Isnin, 24 Oktober 2011

Selamat Tinggal Gaddhafi!

Salam sejahtera semua. Minggu lepas aku kira banyak memahatkan sejarah-sejarah baru untuk dikenang oleh insan-insan pada masa akan datang. Antara yang paling besar selain daripada "Himpun" yang tak berapa nak himpun itu adalah berita Kolonel Muammar Gaddhafi berjaya dibunuh oleh pemberontak Libya

Banyak respon atas kematian beliau. Kiranya reaksi bercampur baur. Ada yang suka, ada juga yang bersedih. Kebanyakan yang bersedih pula kerana mengenangkan kenapa mayatnya diperlakukan sekejam itu padahal beliau sudah merayu untuk tidah dibunuh.

Apapun, suka untuk aku berkongsi di sini catatan daripada seorang rakan "alam maya" dan alam nyata yang mempunyai pengalaman bermastautin di Libya selama hampir 3 tahun (2009-2011). Beliau mempunyai pandangan yang tersendiri mengenai pemimpin Arab-Afrika itu. Kita tidak semestinya bersetuju namun ada baiknya kita membaca keseluruhan entri sampai habis sebelum meninggalkan komen.

Klik di sini untuk membaca di blog beliau

Kredit untuk Libyaman aka Baba Zahra'

Reminiscences of Abang Besar of Libya

Dalam surat-surat terakhirnya kepada Commandante Che Guevara, Yang Teramat Mulia Dr. Fidel Castro seringkali memujuk mengajaknya kembali ke Cuba. Ketika menulis surat-surat tersebut, Fidel menyebut tentang kestabilan Cuba yang mereka perolehi sesudah revolusi. Celia Sanchez menyentuh tentang romantisme revolusi itu sendiri, dan bagaimana pendukung revolusi itu perlu meneruskan legasi yang terbentuk bagi menjaminnya terus hidup. Namun Che Guevara ialah seorang revolusioner, yang tegas bahawa seorang revolusioner perlu berjuang, bukan sekadar mentadbir meneruskan legasi sebuah revolusi yang sudah terbentuk. Itu kerja sebahagian besarnya dimonopoli orang politik.


Pada 19 Januari 2009, ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Benghazi, Libya, imej pegun paling kukuh dalam ingatan gua adalah imej Kolonel Muammar Gaddhafi. Selain itu, lapangan terbang Benghazi, dihiasi dengan bangkai-bangkai kapal terbang, kereta kebal dan kubu-kubu tentera (bunkers) yang menyebabkan bulu roma gua sedikit meremang. Suasana Argentina ketika Ongania dan Chile ketika Pinochet sentiasa bermain dalam kepala hotak gua.


Suasana Libya, yang disurahkan kepada gua sebelum ke sana, adalah mirip Syria ketika Assad (bapa) memerintah. Tahun 1996, pertama kali ke Syria, adalah pengalaman yang sangat tidak menyeronokkan. Gambar kepala Assad (plague) yang menyerupai sisi Queen Elizabeth pada wang syiling British, wujud di setiap 360 darjah pemandangan. Perjalanan terasa bagaikan diperhati, pergerakan rasa bagaikan diekori, dan sebaik melepasi sempadan untuk ke Turki, hati rasa lega bagaikan baru lepas kena interview dengan pak mertua ketika kali pertama bertemu.


Tapi Benghazi adalah dunia yang berbeza. Warganya tidak langsung bimbang untuk mengkritik Gaddhafi. Mungkin pada mereka Gaddhafi berada 1200 kilometer nun di Tripoli, rasa bimbang tidaklah begitu hebat. Namun masih dalam berhati-hati, kerana para soldadu, mukhabarat dan polis rahsia sentiasa menjadi mata dan telinga. Beruntung, kerana gua sampai di Libya pada tahun 2009, bukannya ketika era embargo, saat ahli keluarga boleh menjadi tali barut pemerintah, saat isteri boleh menghantar suami ke penjara rahsia dengan hanya satu panggilan dan dibalas ganjaran wang, saat anak boleh menyebabkan ibu-bapa diheret polis rahsia hanya untuk merebut harta pusaka.


Libya pada 2009 sudah sangat terbuka. Pelabur luar sudah mengerumun untuk mengaut kekayaan minyak Libya. Dasar Gaddhafi juga sudah sedikit berubah. Selepas 40 tahun revolusi, Gaddhafi tahu bahawa hari-hari akhirnya semakin hampir. Saiful Islam lebih banyak memainkan peranan pentadbiran, menjadi penghubung untuk negara-negara Eropah, menjadi pemikir untuk menarik pelabur. Namun, The Leader masih lagi kuasa tunggal dan mutlak. Mana mungkin bangsa Arab diperintah oleh demokrasi, buktikan!


Pembangunan di Libya sangat pantas. Dengan rizab minyak yang paling besar di Afrika, dan kesepuluh terbesar dunia, duit bukanlah satu masalah, pada ketika warganya cuma berjumlah sekitar 6 juta orang. Rumah-rumah kediaman didirikan di segenap pelusuk negara. Dari bandar besar di Tripoli dan Benghazi, sehinggalah pekan-pekan kecil di Nalut dan Beyda, rumah-rumah kediaman dibina sebesar saiz rumah Semi-D kebanggaan rakyat Bolehland. Dan sebahagian besar rumah kediaman diberikan secara percuma. Tanpa sebarang bayaran. Bahkan pemuda yang berkahwin, yang mengikut skim bantuan kerajaan, akan menerima sebuah rumah, kereta dan wang sara hidup pada awal perkahwinan.


Pendidikan di Libya adalah percuma. Tanya sahaja kepada mereka yang belajar di Libya dan menerima biasiswa selama pengajian di sana. Mereka menerima penempatan, wang saku dan tiada bayaran yuran pengajian. Itu untuk warga luar, apatah lagi untuk anak bangsa mereka sendiri. Lihatlah bagaimana mewahnya kehidupan pelajar Libya di Kuala Lumpur yang menerima sekitar 5-7 ribu sebulan duit biasiswa kerajaan. Lihatlah bagaimana meriahnya kedutaan Libya satu ketika dahulu setiap awal bulan, ketika mereka beratur untuk mengambil habuan masing-masing.


Kebanyakan hospital di Libya adalah percuma. Ketika era embargo, para doctor dan jururawat kesemuanya didatangkan dari negara blok kiri. Bahkan sehingga ke hari ini, kebanyakan hospital kerajaan masih lagi menggaji para doctor dan jururawat luar. Bahkan hospital-hospital kebanyakannya dinamakan mengikut kerakyatan doctor dan jururawat dominan di hospital itu sendiri. Ada hospital Bulgaria, hospital Malta, hospital Rusia dan sebagainya. Lebih menarik, kerajaan mendirikan hospital-hospital pakar dan sangat sedikit hospital umum. Jika tangan patah terus sahaja ke hospital pakar tulang, untuk kanak-kanak sudah tersedia hospital pakar pediatric dan seterusnya. Dalam radius 20km di Tripoli sahaja ada dua hospital pakar tulang, bukti warga Libya memang kerap patah kaki dan tangan.


Di sebalik pembangunan yang sangat pesat, khususnya di Tripoli, Gaddhafi sentiasa mengawal perkembangan ekonomi yang diterajui oleh Saiful Islam. Gaddhafi tidak mahu Libya menjadi seperti Dubai, yang akhirnya didominasi oleh warga asing. Gaddhafi tetap mahu Libya diterajui oleh warga Libya sendiri. Syarikat asing yang melabur diwajibkan membuat JV dengan syarikat tempatan. Setiap seorang pekerja luar yang dibawa masuk, mestilah dalam tempoh lima tahun mampu mencurahkan kepakarannya kepada 5 orang warga tempatan. Urusniaga kadangkala menjadi terlalu sukar kerana pelbagai kekangan birokrasi, yang rupanya bertujuan untuk mengawal ekonomi negara. Untuk mendapatkan bayaran bagi sebuah projek, adakalanya mengambil masa sehingga setahun, sesudah mendapat kelulusan pelbagai peringkat, selepas mendapat kepastian pakar-pakar yang diupah dari luar dan mendapat lampu hijau kewangan daripada People’s Congress sendiri.


Kesemuanya kelihatan sangat socialist. Kadangkala sangat communist. Tapi siapa yang dapat menafikan bahawa di sebalik communism dan socialism itu banyak tersembunyi pelbagai keindahan, dan ada ketikanya kesedihan. Revolusi, bagi kebanyakan warga, adalah indah pada awalnya sahaja. Jubilant at the very beginning, pain in the mid, and ending with horror.
Gaddhafi terlepas pandang pada bahagian Timur, yang kebanyakan masih didokong oleh penyokong Raja Idris. Mereka geram kerana penumpuan awal pembangunan di Libya tertumpu pada Tripoli dan Sirte. Walaupun revolusi yang dipimpin pada usia 27 tahun itu tidak menumpahkan setitis darah, cengkaman dictator selama 42 tahun pemerintahannya memang menyebabkan rakyat Libya hidup dalam kebimbangan. Tapi di negara Arab mana yang kebebasannya memungkinkan rakyat untuk bersuara bebas mengkritik sang pemimpin? Lebanon yang mencuba sejak sekian lama masih lagi belum bertemu noktahnya.


Tapi lewat ini, Gaddhafi kelihatan semakin toleransi. Ketika perancangan pembangunan ekonomi negara diserahkan kepada Saiful Islam, negara Libya sememangnya melalui satu era yang menyebabkan seluruh pelabur dunia boleh meleleh air liur. China dan Turkey, adalah contoh dua negara yang menggunakan sepenuhnya hubungan baik dengan Libya bagi kepentingan para pelabur mereka. Bahkan kerajaan China dengan kuasa buruh yang dominan, telah bertindak bijak memberikan pembangunan untuk ditukar dengan minyak. Rumah-rumah yang dibina oleh kerajaan China melalui syarikat-syarikat pelaburan mereka, kadangkala gua rasa tidak masuk akal. Rakyat Libya cuma sekitar 5 juta orang, tapi kawasan perumahan baru yang dibangunkan bagai mahu menampung 15 juta penduduk.


Satu ketika, seorang Project Manager yang baru pertama kali tiba di Tripoli bertanya kepada gua, di manakah rakyat Libya yang miskin? Ini kerana dia melihat rumah-rumah besar di sepanjang jalanraya Tripoli seakan mustahil untuk mengatakan kewujudan warga yang miskin. Betul, mustahil jika tiada yang miskin. Gua bawa bersiar ke Janzour untuk melihat rumah-rumah flat tepi laut, juga anak-anak muda yang melepak tepi jalan setiap malam sambil melayan ganja, katanya ini tidak susah, kerana mereka masih tetap punyai tempat tinggal.


Itulah satu factor yang menyebabkan kita perlu rasa cemburu. Penempatan untuk warganya tidak dibina sekadar melepas batuk ditangga. Rumah flat yang paling bangsat di tepi laut di Janzour pun ada 4 bilik tidur serta dua ruang tamu. Warga Benghazi yang memaki hamun Gaddhafi itu, tinggal di rumah-rumah flat yang 4 kali lebih besar daripada flat bandaraya kebanggaan DBKL. Sejauh Darna dan Tabruq, yang mempunyai tanah yang lebih luas, rumah-rumah kediaman yang dibina adalah lebih mewah. Semi-D 4 atau 5 bilik, adalah sesuatu yang sangat biasa. Semuanya dibina konon untuk dijual tapi pada akhirnya rakyat akan memiliki tanpa perlu membuat sebarang bayaran.


Secara umum, kekayaan hasil minyak memang diagihkan dengan sebaiknya. Gaddhafi mahu memberikan semua benda kepada warganya, supaya mereka terus gembira dan diam. Penganggur yang mengangkat senjata bersorak dan berlagak ala guerrilla dalam TV yang lu orang lihat itu, membesar dengan duit subsidi negara. Lelaki berjambang dan berjanggut yang mengetuk kepala Gaddhafi itu, gua sangat yakin setiap bulan akan ke stor-stor makanan menghulurkan kad pengenalan untuk digantikan dengan tepung, gula, spaghetti, minyak dan beras. Atau paling kurang, kesemua mereka yang membenci Gaddhafi di Benghazi itu, tidak membayar bil elektriknya!


Benar, gua sendiri sudah jemu melewati pintu besar penjara Abu Slim yang menjadi igauan ngeri setiap warga Libya itu. Betul, di penjara itu jugalah 1200 orang inmates ditembak mati hanya satu malam. Betul juga, ketika pemerintahannya Gaddhafi menjadi satu ikon yang menakutkan bagi mereka yang cuba bersuara untuk menentang. Betul juga, Libya tidak pernah mengadakan pilihanraya dan tiada satu parti politik pun yang wujud ketika era Gaddhafi.


Tapi, apa perlunya igauan ke atas sebuah penjara yang punya hanya tiga bangunan dan selebihnya kawasan lapang jika lu hanya perlu biarkan Gaddhafi terus berkuasa dan rakyat menikmati semua benda secara percuma? Apa perlu lagi bimbangkan satu susuk seperti Gaddhafi pada ketika rakyat memang menikmati hasil kekayaan negara secara sama rata? Betul, Gaddhafi menzalimi rakyatnya, tetapi apakah semua mereka dizalimi? Tolong baca ini dalam konteks politik dunia Arab yang sangat unik dan bukannya pada skala politik tempatan. Demokrasi pada dunia Arab tidak akan berhasil tetapi Malaya landskap politiknya adalah berbeza dan kita bukanlah sebuah negara bangsa yang terbina dengan pelbagai kabilah seperti bangsa Arab. Jangan selepas ini ada yang mahu pulangkan paku buah keras pada gua agar menerima kezaliman dan ketidakadilan UMNO selama puluhan tahun ke atas bangsa Malaysia. Itu senario yang berlainan.


Kembali ke Libya, dan Gaddhafi yang memang tidak lari daripada sebarang kesilapan. Akibat tidak memberikan tumpuan pada kawasan rural, di bahagian Timur, di Benghazi sehingga ke Tobruk di sempadan Mesir, maka anasir asing mulai mencucuk jarum. Atas dasar yang semakin terbuka, Britain dan Peranchis juga turut melabur, tetapi tumpuan hanya diberikan di bahagian Timur. Benih yang disemai sekian lama akhirnya membuahkan hasil lewat revolusi Bou Azizi di Tunisia.


Pada satu majlis, bersama dengan rakyatnya di Al-Wahat, Gaddhafi telah ditanya tentang rumah-rumah kediaman yang telah siap dibina, atas tanah-tanah yang diambil daripada rakyat tetapi masih belum diserahkan dan belum berpenghuni. Dengan sikap bersahajanya Gaddhafi memberitahu mana-mana rumah yang sudah siap, bolehlah sesiapa pun nak masuk. Kejadian itu berlaku pada 14 Januari 2011. Dan malam itu, bukan sahaja di Al-Wahat, bahkan di seluruh pelusuk Libya, semua projek-projek perumahan telah diserbu. Kediaman yang sudah siap terus diambil. Sampai tak cukup, rumah baru nak naik "ground beam" pun sudah ada kutu pacak khemah.


Akibatnya, Libya sedikit huru hara. Semua orang mahu dapat rumah percuma. Mahu atau tidak kehendak rakyat masih terpaksa dituruti. Kerajaan terpaksa berlembut. Walaupun sebenarnya, ucapan Gaddhafi itu hanya untuk penduduk Al Wahat, tetapi seluruh Libya berpesta mengambil unit kediaman percuma. Ketika Tunisia sedang panas dengan revolusinya, Gaddhafi terpaksa sedikit sebanyak berlembut.


Dari sinilah, musuh melihat bahawa tekanan boleh digunakan. Dari sinilah mereka mencuba dan tahu bahawa mereka perlu berani melawan. Walaupun sebenarnya mereka tiada sebarang tuntutan sangat yang perlu untuk dilaungkan. Ketika rumah percuma, pendidikan percuma, kesihatan percuma, rizab minyak makan tak habis, harga minyak seliter 20 sen boleh isi sampai tumpah-tumpah, makanan murah tiada cukai import, beli kereta dengan harga murah boleh buat loan tak payah interest, musuh-musuh Gaddhafi hanya melaungkan isu hak asasi manusia sahaja, kerana itulah modal terbaik yang dimiliki oleh Peranchis dan Britain, yang ketika itu sedang berusaha mencari sumber minyak alternatif dan berdepan dengan krisis bekalan tenaga.


Dalam ucapan terakhirnya, Gaddhafi menyebut yang dia akan melawan hingga ke titisan darah yang terakhir. Dia tidak akan lari, dan dia sanggup mati di tanahairnya sendiri. Akhirnya Gaddhafi memang mengotakan janjinya. Socialist yang sejati, tidak akan berundur. Tetap teguh dengan pendiriannya, seperti Che yang menolak kesenangan di Cuba, jawatan sebagai menteri, pemimpin tertinggi parti dan komander tentera, sebaliknya mahu terus berjuang di hutan Bolivia, menjaja revolusi untuk membebaskan seluruh benua Amerika. Preferio morir de pie que vivir siempre arrodillado, lebih baik mati berdiri daripada hidup melutut!


Gaddhafi memang zalim, tetapi sezalim dan sejahat Gaddhafi adalah sebaik-baik imperialist Barat. Gua sangat pasti, rakyat Libya akan menyesali apa yang telah terjadi. Al Fatihah untuk Abang Besar, The Leader of the Revolution and the Founder of the Great Socialist People's Libyan Arab Jamahiriya.


7 ulasan:

terpekikterlolong berkata...

Thank u for the great article..
dah lama cari article pasal kebaikan gadaffi kat rakyat2nya yang umum tak nampak...
thanks lagi sekali..

Dr. Bentara berkata...

saya bersembang dengan seorang student PhD Nigeria. Dia kata negara paling maju di Afrika ialah Libya.

Sekarang nasib Libya agak malang.

deaf-angel berkata...

fuhhh akhirnya abis aku baca
thanks zan.

Saudagar Mimpi berkata...

Propaganda barat mengaitkan Libya dgn aktiviti penganas, mcm dalam filem Back to The Future.

Apa pun artikel yang menarik.
TQ Zan!

zan berkata...

Terima kasih kepada penulis asal artikel ini, Zulhazry Mohd. Yusof yang menulis berdasarkan pengalaman sebenar beliau bekerja di Libya selama hampir 3 tahun.

berteromber berkata...

Thanks Zan...artikel yang menarik untuk direnungkan...

The.Libyaman berkata...

Dr. Ben,

Gaddhafi kecewa dengan bangsa Arab yang gagal disatukan selepas kematian Nasser, lantas mengalih tumpuan ke Afrika pada 1999. Libya membuka pintu sempadannya untuk menerima warga Afrika yang secara kebetulan menjadi masalah kepada Eropah kerana Libya menjadi transit. Tapi, selain menjadi transit untuk ke Eropah, Libya menjanjikan peluang pekerjaan untuk mereka. Setiap tahun, ratusan ribu buruh Afrika dibawa masuk untuk menampung keperluan tenaga buruh ekoran pembangunan pesat di Libya. Dan Gaddhafi juga mencurahkan harta kekayaan Libya ke benua Afrika untuk dikongsi bersama, membantu negara-negara miskin benua gelap itu. Chad, Mali dan Niger adalah antara penerima bantuan bukan pinjaman daripada Libya.

BARBARIK PENTAS KERAS – PENUTUP MELAZATKAN UNTUK TAHUN 2022

Ura-ura untuk mengadakan konsert ini sudahpun sampai ke telinga aku sejak sebelum PM DS Ismail Sabri umumkan negara memasuki fasa pra-pand...