Semua sudah tahu yang David Coverdale dan rakan-rakan Whitesnake-nya telah menyerang Stadium Putra Bukit Jalil pada 30 Oktober yang lepas dalam rangkaian jelajah "Forevermore", iaitu rilisan terbaru mereka.
Penyanyi tempatan yang dijemput untuk membuka tirai persembahan adalah Ella & The Band. The Band di sini terdiri daripada Amir selaku Pengarah Muzik & pemain gitar, Rithan "DejaVoodoo Spells" sebagai pemain gitar jemputan, Joe "Wings" sebagai pemain gitar jemputan, Flybass sebagai pemain bass, Jimmy "Tempered Mental" sebagai pemain drum dan Lawrence sebagai pemain keyboard.
Dengan majoriti ahli band adalah dari Klang, maka tidak menghairankanlah kenapa aku dapat pass belakang pentas dan bersama-sama dengan mereka semua...he he he. Harus diakui mereka adalah antara pemuzik rock yang terbaik di negara kita sekarang di samping puluhan kalau tidak ratusan lagi pemuzik rock di luar sana.
Aku menjejakkan kaki di Stadium Putra pada tengahari Sabtu 30 Oktober bersama-sama dengan dua orang rakan, salah seorang daripadanya adalah "Jurugambar Rasmi" untuk band Ella & The Band ini. Aku juga memegang pass "Jurugambar Rasmi" maka secara automatik aku menjadi "pembantu" kepada kawan aku itu.
Pukul 2.00 petang kelihatan krew-krew Whitesnake masih menyiapkan kelengkapan mereka di atas pentas. Sambil melihat-lihat kawasan sekeliling, suasana kelihatan tenang seolah-olah tiada apa yang akan berlaku. Suasana yang sedikit "aneh" untuk konsert besar seperti ini. Tiada kelihatan penjual baju T tiruan seperti ketika konsert-konsert tempatan. Tiada juga kelihatan mat rock-mat rock kental yang biasanya suka datang awal ke venue persembahan. Memang janggal sungguh!
Sesi 'soundcheck' sepatutnya dijangka bermula pada pukul 3.30 petang. Tapi mungkin kerana terdapat kesilapan komunikasi, Aldrich, Beach, Devin, Ruedy dan Tichy hanya tiba pada pukul 4.30 petang. Berada di hadapan pentas ketika sebuah band rock sedang melakukan sesi 'sound check" adalah satu momen yang sukar dilepaskan. Apatah lagi band yang sedang melakukan sesi 'sound check' itu adalah band 'gergasi' seperti Whitesnake! Tanpa kehadiran Coverdale (seperti dijangka) mereka berlima melakukan ujian bunyi sambil jurutera bunyi mereka berusaha untuk mendapatkan 'setting' terbaik. Kelihatan mixer Digico 5 digunakan oleh jurutera mereka (untuk makluman, model terkini ialah Digico 9), mungkin untuk mendapatkan 'feel' dan mood bunyi sebenar Whitesnake.
Yang peliknya, tidak kelihatan walau sebutir monitor bunyi di atas pentas! Bagaimana mereka hendak mendengar apa yang mereka mainkan? Di sini sudah kelihatan salah satu daripada beberapa perkara "profesional" dan canggih yang mereka bawa. Mereka tidak memerlukan monitor tradisional kerana mereka semua menggunakan "in-ear monitor". Alat ini ialah seperti "ear phone" dan disumbat terus kedalam telinga. Ini dapat mengurangkan jumlah peralatan di atas pentas dan menambahkan ruang untuk mereka beraksi. Bijak, bijak...
Selepas hampir sejam mereka melakukan sesi ujian bunyi sambil 'jamming' 2-3 lagu-lagu "Blues" tiba giliran The Band untuk melakukan ujian bunyi. Seperti biasa, penyanyi tidak akan kelihatan ketika sesi "soundcheck" maka hanya pemuzik yang melakukan ujian bunyi. The Band dibantu oleh Andrew daripada JS Music sebagai jurutera bunyi mereka. Perkarangan stadium mula didatangi penonton (tapi masih belum tahap dibanjiri lagi). Gerai menjual cenderahati rasmi Whitesnake juga sudah dibuka. Tapi, dah nama pun rasmi, harga untuk t-shirt adalah sekitar RM 90 - RM 120. Aku hanya mampu telan air liur saja..ha ha ha.
Tepat jam 8.00 malam (suatu yang baru dalam konsert di Malaysia, konsert bermula tepat pada waktu. Dah macam Singapura..ha ha ha) The Band muncul di atas pentas. Tanpa kelibat Joe dan Ella, mereka membuka tirai persembahan dengan sebuah instrumental Blues "Bad Hair Day" ciptaan Amir. Kemudian intro "Nuri" dimainkan sebelum Joe dan Ella muncul di atas pentas. Sorakan penonton tanpa mengira kaum dan juga bangsa (orang putih juga terhangguk dengan lagu-lagu Ella ok!) membuktikan bahawa pemuzik kita juga tidaklah ketinggalan jauh sangat. Sekiranya diberikan peluang dan juga sokongan yang sepatutnya, memang boleh berdiri sama tinggi dah pemuzik kita dengan dengan pemuzik luar!
Ella menyanyikan 4 buah lagu pada malam itu. Nuri, Sembilu, Bayangan dan Layar Impian sebelum isyarat "berhenti" diberikan oleh pengurus pentas (sepatutnya Ella dijangka menyanyikan 5 buah lagu). Maka persembahan Ella diberhentikan tepat pukul 8.30 malam. Ella kelihatan melambai-lambai kearah penonton sambil menyebut "Here I go again" dengan tujuan bergurau dengan penonton.
Setelah pentas dibersihkan dan tirai hitam dibuka hingga menampakkan latar belakang HANYA logo Whitesnake sahaja (penggunaan cat "glow in the dark" pada logo tersebut juga menampakkan hasil yang sangat minimalis namun tetap gempak), tepat jam 9.00 malam Coverdale dan rakan-rakan muncul di atas pentas sambil memainkan muzik "intro" (tipikal intro untuk kumpulan rock, main chord E saja). Penonton sudah mula melonjak-lonjak dan menjerit-jerit. Dengan kehadiran sekitar 4000 penonton (sekarang boleh faham kan kenapa venue ditukar dari Stadium Negara ke Stadium Putra) tirai persembahan dibuka dengan lagu Best Years. Kemudian diikuti dengan Give Me All Your Love dan Love Aint No Stranger sebelum kawasan hadapan pentas "dibersihkan" oleh 'bouncer' bertugas (memang sudah diberitahu Whitesnake hanya mengizinkan jurukamera dan jurugambar media berada di hadapan pentas untuk 3 buah lagu pertama sahaja).
Secara keseluruhan, Whitesnake menyanyikan kira-kira 15 buah lagu, 2 sesi solo oleh Aldrich dan Beach dan satu sesi solo drum. Dengan satu encore, Still Of The Night (lagu ini ketara sudah diturunkan 'key'), solo Coverdale untuk Soldier Of Fortune dan Burn (yang dimasukkan sedikit elemen Stormbringer di akhir verse) ternyata bahawa Whitesnake memang Whitesnake! Mungkin akan ada suara-suara yang membandingkan era kegemilangan John Sykes, Rudy Sarzo dan Cozy Powell atau gandingan Vai dan Vandenberg tapi ternyata nama Whitesnake itu sendiri berdiri teguh dengan hanya satu susuk, David Coverdale!
Meskipun hampir kesemua lagu-lagu yang dimainkan sudah diturunkan 'key' (kadang-kadang kedengaran gitar di tune hingga Drop C!) tapi apa yang aku kagum, sepanjang hampir 2 jam konsert berlangsung, Coverdale menyanyi sama seperti kita mengunyah nasi. Langsung tak lupa lirik walaupun tiada "prompter" di hadapan beliau! Sama seperti konsert Iron Maiden tempohari juga tidak kelihatan "prompter" mahupun buku lirik di atas pentas. Sesuatu yang patut dimalukan oleh artis-artis tempatan. Selaku penyanyi, menghafal lirik adalah termasuk dalam bidang tugas penyanyi dan seharusnya penyanyi TANPA gagal harus menghafal lagu-lagu yang bakal mereka nyanyikan. Barulah datangnya 'feel!'.
Aku beransur dari stadium pada pukul 1 pagi dengan satu lagi pengalaman berharga menonton "raksaksa" rock dunia sambil mencongak-congak band rock mana lagi yang akan berjaya dibawa masuk oleh promoter tempatan.
Setlist Whitesnake.
1. Intro
2. Best Years
3. Give Me All Your Love
4. Love Aint No Stranger
5. Is This Love
6. Still Your Heart
7. Forevermore
8. Guitar Duel (snake dance)
9. Can You Hear The Wind Blow
10. Love Will Set You Free
11. Drum Solo
12. Deeper The Love
13. Fool For Your Lovin
14. Here i Go Again
15. Still Of The Night
16. Soldier of Fortune
17. Burn
1. Kredit kepada Dr. Ben untuk setlist lagu, kak Linda Rasul untuk gambar-gambar depan stage, Ismail Ibrahim untuk gambar-gambar belakang pentas dan Amir dan Jaikhand daripada Family Tree Production untuk 'backstage pass' ketika hari konsert tersebut.