Jumaat, 28 April 2023

BARBARIK PENTAS KERAS – PENUTUP MELAZATKAN UNTUK TAHUN 2022


Ura-ura untuk mengadakan konsert ini sudahpun sampai ke telinga aku sejak sebelum PM DS Ismail Sabri umumkan negara memasuki fasa pra-pandemik lagi. Keterujaan itu memang sangat tinggi. Tapi mengenangkan apa pun boleh jadi, maka aku diamkan dulu apa yang aku dengar.

 

Setelah menghadiri mesyuarat pra-produksi, secara rasmi juga menandakan yang konsert ini bakal menjadi kenyataan. Maka kerja keras untuk melancarkan segala yang dirancang pun bermula. Sesi promosi melalui media sosial disusun. Begitu juga dengan sesi latihan yang dimulakan lebih awal. Bayangkan ahli kumpulan yang terlibat sudah mulakan latihan 4 bulan awal sebelum tarikh konsert. Gila ke apa? Tapi demi menjamin hanya yang terbaik untuk dihidangkan buat pembeli tiket, maka segala perancangan tetap diteruskan.

 

                                                      BARBARIK production team


Walaupun sesi latihan bermula sejak bulan September, namun kerancakan promosi dan kehangatan konsert terganggu dengan pembubaran parlimen dan tarikh PRU yang diumumkan SPR. Betul punya potong stim la. Orang tengah sibuk nak rock, dia boleh bubar parlimen pula! Namun nasib baik tarikh mengundi yang ditetapkan pada 19 November 2022 agak jauh juga dengan tarikh konsert. Maka perancangan baru perlu dibuat untuk disesuaikan dengan perkembangan terkini yang berlaku.

 

Secara jujurnya aku kurang menonjolkan diri dalam konsert kali ini. Tidak sekalipun aku jejakkan kaki ke studio 3rd Floor United (tempat mereka berlatih) sepanjang 4 bulan masa yang mereka habiskan. Ini kerana gara-gara aku mendapat sakit kaki yang berpunca dari kuman dalam darah sejak dari sebelum Hari Raya Korban yang mengakibatkan kakiku bengkak sebelah. Susah beb nak panjat tangga sampai tingkat 3 dengan kaki bengkak ni. Hu hu hu! Mujur ada Rimi yang juga dalam pasukan pengurusan media sosial yang mengambil alih tempat aku.

 

2 minggu menjelang konsert promosi secara temubual dengan media cetak dan portal atas talian semakin agresif dilakukan. Er…konsert ini tidak menggunakan pendekatan melakukan sidang media secara kebiasaan untuk mempromosikan konsert. Semua aktiviti promosi dilakukan 100% melalui media sosial seperti di Facebook, Twitter, Instagram dan Youtube dan aku antara pengurusan yang menjaga semua akaun media sosial ini. Setiap hari bersama barisan team produksi memikirkan apa konten berkenaan konsert untuk dimuat naik sebagai strategi promosi. Bergaduh, merajuk, sentap...apa bala perasaan semua pernah rasa la waktu ni. Masing-masing semua tekanan tinggi wooo!

 

24 Disember 2022 – Hari persembahan. Aku masih batuk-batuk dan terpaksa memakai penutup muka (facemask) sepanjang masa. Bukan Covid-19 ya. Dah naik lopong lubang hidung aku kena jolok dek ujian RTK. Syukur ia negatif. Antara perkara-perkara negatif yang perlu diraikan. Tak sangka ya di tahun-tahun selepas Wawasan 2020 ni kita akan seronok bila mendapat hasil ujian negatif! Ha ha ha!

 

                                                    Contoh jejaka tidak pentingkan diri

Aku ditugaskan menjaga penjualan tiket fizikal. Sebenarnya untuk konsert ini pihak produksi tidak mahu menjual tiket fizikal. Semuanya 100% secara online. Namun mengenangkan peminat dua susuk rokers Jo Branko dan Muss ramai juga yang tidak terdedah kepada urusniaga atas talian ini, maka tiket fizikal dijual tetapi hanya pada hari konsert. Aku juga bersama-sama Baha memantau proses penukaran e-ticket kepada tiket fizikal yang pihak produksi sediakan.

 

Apa yang seronok pada aku ketika hari konsert sebegini ialah secara tak langsung ia menjadi hari perjumpaan kawan-kawan lama dan yang datang dari jauh. Semacam satu mini gathering apabila aku dapat berjumpa kembali dengan member-member blogger, member-member roker dan juga kawan-kawan yang lain. Cuma slek pada aku kerana tidak cergas 100% ketika itu dan terpaksa membataskan masa ‘berfoya-foya’ dengan mereka kerana tidak mahu menjadi punca kluster batuk pula selepas konsert tamat. Ha ha ha!

 

                                                Dengan kawan-kawan yang kita suka


                                           Possing majalah Mangga dengan You-Know-Who

DJ Pool ex-KLFM tampil mengambil peranan sebagai pengacara pada malam itu ketika jam menunjukkan pukul 8:45 malam. Sambil membakar perasaan penonton yang makin memenuhkan ruang hadapan pentas, sambil dia mengimbau kenangan ketika gandingan Jo dan Muss ini ‘mengganas’ dalam album Wings dulu. Aku sudah mula mengambil tempat di dalam kawasan FOH sambil mencongak-congak hadirin yang datang pada malam itu. Menurut anggaran mata kasarku, kapasiti ruang Zepp pada malam itu senang-senang sudah mencapai 90% dari jumlah yang boleh diisi. Itupun masih ramai yang tersangkut dek kesesakan lalulintas Kuala Lumpur malam itu yang gagal untuk datang walaupun tiket sudah dibeli.

 


Tepat 9:05 malam, lagu pembukaan berkumandang. Satu paparan video ditembak di atas layar kain yang menutupi pentas memperkenalkan barisan tenaga produksi konsert sebelum intro Penunggu mengambil tempat sebagai lagu pembukaan pada malam tersebut. Susun atur atas pentas sangat simple untuk konsert ini, tiada skrin LED yang selalu menjadi latar persembahan seperti konsert-konsert lain. Joe memang merancang untuk membuat konsert ini dengan vibe persembahan tahun 90-an. Hanya lampuan yang memeriahkan pentas tanpa perlu skrin-skrin besar ini.

 

Ketika sesi temubual dengan media cetak dan pengamal media sosial, Jo Branko sudah memberitahu yang dia akan memastikan penonton yang datang menyaksikan konsert Barbarik Pentas Keras ini akan puas dengan bunyi yang dihasilkan dan akan ‘membingitkan’ telinga penonton.Ternyata apa yang Joe cakap itu benar. Dari lagu pertama lagi bunyian gitar Jo, dengungan bass Rozaimi, hentakan drum Ainoll dan tusukan papan kekunci Adi serta pekikan suara Muss bagaikan anak panah menerjah gegendang telinga penonton. Dari satu lagu ke satu lagu gandingan mereka di atas pentas dengan bantuan Simon Khoo sebagai jurutera bunyi dan Ozlan sebagai jurutera lampu memukau seluruh pelusuk Zepp. Tidak cukup dengan itu, barisan artis jemputan yang dijemput khas oleh Joe selaku pengarah muzik memberikan nilai tambah kepada persembahan yang ada. Penampilan Asheed DEF GAB C, Mel dan Mael XPDC ternyata berjaya membuatkan penonton bertambah gamat pada malam itu. Paling mengujakan? Sudah tentunya kemunculan semula gitar keramat the legendary Les Paul Custom Lefty ‘Black Beauty’ yang sudah tersimpan hampir 5 tahun sebelum ini. Terubat rindu beb dengar gitar ni menjerit!

 

                                                       Joe dengan The Black Beauty

Keris Tak Ada Sarung menjadi lagu penutup pada malam itu. Sebanyak 20 lagu dipersembahkan mereka yang mengambil masa hampir 3 jam. Kelihatan muka sang pengarah persembahan Mie Bird tersenyum di belakang konsul mixer seolah-olah satu batu besar sudah habis terangkat dari bahunya. Satu show yang berjaya dan diktiraf antara konsert rock terbaik dekad ini serta layak menjadi penutup bagi tirai persembahan tahun 2022 yang menggila dengan penganjuran satu demi satu konsert artis tanah air dan luar negara. Barbarik Pentas Keras yang keras dan bingit!

 

                                        Setlist malam konsert diabadikan pada baju konsert

P/s: Aku baru perasan. Ketika pengumuman konsert ini dan ketika berlakunya konsert ini, Malaysia ditadbir oleh dua orang Perdana Menteri yang berlainan. Power To The People!

                               

 


BARBARIK PENTAS KERAS – PENUTUP MELAZATKAN UNTUK TAHUN 2022

Ura-ura untuk mengadakan konsert ini sudahpun sampai ke telinga aku sejak sebelum PM DS Ismail Sabri umumkan negara memasuki fasa pra-pand...