Selamat Tahun Baru 2018! Entah kenapa sejak dari pertengahan tahun lepas, aku dapat semangat balik untuk menulis dekat blog ni. Tahniah kepada geng-geng lama yang tak pernah berhenti menulis. BERTEROMBER, PORTDY, DEAF, MUS KANDAR... Dahsyat betul komitmen korang. Salute!
Aku sekarang dalam proses nak mendokumentasi segala artikel yang pernah aku tulis untuk portal online. Semua yang pernah diterbitkan aku letakkan balik di sini supaya senang aku nak rujuk balik atau nak ambil untuk mana-mana terbitan buku kemudian hari. Juga sebagai back-up kot-kot portal tu tak bayar duit hosting ke apa ke, taklah artikel-artikel aku hilang dalam kegelapan internet. Eh!
Aku mulakan hantaran pertama untuk tahun 2018 ini dengan artikel pertama yang aku tulis untuk portal online Neon Berapi; juga menjadi artikel pertama yang 'merasmikan' laman web 'berapi' itu. Kehilangan paling besar aku rasakan untuk tahun 2017. Tak pernah aku rasa 'down' semacam ini bila dengar berita kematian rockers sebelum ini...
TIADA SIAPA
YANG AKAN DAPAT MENYANYI SEPERTI KAU, CORNELL.
(sumber gambar: Google)
Pengalaman pertama aku dengan Cornell
dan rakan-rakan Taman Bunyi (Soundgarden) agak lewat, sekitar tahun 1996.
Ketika itu sedang aku ralit menyelongkar almari seorang kawan di dorm, aku terpandang satu kulit kaset dengan
bayang 4 orang berlatar belakang kuning seperti api. “Ah, kau tak dengar
band-band macam ni,” kata kawan aku sebelum menutup almari beliau. Terus hilang
cerita kaset tersebut. Itulah detik pertama aku dengan Down On The Upside
Selepas diberhentikan daripada UiTM
dengan jayanya, aku mula menjual burger di bandar Klang. Lebih tepat, di Jalan
Melayu (depan Medan Mara). Di sini aku mula diperkenalkan dengan lebih mendalam
tentang ‘Seattle scene’ - Alice In Chains, Pearl Jam, Soundgarden, Temple Of
The Dog, Nona tapes (rockumentary Alice In Chains), Bogey Deport (project band
Jerry Cantrell), Stone Temple Pilot, Mad Season (project band Layne Staley), dan
banyak lagi. Sengaja aku tidak masukkan Nirvana kerana…well, siapa tak kenal Nirvana kan?
Dalam waktu yang sama, aku
diperkenalkan juga dengan Euphoria Morning. Satu karya agung, avant garde; album solo pertama Chris Cornell.
Sebelum itu, Sunshower telah terlebih dahulu mengetuk pintu hati aku hinggakan aku
letakkan vcd Great Expectations sebagai ‘VCD wajib milik’ hinggalah akhirnya kami
dipertemukan di ‘pasar malam’ Uptown Damansara Utama (the original Uptown). Siapa boleh lupa babak ketika lagu ini
keluar? Ah, Gwyneth Paltrow pujaan aku!
Euphoria Morning menjadi soundtrack hidup aku agak lama. Aku
pernah memberi lagu dan lirik Preaching The End Of The World kepada crush aku waktu itu semata-mata kerana bait
lirik ‘I'm 24, and I've got everything to live for, but I know now, that it
wasn't meant to be.’ Tentulah akhirnya usaha itu menemukan kegagalan kerana
selain alasan ‘tak faham’, crush aku
juga rupanya sedang dalam persiapan untuk bertunang dan berkahwin pada waktu
itu. Secara automatik, lagu ‘When I’m Down’ menjadi latar cerita.
Audioslave muncul ketika zaman aku
masih seorang kutu dan penjual burger jalanan yang biasa-biasa di bandar Klang.
Perasaan kali pertama mendengar gabungan RATM+Cornell itu seperti…pelik. Pelik
kerana telinga sudah terbiasa dengan petikan sound berat Gibson SG Kim Thayil
namun selain Show Me How To Live, Like A Stone dan I Am A Highway menjadi
kegemaran aku dan juga menjadi mangsa rewind
berkali-kali di radio gerai burger aku.
Zaman jamming aku juga dilatari dengan Chris Cornell dan Soundgarden.
Kumpulan aku ketika itu seringkali memainkan Tighter & Tighter dan Blow The
Outside World. Pernah juga cubaan untuk memainkan Fell On The Black Days dan
Spoonman cumanya kami cepat tersedar akan kemampuan vokalis kami ketika itu
sangatlah terhad walaupun beliau ketika itu mengamalkan petua Cornell yang kononnya
memakan gula-gula Hacks hitam sebelum menyanyi dapat membantu menyanyikan lagu
bernada tinggi. Agak mujarab sebenarnya petua itu. Aku sendiri pernah amalkan
ketika sesi karaoke di Red Box. Memang menjadi!
Setelah itu agak lama juga aku
terputus kepedulikan dengan Chris Cornell. Hinggalah pada suatu hari di laman
web grunge.com ada menyiarkan ura-ura Soundgarden akan kembali membuat reunion. Aku masih skeptikal sampailah
Telephantasm membuat kemunculan pada tahun 2010. Aku masih ingat inilah album
pertama yang aku beli melalui Amazon.com dek kerana tak sabar menunggu tarikh
ia dipasarkan di Malaysia. Walaupun agak kecewa kerana rupanya ini sebuah album
kompilasi, tapi agak melegakan hati kerana ada satu rilisan baru Black Rain (unrelased version sebenarnya) dan juga special dvd yang disertakan bersama (aku
beli yang special edition, memang
dapat dvd).
Tayangan The Avengers membuatkan hati aku
berbunga kembali. Sumpah aku tak tahupun yang Soundgarden terlibat dalam
pembikinan lagu untuk filem ini. Biasalah, kalau menonton filem Marvel, pasti
akan ada end credit scene. Sementara
menunggu scene tersebut, tiba-tiba
terdengar bunyi gitar umpama ‘seretan rantai besi’ atas jalan. Bunyi gitar yang
sangat lama aku rindukan. Masuk pula suara ‘jantan’ Chris Cornell dan dentuman
dram Matt Cameron dan dentingan bass Ben Sheppard, yeaaah! Soundgarden kembali!
Buat pertama kalinya juga aku duduk dalam panggung sehingga layar menjadi gelap
dek kerana menunggu sampai habis Live To Rise dimainkan.
King Animal muncul tak lama selepas
The Avengers ditayangkan. Kali ini aku tak dapat nak beli special edition di Amazon kerana kadar tukaran mata wang yang makin
merepek. Mendengar saja rilisan baharu ini, satu yang paling nyata - sudah kurang
atau hampir tiada elemen ‘marah-marah’ seperti album mereka yang
sebelum-sebelum ini. Mungkin mereka sudah bertemu dengan ‘Zen’ masing-masing.
Album ini juga buat pertama kalinya menampilkan Dave Grohl sebagai pengarah
untuk video klip By Crooked Steps.
Secara jujur, aku agak terkesan dengan
kematian Cornell. Selain lagu-lagu beliau secara solo mahupun ketika bersama
Soundgarden dan Audioslave menjadi latar hidup aku selama ini, aku juga sering
merasakan yang beliau adalah seorang yang positif dalam hidup walaupun pernah
melalui saat kematian kawan baik, Andrew Wood, Jeff Buckley mahupun ketka kes
perceraian dengan Susan Silver. Siapa sangka yang beliau akan menulis lagu
untuk filem Bond ‘Casino Royale’ yang pada aku lagu kedua dalam franchise filem
Bond yang terbaik selepas Tomorrow Never Dies (TND). You Know My Name (YKMN)
menjadi lagu Bond pertama yang dibikin secara up-tempo dan bukan seperti kebiasaan lagu tema Bond yang tipikal.
Cuma suara serak-serak seksi Sheryl Crow yang meletakkan TND sedikit atas
daripada YKMN dalam carta aku.
Kematian Cornell menjadikan cuma Mark
Arm (Mudhoney) dan Eddie Vedder (Pearl Jam) sahaja ikon ‘Seattle sound’ era 90an
yang tinggal. Menuruti jejak langkah Kurt Cobain (Nirvana), Layne Staley (Alice
In Chains), Andrew Wood (Mother Love Bone), Shannon Hoon (Blind Melon), dan
Scott Weiland (Stone Temple Pilot), Chris Cornell seharusnya diingati bukan
sahaja sebagai salah seorang pelopor ‘Seattle sound’ malahan sebagai seorang
penulis lirik yang sangat puitis (walaupun beliau sangat suka menggunakan
perlambangan ‘ular’ dalam lagu-lagu Soundgarden) dan juga sebagai seorang
penyanyi yang padu. Kematian Cornell juga memadamkan terus cita-cita aku untuk
menonton persembahan Soundgarden secara langsung pasca reunion & King
Animal.
Damailah kau di sana Chris. Akhirnya
permintaan kau ditunaikan jua walau dalam keadaan paksarela.
“Please,
mother of mercy take me from this place…
and the long winded curses keep here in my head”
and the long winded curses keep here in my head”
Koleksi peribadi aku.
5 ulasan:
selamat tahun baru Zan...menarik artikel ni...tapi aku tak puas hati ni...mana ada lagu tema James Bond yang lebih baik dari A View To Kill dari Duran Duran dan The Living Daylights dari A-ha...hahaha...
Berteromber...
Pilihan kau tu menunjukkan umur kau. Sorok sikit bro!
Kah kah kah! Mat diskang elektro rupanya...
aku pun tak sangka ada lagu Soundgarden masa hujung cerita Avengers tu, memang terbaik feel dia.. dan kematian Chris Cornell pun tak sangka, kalau dengar lagu macam Dandelion (lagu untuk anak dia), memang menggambarkan dia seorang yang sangat positif
Melekat nama kandaq la pulakkkkk. ahhahaha
Terbaik Zan. Dari hati tulis ni mengimbau cerita zaman dulu...
Catat Ulasan