menghidupkan kembali LED memakan masa sedikit lama. Hampir 6-7 lagu jugalah baru menyala balik LED tu. Dari segi sound pula, selepas sesi solo Billy Sheehan terasa agak bingit pasal aku perasan sebelum memulakan sesi beliau, Billy seperti memulas volume knob di amp beliau. Dan ketika band masuk semula ke pentas, Paul Gilbert juga terpaksa menaikkan volume demi untuk mengimbangi sound bass Sheehan. Namun memikirkan hanya berbaki 6 lagu untuk habis, aku tak kisah sangat pasal bingit tu.

Sesi uncle Sheehan menyolo

Secara keseluruhannya, sound mereka sedap. Ternyata Mega Star Arena sebagai venue konsert mampu untuk support penganjuran konsert rock berskala sederhana besar. Dalam laman web, dorang lebih tumpu kepada penganjuran majlis perkahwinan dan juga konsert artis-artis Hongkong. Ternyata pertaruhan aku untuk membeli tiket murah aka tiket ‘marhain’ berjaya! Tak sia-sia aku minat subjek gelombang ketika belajar matapelajaran Fizik di sekolah hampir 20 tahun yang lepas! Teori sesaran gelombang digunakan dengan sebaik mungkin demi mencari lokasi sound yang sedap dalam konsert. Sudah 2 konsert rock aku gunakan teori ini. Megadeth dan Mr. Big. Dan kedua-duanya tak mengecewakan aku dari segi bunyi.

Gambar ihsan Din DNS aka Tokai lagi!

Untuk encore, sepatutnya mereka memainkan lagu cover We’re American Band dari Grandfunk Railroad (seperti yang tertera dalam setlist). Tapi untuk malam itu, seperti yang dimaklumkan oleh Billy Sheehan yang mengambil posisi Paul Gilbert selaku pemain gitar, mereka baru saja prektis lagu ini dan akan memainkannya pada malam itu. Dan Kuala Lumpur bertuah menjadi venue pertama untuk mereka jamming lagu Three Dog Night – Joy To The World! Dan Defying Gravity menjadi lagu penutup mereka pada malam tersebut. Jarum jam juga menunjukkan pukul 10.30 pm. Awal betul konsert rock habis! Hahaha.

Setlist yang diedarkan bersama-sama poster konsert sebelum show bermula.

Ketika sesi melepak di mamak berdekatan venue, sempat diperkatakan seorang kenalan yang konsert inilah buat pertama kalinya setlist lagu diberi kepada orang ramai SEBELUM konsert bermula! Entah apa yang cuba dilakukan oleh pihak penganjur. Mungkin mereka ingat Mr. Big tak cukup besar dekat Malaysia sampai perlu diberikan setlist sebelum konsert bermula agar penonton yang datang tahu tajuk lagu agaknya. Kelakar gila weh!

Komitmen aku selaku penonton konsert terserlah di sini. Katakan Fak! kepada rock/metal kamera!

Erm...apa kaitan Clint Eastwood sebagai cowboy di awal cerita dengan Mr. Big? Pada aku, Mr Big ternyata berjaya merampas takhta band paling cowboy daripada Bon Jovi. Boleh dikatakan hampir kesemua lagu-lagu moderate dan fast mereka ada bauan Country dan feel koboi naik kuda tu senang-senang boleh jadi latar kepada muzik mereka. Dan boleh dikatakan, selaku koboi alaf baru, Mr. Big adalah band rock Amerika paling Amerika pernah Amerika lahirkan!   


               

Rabu, 11 Oktober 2017

Prime Domestic Pre-Listening Album Showcase


Hello bebeh! Dah tahun 2017, ada lagi ke orang kat sini? Takpelah. Sekali sekala masuk & update entry baru harapnya tidaklah menjadi kesalahan, ye tak?

Ok. Artikel ini aku tulis untuk sebuah laman web 'berapi'. Namun mungkin pasal dah lambat, nampak macam tak relevan pula untuk sesebuah portal. Jadi aku tampal kat sini saja untuk sesiapa yang sudi baca. Enjoy!




Sabtu itu boleh jadi antara Sabtu yang langka pada saya. Bukan! Bukan kerana ia hari perkahwinan saya (walaupun saya mengharapkan ia berlaku sebegitu) tapi kerana saya berjaya bangun pagi! Entah sudah berapa lama saya tidak berjumpa matahari pagi hari Sabtu. Masih sama rupanya matahari Sabtu dengan matahari hari-hari lain.

Seawal 7.30 pagi saya sudah bangun (dikejutkan lebih tepat sebenarnya) demi untuk bersama kariah surau taman saya menyempurnakan ibadat korban bagi tahun 1438H. Hari Raya Aidiladha untuk tahun ini kan jatuh pada hari Jumaat, maka pihak pengurusan surau menetapkan hari Sabtu sebagai hari untuk melaksanakan ibadat korban. Disamping mengelakkan keadaan kelam kabut kerana perlu bersiap untuk solat Jumaat pula bagi lelaki, ia juga menggalakkan lebih ramai dapat turut serta kerana hari Sabtu adalah hari cuti hujung minggu bagi yang mempunyai waktu kerja yang biasa-biasa.

Selesai urusan bersama masyarakat setempat kira-kira jam 10 pagi, saya mengambil kesempatan untuk pulang ke rumah seketika bagi melelapkan mata sekejap sebelum bergegas semula untuk acara penting pada petang itu. Kali terakhir saya mengamalkan cara “Hadhari” sebegini ialah pada tahun 2007 di mana ketika itu sejurus selepas menghadiri persembahan kumpulan Search di Planet Hollywood Kuala Lumpur, saya kemudiannya bergegas pula ke persiapan untuk majlis Tilawah Al-Quran Masyarakat Asli peringkat kebangsaan. Harap-harap PakLah bersetuju dengan (pendekatan) hadhari saya.


sesi soundcheck di tengahari rembang!

Saya tiba di Oasis Damansara pada pukul 2 petang ketika Prime Domestic sedang melakukan sesi sound check. Kelihatan Joe, Hillary, Gee & Ainoll bersama krew mereka sedang ‘berperang’ dengan keadaan cuaca yang luar biasa terik dan kabel yang berselirat di atas pentas demi mendapatkan sound yang terbaik untuk persembahan pada sebelah malamnya. Saya tidaklah pula bercadang untuk berlama-lama di atas pentas yang panas jadi saya kemudiannya menuju ke kedai kopi berdekatan untuk menikmati teh o ais limau. Sesi sound check berlarutan hingga ke petang sebelum diberhentikan kerana hujan lebat yang turun dengan semahu-mahunya. Hari cuti dan hujan lebat bukanlah satu kombo yang sesuai untuk melakukan persembahan pentas. Apatah lagi hari cuti itu melibatkan cuti hujung minggu yang panjang. Perasaan seram mula melanda saya. Risau akan kehadiran penonton yang ‘sendu’ pada malam ini. Haish! Waktu-waktu macam ni pula nak hujan lebat!

Sedikit mengenai kumpulan Prime Domestic. Kumpulan ini diasaskan oleh Joe & Hillary, dua figura rock tempatan yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Dengan reputasi masing-masing yang pernah mengemudi 2 band gergasi tempatan, Wings & Search, sudah beratus lagu-lagu top yang dihasilkan atau yang pernah menerima air tangan daripada mereka. Dibantu oleh seorang lagi alumni kumpulan Search, Fauzie atau Gee di bahagian bass, siapa yang boleh menidakkan sumbangan Gee dalam album Bikin Wilayah & Double Trouble 2 (album bersama kumpulan Wings). Pengalaman luas beliau ketika bersama band NRG yang merajai scene kelab-kelab malam sekitar 90-an hingga awal milenium juga tidak wajar dilupakan begitu sahaja. Dijana oleh seorang ‘kaki pukul’ aka tulang belakang band di posisi drum, Ainoll yang pernah bersama kumpulan Kristal, Bunkface, Deja Voodoo Spells, Modread, Manifesto...terlalu banyak band underground dan mainstream yang pernah mendapatkan khidmat beliau dan rasanya tak perlu diperkatakan lagi mengenai susuk drummer yang pernah menggondol anugerah ‘Pemain Drum Terbaik, Asian Beat Competition Kuala Lumpur’ pada tahun 2003 dan ditaja oleh Tama & Zildjian serta Heartbeat drumsticks ini.


(Kredit Gambar: Azriff Reza)

Mengakhir pencarian vokalis sedari tahun 2012 ialah Aweera, pemenang tempat ketiga One In A Million anjuran TV3 pada tahun 2009. Selaku pemenang The Best Asian Vocal di Hong Kong Music Festival tahun 2013, kemantapan vokal Aweera tidak wajar dipandang ringan. Sedikit trivia: memang pada permulaan semasa menubuhkan band ini, nama Aweera sudah menjadi pilihan Joe & Hillary untuk menggalas tugas sebagai vokalis. Namun oleh kerana komitment beliau bersama kumpulan Mojo ketika itu maka pencarian vokalis lain diteruskan namun bak kata orang lama-lama, ‘kalau dah jodoh tidak ke mana’. Maka menjadi rezeki Aweera untuk berjodoh dengan kumpulan ini.

(Kredit Gambar: Azriff Reza)

Gandingan mereka berlima telahpun mengadakan showcase ‘pembuka salam’ pada 2 April 2017 yang lalu di H@use @ GTower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Single pertama mereka yang mengandungi 3 buah lagu, Tekno Dewata, Satukan Impian & Sedingin Pluto turut dilancarkan pada hari tersebut. Dan sekarang mereka sedang menumpukan kepada penerbitan album bertajuk ‘Prima Domestika’.

Single dorang yang mengandungi 3 buah lagu. Nak beli? Whatsapps 019-3681917. Limited copy ni!

Hujan mulai ‘sereyat’ pada pukul 7 malam namun gerimis tetap turun dan ini membuatkan penonton yang sudah mulai datang memilih untuk berteduh di bawah bumbung kedai-kedai yang berdekatan. Saya dan kawan-kawan juga sudah mula menyusun barang-barang jualan di atas gerai tolak yang disediakan pihak penganjur walaupun masih khuatir dengan keadaan cuaca yang masih belum stabil. Tepat jam 7.45 malam, sebuah band yang menggelarkan diri mereka Acoustic Fourplay mula mengambil posisi masing-masing di atas pentas. Ternyata bukan calang-calang mereka ini daripada gaya dan keyakinan mereka menguasai instrument dan pentas. Dengan repertoire lagu-lagu rock top 40 seperti yang sering didengari di kelab-kelab malam, mereka tampil gagah selama kira-kira 30 minit menghiburkan peminat yang kesejukan dek hujan yang turun sepanjang petang. Sedikit trivia: adik drummer seasionist terkenal Malaysia, Sotong dan adik ipar Joe Branko adalah antara line-up band ini.

(Band Rajhula dari kamera phone penulis)

Setelah selesai set mereka, satu band tam-rock (tamil rock) mula naik ke pentas untuk menggantikan Acoustic Fourplay. Menggelarkan diri mereka Rajhula, band ini sudahpun mengeluarkan album pertama ‘Rajhula’ terbitan Agi Music. Berasal dari Klang, band yang diketuai oleh Jaikhand selaku pemain bass, Siva di bahagian gitar dan pelakon utama filem Jagat, Jibrail Rajhula selaku penyanyi utama untuk band ini.  Walaupun mungkin sedikit sukar untuk memahami lirik mereka, tapi benarlah kata pepatah, muzik tidak mengenal bahasa dan bangsa. Dengan dentuman muzik keras, ternyata suasana malam yang dingin kembali hangat dengan persembahan mereka. Bayangan Kashmir Stone mula menerjah kenangan. Layaknya mereka menyambung kembali perjuangan Kashmir Stone di arena tam-rock negara. Mereka juga memainkan satu cover song dari kumpulan Kembara, Gerhana dan kelihatan penonton mula terhangguk-hangguk tanda enjoy dengan persembahan mereka.

Tepat jam 9 malam, DJ Pool, disc-jockey yang popular di KLFM sedikit masa dahulu dan sekarang mengendalikan channel Youtube ‘Abah Kau TV’ mula berceloteh untuk menaikkan semangat hadirin yang datang. Bahagian hadapan pentas sudahpun mulai dipenuhi penonton yang datang sejauh Singapura dan Batu Pahat demi untuk menjadi sebahagian daripada sejarah pada malam tersebut. Hujan juga telah berhenti sepenuhnya, seakan-akan memberi ‘muka’ kepada kumpulan ini untuk memulakan persembahan. Setelah sedikit intro kepada kumpulan Prime Domestic, seorang demi seorang dipanggil ke atas pentas. Ainoll, Gee, Hillary dan Joe mula mengambil posisi di atas pentas dibantu Adi Yamin, keyboadist jemputan dari kumpulan Soul Statue. Ilusi Intonasi dimainkan sebagai salam pembukaan daripada mereka. Sebuah instrumental ciptaan Joe yang membuai penonton yang masih diselubungi suasana sejuk selepas hujan.

(Kredit Gambar: Azriff Reza)

Nama Aweera diseru sesudah tamat lagu pertama. Dengan berjaket kulit persis Wolverine dalam filem X-Men, Aweera tanpa berbasa-basi memulakan persembahan Prime Domestic dengan lagu Sidang Berasap. Ketukan drum Ainoll dan dentingan bass Gee yang kelihatan menggunakan bass baru beliau, Fender Jazz Bass 5 string USA seakan teradun dengan cantik seolah mereka sudahpun bermain bersama bertahun-tahun lamanya. Joe dan Hillary pula tenang di kiri dan kanan pentas dengan Gibson Les Paul Custom Maroon Red dan Les Paul Standard Gold Top mereka. Kelihatan juga Joe menggunakan gitar Les Paul Custom Virgin White untuk sesetengah lagu. Mereka juga menggunakan head amp Boss Katana tajaan Roland Music Asia pada malam itu, sesuatu yang memeranjatkan kerana hanya dengan ‘amp kombo’, mereka berdua berjaya menggegarkan dan memanaskan suasana pada malam itu.

(Kredit Gambar: Azriff Reza)

Bunyi petikan gitar dengan efek ‘pitch shifter’ kedengaran menandakan bermulanya intro Alam Barzakh. Walaupun ia sebuah lagu ‘cover’, ia mempunyai cerita yang amat menarik. Lagu itulah menjadi titik tolak bagaimana Joe dan komposer asal lagu tersebut, allahyarham Zul Adnan Mohd Razali yang lebih dikenali dengan nama JS Kevin menjadi rapat dan kamceng. Dunia muzik rock Malaysia secara umumnya tahu bahawa ketika hayatnya, JS Kevin sangat rapat dengan Joe dan Zuar XPDC dan allahyarham juga pernah tinggal di studio Joe selama 2 tahun lamanya! Barisan lagu-lagu yang bakal berada dalam Prima Domestika dimainkan dengan sorakan paling bingit tentulah untuk lagu Sedingin Pluto yang semakin hari semakin mendapat tempat di corong-corong radio tempatan. Tekno Dewata pula seperti dijangka menjadi kegemaran mat-mat ‘headbanging’ untuk layan kepala pada malam itu. Tak disangka, show yang diadakan pada hari perayaan masih mampu menarik sehingga hampir 2000 penonton memenuhi bahagian hadapan pentas untuk sama-sama mendengar lagu-lagu yang bakal dimasukkan dalam album Prima Domestika ini.

(Kredit Gambar: Azriff Reza)

Apa yang lebih menarik, lagu ciptaan Dato’ M. Nasir diperkenalkan back-to-back dimulakan dengan lagu ‘tekup fretboard’ aka Sejati sebelum disambung dengan lagu Kurnia yang merupakan ciptaan terbaru Dato’ M. Nasir untuk Prime Domestic dengan lirik oleh Ishmael. Walaupun baru kali pertama diperdengarkan, nampaknya ‘magis’ beliau masih berbisa di mana rata-rata penonton kelihatan enjoy dan gembira dengan lagu berirama balada rock itu. Dijangkankan Kurnia akan cepat menambat hati pendengar muzik rock tempatan khususnya dan peminat muzik amnya sejurus album dikeluarkan nanti.

(Kredit Gambar: Azriff Reza)

Kehangatan malam itu ditutup penuh bergaya dengan lagu cover dari kumpulan Search, Pasti. Harus diakui tenaga dan komposisi lagu tersebut sangat cocok dijadikan lagu penutup untuk sebuah persembahan yang ‘bukan biasa-biasa’ ini. Secara automatik kenangan di stadium Merdeka pada tahun 2004 ketika menyaksikan ‘konsert Search disaksikan Godbless’ mula menerjah di benak saya. Secara keseluruhannya, Prime Domestic telah memainkan sebanyak 19 lagu pada malam tersebut. Satu jumlah yang sangat banyak untuk sebuah ‘show’ percuma. Dengan 10 lagu baru, 2 lagu cover dari kumpulan Wings dan satu dari kumpulan Search serta satu medley istimewa lagu-lagu kumpulan Wings dan Search. Mungkin ada yang mempertikai kenapa mereka memainkan lagu cover Wings dan Search. Jawapan saya, mengapa tidak? Mereka juga sebahagian daripada sejarah kedua band tersebut & menjadi arranger, pencipta lagu & penerbit album untuk majoriti album-album kedua kumpulan itu. Maka selayaknya mereka memainkan lagu-lagu tersebut. Itu sahaja.

(Kredit Gambar: Azriff Reza)

Daripada tinjauan rambang ke atas penonton selepas usai persembahan Prime Domestic, ramai yang menyatakan tidak sabar untuk mendengar pula versi rakaman studio album ‘Prima Domestika’ setelah diperdengarkan secara ‘live’ malam itu. Ramai juga yang memuji kerana lagu-lagu baru yang diperdengarkan tidak langsung dibayangi oleh dua band asal sang gitaris. Kelihatan juga rakan-rakan artis rockers yang datang memberikan sokongan seperti Fiq Mentor, Lola (XPDC), Jef  & Doy (Giegel), Lord Lokman (The Boys), Oney (LipanBara, May, Jump-P) dan  Amy & Usop (Baji). Antara penyumbang lagu-lagu dalam ‘Prima Domestika’ ialah Acap, Boy (Projek Pistol), Dato’ M Nasir, Hillary dan Joe manakala lirik pula oleh Najah, Kerang dan Ishmael.

(Kredit Gambar: Azriff Reza)

Proses penerbitan album Prime Domestic sudah di peringkat akhir di mana proses mastering sedang dilakukan di Australia oleh Don Bartley (Scorpion, ABBA, Buzzcocks dll) setelah proses mixing selesai dibuat di Malaysia oleh jurutera bunyi yang tak perlu diperkenalkan lagi kepada umum, Rahmad Ayob (Kamikaze). Nantikan deruman muzik rock gaya Prime Domestic yang dihasilkan Ainoll, Gee, Aweera, Hillary & Joe yang bakal menerjah gegendang telinga kalian tidak berapa lama lagi.
‘You will not regret, we will not surrender!”


 Lepas show mesti kena ambil gambar.

     

BARBARIK PENTAS KERAS – PENUTUP MELAZATKAN UNTUK TAHUN 2022

Ura-ura untuk mengadakan konsert ini sudahpun sampai ke telinga aku sejak sebelum PM DS Ismail Sabri umumkan negara memasuki fasa pra-pand...