(Tulisan ini telah disiarkan di dalam portal kakisinema.com pada 10 November 2018. Malangnya portal tersebut sudahpun luput dikambus arus deras media digital yang lain.)
“She keeps Moet et Chandon,In her pretty
cabinet
'Let them eat cake' she says, Just like Marie Antoinette”
Queen! Gergasi
besar dalam arena muzik antarabangsa yang tak perlu diperkenalkan lagi.
Satu-satunya kumpulan yang menggunakan lagu rasmi ‘God Save The Queen’ sebagai
penutup konsert mereka. Bukan saja tidak dimurkai baginda ratu, malahan Brian
May dijemput mengalunkan petikan gitar untuk lagu rasmi negara Great Britain
ini di atas bumbung Istana Buckingham sempena sambutan jubli emas pemerintahan
baginda Ratu Elizabeth pada tahun 2002 yang lalu.
Belajar
di kolej yang sama, Freddie yang mengambil jurusan seni menggantikan penyanyi
asal kumpulan Smile yang juga dianggotai oleh Brian May, pelajar astro-fizik
dari kolej Imperial London & Roger Taylor, pelajar kolej pergigian, yang
kemudiannya dilengkapkan dengan kemasukan John Deacon, seorang pelajar
kejuruteraan eletrik sebagai pemain bass. Selain bertanggungjawab menukar nama
kumpulan kepada Queen, Freddie juga bertanggungjawab mereka bentuk logo
kumpulan tersebut yang dipanggil Queen Crest yang dihasilkan dari gabungan logo-logo
binatang yang terdapat pada zodiak setiap ahli kumpulan.
Dengan
deretan hit seperti Killer Queen, Tie Your Mother Down, Fat Bottomed Girls,
Seven Seas Of Rhye, Friends Will Be Friends dan banyak lagi, Bohemian Rhapsody
menjadi salah satu lagu yang ikonik dan diangkat sebagai antara 500 lagu
terbaik sepanjang zaman oleh majalah muzik paling berpengaruh di dunia, Rolling
Stones. Tiada siapa tahu maksud sebenar lagu tersebut malahan Freddie sendiri
sebagai pencipta lagu dan lirik juga tidak pernah menceritakan makna lagu itu
dan disokong oleh Brian May sendiri. Dengan panjang lagu yang mencecah 6 minit
– melebihi kebiasaan panjang lagu pada ketika itu (dan juga sekarang!) sudah
tentu ia mendatangkan perbualan yang bukan sedikit tentang lagu tersebut. Ada
yang melabelkannya sebagai ‘mengada-ngada’, “’menunjuk-nunjuk’ dan tak kurang
juga yang mengatakan lagu ini sebagai ‘karut’. Lagu ini juga pada awalnya mendapat
tentangan daripada pihak pengurusan syarikat rakaman sendiri yang mengatakan
lagu tersebut sebagai ‘terlalu panjang dan tidak sesuai untuk radio’ namun
dengan kelicikan Freddie dan ahli kumpulan tersebut yang membawa ‘singles’
tersebut ke Capitol Radio, lagu tersebut menjadi ‘fenomena’ dek kerana deejay
yang memutarkan lagu tersebut hingga berbelas kali dalam sehari; adakalanya
hingga 30 kali!
Mengenali
kumpulan Queen, kita akan dapat menyelami satu perjalanan muzik yang
berbeza-beza dari satu album ke satu album yang lain. Terkenal kerana tidak
suka melakukan benda yang sama dalam setiap rilisan album, mereka juga suka
bereksperimen dalam setiap terbitan mereka demi untuk menghasilkan sesuatu yang
lain namun dapat memuaskan nafsu dan halwa telinga peminat mereka. Dengan
barisan 14 buah album + 1 album ‘posthumous’ (dilengkapkan & diterbitkan
selepas kematian Freddie Mercury), kalian tidak akan mendengar 2 lagu yang
seakan Bohemian Rhapsody atau Killer Queen mahupun We Are The Champion. Queen
juga terkenal suka menggunakan bahasa asing selain bahasa inggeris dalam lirik
lagu mereka. Dengarkan lagu Teo Toriatte (Let Us Cling Together) (Jepun), Las
Parabas De Amor (Sepanyol), Mustafa Ibrahim (Persian) & semestinya Bohemian
Rhapsody (Arab).
“Roger,
there’s only room in this band for one hysterical queen!” Queen itu Freddie dan
Freddie itu Queen! Satu dunia tahu Freddie meninggalkan kita semua pada pada 24
November 1991 kerana penyakit Bronchopneumonia iaitu sejenis komplikasi yang berpunca dari AIDS. Terkenal dengan
perhubungannya dengan kekasih wanita (dan juga lelaki!) yang dipercayai menjadi
punca beliau disahkan HIV positif pada tahun 1987. Walaupun tertulis di
majalah-majalah dan tabloid akan kegiatan Freddie yang menjalani hidup sebagai
‘rockstar’ dengan jayanya, hakikat sebenar seperti yang selalu diceritakan oleh
orang yang rapat dengan beliau, Freddie seorang yang pemalu dan kebiasaannya
lebih suka duduk di rumah dan menghabiskan masa bersama kucing-kucing
peliharaannya. Imej ‘flamboyant’ yang selalu ditonjolkan beliau ketika di atas
pentas ternyata berlawanan dengan sifat Freddie yang sebenar.
Hakikat
yang tak boleh dipisahkan bila bercerita mengenai hubungan cinta empunya nama
asal, Farroukh Bulsara, ialah dengan kekasih yang juga bekas tunang beliau,
Mary Austin yang (pada pandangan aku) hampir mencapai epik percintaan Samson
& Delailah atau Uda & Dara. Cinta mereka yang akhirnya gagal menyatukan
mereka walaupun banyak lagu yang ditulis Freddie khusus untuk cinta hati
matinya ini. Paling mengesankan? Sudah tentu lagu ‘stadium anthem’ Love Of My Life
yang didedikasikan khas buat bekas tunangnya itu. Adakah bukan cinta namanya
bila hampir separuh harta peninggalan Freddie Mercury diwasiatkan kepada Mary
Austin termasuklah royalti rakaman album (kecuali 4 album terakhir yang
diberikan kepada ahli kumpulan Queen) & rumah agam 20 bilik beserta ‘grand
piano’ yang digunakan ketika merakam lagu Bohemian Rhapsody. Semuanya atas
alasan ‘sepatutnya mengikut aturan normal, mereka sudahpun berkahwin dan
mempunyai anak, dan Freddie memang menyediakan rumah itu untuk mereka’.
Walaupun tahun-tahun akhir hayatnya Freddie dijaga oleh ‘kekasihnya’ pada waktu
itu, Jim Hutton, namun Mary tetap berada di satu sudut paling istimewa dalam
hatinya. Hinggakan abu mayat Freddie yang dibakar mengikut upacara ‘Zoroastrian’
aka Majusi (agama anutan ibu dan bapanya) juga disemadikan oleh Mary atas
wasiat Freddie sendiri dan hanya beliau saja yang tahu lokasi tepat di mana
Freddie disemadikan. Memetik temuramah Mary dengan Daily Mail pada tahun 2013,
“I never betray him in his lifetime, and I’ll never betray him now”.
Antara
persembahan pentas yang paling diingati oleh Queen mestilah ketika konsert Live
Aid pada tahun 1985. Konsert amal yang dianjurkan untuk mengutip dana bagi
membantu mangsa kebuluran di Ethiopia yang diusahakan oleh satu susuk
berpengaruh dalam dunia muzik, Bob Geldof menjadi antara persembahan Queen
paling bertenaga dan paling diingati oleh peminat di seluruh dunia. Siapa boleh
lupakan tepukan serentak secara ‘unison’ hampir 100,000 penonton di stadium
Wembley mengikut aksi dalam klip video Radio Ga Ga yang diterbitkan kurang
setahun sebelum konsert bersejarah ini? Queen juga terkenal sebagai pelopor
‘stadium rock’ di mana mereka pernah memegang rekod dunia penonton berbayar
teramai (131,000 penonton) ketika konsert mereka di Sao Paolo dalam rangka
jelajah ke Amerika Latin pada tahun 1981.
Terlalu
banyak artikel, terlalu banyak buku dan majalah malahan filem dokumentari yang
boleh didapati sekarang yang menceritakan tentang sejarah dan legasi Queen
sejak awal penubuhannya hingga kini. Namun apa yang penting ialah pengalaman
peribadi mendengar dan menghayati karya-karya yang pernah dihasilkan yang telahpun
diiktiraf antara yang terbaik pernah dihasilkan dalam sejarah peradaban
manusia. Baik Freddie mahupun Queen, keempat-empat mereka berjaya meninggalkan
legasi yang akan terus dikenang selama-lamanya walaupun memetik lirik nukilan
(Dr) Brian May dalam album A Kind Of Magic, “Who wants to live forever!”
.