Memaparkan catatan dengan label emo. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label emo. Papar semua catatan

Selasa, 2 Januari 2018

RESOLUSI BUKAN REVOLUSI 2018


Selamat Tahun Baru 2018! Entah kenapa sejak dari pertengahan tahun lepas, aku dapat semangat balik untuk menulis dekat blog ni. Tahniah kepada geng-geng lama yang tak pernah berhenti menulis. BERTEROMBER, PORTDY, DEAF, MUS KANDAR... Dahsyat betul komitmen korang. Salute!

Aku sekarang dalam proses nak mendokumentasi segala artikel yang pernah aku tulis untuk portal online. Semua yang pernah diterbitkan aku letakkan balik di sini supaya senang aku nak rujuk balik atau nak ambil untuk mana-mana terbitan buku kemudian hari. Juga sebagai back-up kot-kot portal tu tak bayar duit hosting ke apa ke, taklah artikel-artikel aku hilang dalam kegelapan internet. Eh!

Aku mulakan hantaran pertama untuk tahun 2018 ini dengan artikel pertama yang aku tulis untuk portal online Neon Berapi; juga menjadi artikel pertama yang 'merasmikan' laman web 'berapi' itu. Kehilangan paling besar aku rasakan untuk tahun 2017. Tak pernah aku rasa 'down' semacam ini bila dengar berita kematian rockers sebelum ini...


TIADA SIAPA YANG AKAN DAPAT MENYANYI SEPERTI KAU, CORNELL.

 (sumber gambar: Google)

Pengalaman pertama aku dengan Cornell dan rakan-rakan Taman Bunyi (Soundgarden) agak lewat, sekitar tahun 1996. Ketika itu sedang aku ralit menyelongkar almari seorang kawan di dorm, aku terpandang satu kulit kaset dengan bayang 4 orang berlatar belakang kuning seperti api. “Ah, kau tak dengar band-band macam ni,” kata kawan aku sebelum menutup almari beliau. Terus hilang cerita kaset tersebut. Itulah detik pertama aku dengan Down On The Upside

Selepas diberhentikan daripada UiTM dengan jayanya, aku mula menjual burger di bandar Klang. Lebih tepat, di Jalan Melayu (depan Medan Mara). Di sini aku mula diperkenalkan dengan lebih mendalam tentang ‘Seattle scene’ - Alice In Chains, Pearl Jam, Soundgarden, Temple Of The Dog, Nona tapes (rockumentary Alice In Chains), Bogey Deport (project band Jerry Cantrell), Stone Temple Pilot, Mad Season (project band Layne Staley), dan banyak lagi. Sengaja aku tidak masukkan Nirvana kerana…well, siapa tak kenal Nirvana kan?

Dalam waktu yang sama, aku diperkenalkan juga dengan Euphoria Morning. Satu karya agung, avant garde; album solo pertama Chris Cornell. Sebelum itu, Sunshower telah terlebih dahulu mengetuk pintu hati aku hinggakan aku letakkan vcd Great Expectations sebagai ‘VCD wajib milik’ hinggalah akhirnya kami dipertemukan di ‘pasar malam’ Uptown Damansara Utama (the original Uptown). Siapa boleh lupa babak ketika lagu ini keluar? Ah, Gwyneth Paltrow pujaan aku!

Euphoria Morning menjadi soundtrack hidup aku agak lama. Aku pernah memberi lagu dan lirik Preaching The End Of The World kepada crush aku waktu itu semata-mata kerana bait lirik ‘I'm 24, and I've got everything to live for, but I know now, that it wasn't meant to be.’ Tentulah akhirnya usaha itu menemukan kegagalan kerana selain alasan ‘tak faham’, crush aku juga rupanya sedang dalam persiapan untuk bertunang dan berkahwin pada waktu itu. Secara automatik, lagu ‘When I’m Down’ menjadi latar cerita.

Audioslave muncul ketika zaman aku masih seorang kutu dan penjual burger jalanan yang biasa-biasa di bandar Klang. Perasaan kali pertama mendengar gabungan RATM+Cornell itu seperti…pelik. Pelik kerana telinga sudah terbiasa dengan petikan sound berat Gibson SG Kim Thayil namun selain Show Me How To Live, Like A Stone dan I Am A Highway menjadi kegemaran aku dan juga menjadi mangsa rewind berkali-kali di radio gerai burger aku.

Zaman jamming aku juga dilatari dengan Chris Cornell dan Soundgarden. Kumpulan aku ketika itu seringkali memainkan Tighter & Tighter dan Blow The Outside World. Pernah juga cubaan untuk memainkan Fell On The Black Days dan Spoonman cumanya kami cepat tersedar akan kemampuan vokalis kami ketika itu sangatlah terhad walaupun beliau ketika itu mengamalkan petua Cornell yang kononnya memakan gula-gula Hacks hitam sebelum menyanyi dapat membantu menyanyikan lagu bernada tinggi. Agak mujarab sebenarnya petua itu. Aku sendiri pernah amalkan ketika sesi karaoke di Red Box. Memang menjadi!

Setelah itu agak lama juga aku terputus kepedulikan dengan Chris Cornell. Hinggalah pada suatu hari di laman web grunge.com ada menyiarkan ura-ura Soundgarden akan kembali membuat reunion. Aku masih skeptikal sampailah Telephantasm membuat kemunculan pada tahun 2010. Aku masih ingat inilah album pertama yang aku beli melalui Amazon.com dek kerana tak sabar menunggu tarikh ia dipasarkan di Malaysia. Walaupun agak kecewa kerana rupanya ini sebuah album kompilasi, tapi agak melegakan hati kerana ada satu rilisan baru Black Rain (unrelased version sebenarnya) dan juga special dvd yang disertakan bersama (aku beli yang special edition, memang dapat dvd).

Tayangan The Avengers membuatkan hati aku berbunga kembali. Sumpah aku tak tahupun yang Soundgarden terlibat dalam pembikinan lagu untuk filem ini. Biasalah, kalau menonton filem Marvel, pasti akan ada end credit scene. Sementara menunggu scene tersebut, tiba-tiba terdengar bunyi gitar umpama ‘seretan rantai besi’ atas jalan. Bunyi gitar yang sangat lama aku rindukan. Masuk pula suara ‘jantan’ Chris Cornell dan dentuman dram Matt Cameron dan dentingan bass Ben Sheppard, yeaaah! Soundgarden kembali! Buat pertama kalinya juga aku duduk dalam panggung sehingga layar menjadi gelap dek kerana menunggu sampai habis Live To Rise dimainkan.

King Animal muncul tak lama selepas The Avengers ditayangkan. Kali ini aku tak dapat nak beli special edition di Amazon kerana kadar tukaran mata wang yang makin merepek. Mendengar saja rilisan baharu ini, satu yang paling nyata - sudah kurang atau hampir tiada elemen ‘marah-marah’ seperti album mereka yang sebelum-sebelum ini. Mungkin mereka sudah bertemu dengan ‘Zen’ masing-masing. Album ini juga buat pertama kalinya menampilkan Dave Grohl sebagai pengarah untuk video klip By Crooked Steps.

Secara jujur, aku agak terkesan dengan kematian Cornell. Selain lagu-lagu beliau secara solo mahupun ketika bersama Soundgarden dan Audioslave menjadi latar hidup aku selama ini, aku juga sering merasakan yang beliau adalah seorang yang positif dalam hidup walaupun pernah melalui saat kematian kawan baik, Andrew Wood, Jeff Buckley mahupun ketka kes perceraian dengan Susan Silver. Siapa sangka yang beliau akan menulis lagu untuk filem Bond ‘Casino Royale’ yang pada aku lagu kedua dalam franchise filem Bond yang terbaik selepas Tomorrow Never Dies (TND). You Know My Name (YKMN) menjadi lagu Bond pertama yang dibikin secara up-tempo dan bukan seperti kebiasaan lagu tema Bond yang tipikal. Cuma suara serak-serak seksi Sheryl Crow yang meletakkan TND sedikit atas daripada YKMN dalam carta aku.

Kematian Cornell menjadikan cuma Mark Arm (Mudhoney) dan Eddie Vedder (Pearl Jam) sahaja ikon ‘Seattle sound’ era 90an yang tinggal. Menuruti jejak langkah Kurt Cobain (Nirvana), Layne Staley (Alice In Chains), Andrew Wood (Mother Love Bone), Shannon Hoon (Blind Melon), dan Scott Weiland (Stone Temple Pilot), Chris Cornell seharusnya diingati bukan sahaja sebagai salah seorang pelopor ‘Seattle sound’ malahan sebagai seorang penulis lirik yang sangat puitis (walaupun beliau sangat suka menggunakan perlambangan ‘ular’ dalam lagu-lagu Soundgarden) dan juga sebagai seorang penyanyi yang padu. Kematian Cornell juga memadamkan terus cita-cita aku untuk menonton persembahan Soundgarden secara langsung pasca reunion & King Animal.  

Damailah kau di sana Chris. Akhirnya permintaan kau ditunaikan jua walau dalam keadaan paksarela.

“Please, mother of mercy take me from this place…
and the long winded curses keep here in my head
”  

Koleksi peribadi aku. 

Jumaat, 19 April 2013

Semoga Kau Disinari Wahai Berlian Gila!






Hari ini, 18 April 2013 dunia kehilangan seorang individu yang bertanggungjawab mencorakkan seni di dalam muzik rock amnya. Storm Torgerson, "susuk" keenam dalam kumpulan Pink Floyd mati pada usia 69 tahun akibat kanser.

Selain terlibat dalam pembikinan kulit album Pink Floyd, mendiang juga banyak terlibat dalam pembikinan kulit album kumpulan-kumpulan lain antaranya Led Zeppelin, Muse dan juga AudioSlave.

Semoga kau disinari, wahai berlian gila!

Berita rujukan.








Rabu, 27 Jun 2012

Bila aku beraya pada bulan Rejab...(Let Us Cling Together)


Tiba-tiba mood nak menulis datang. Maka bersambunglah aku menulis...

Tajuk di atas sengaja aku kontroversikan. Ianya kerana dalam sekitar Mei/Jun ini, semua barang-barang yang aku pesan dari luar sudah sampai (walau ada yang ambil masa sampai satu bulan!). Antara yang masuk dalam direktori koleksi aku ialah Queen Limited Edition Boxset no. 2.

Queen 25th Years Anniversary Limited Edition Boxset no. 2 

Sebenarnya, seperti mana entri yang ini, koleksi ini bukanlah koleksi yang dikeluarkan oleh Universal Music selaku pemegang hak pengedaran terkini Queen, tapi oleh Hollywood Records dengan kerjasama dari anggota Queen yang masih tinggal dan aktif (Brian May dan Roger Taylor). Ianya dikeluarkan dalam tiga (3) siri dan hanya dijual secara rasmi dalam laman web Amazon. Aku berjaya dapatkan 2 daripada 3 siri ini. Doakan aku dapat lengkapkan ketiga-tiga koleksi ya?

Queen 25th Years Anniversary Limited Edition Boxset no. 1


Sekarang ini aku sedang melekat dengan album dari Boxset yang pertama, A Day At The Race. Album ini adalah album kelima daripada 15 discography Queen dan diterbitkan pada tahun 1976. Juga adalah album pertama yang menampilkan Queen sebagai penerbit album sepenuhnya tanpa bayangan Roy Thomas Baker, penerbit album-album mereka sebelum ini.



Dalam album ini, Queen telah mencipta sebuah lagu yang diselitkan lirik berbahasa Jepun di bahagian korus (satu-satunya lagu Queen yang berbahasa Jepun dan antara 3 lagu yang berbahasa asing selain Mustafa dan Las Palabras De Amor). Teo Toriatte atau dalam bahasa inggeris Let us Cling Together, lagu yang dicipta sepenuhnya oleh Brian May sebagai penghormatan kepada peminat mereka di Jepun. Juga menjadi satu-satunya lagu yang bahagian pianonya tidak dimainkan oleh Freddy Mercury tapi dimainkan sendiri oleh Brian May.

Aku tak bercadang nak mengupas teknikal album atau koleksi ini (mungkin di entry yang lain). Cuma sejak kali pertama aku dengar lagu ini (ianya diletakkan sebagai penutup album), aku dapat rasakan satu perasaan sayu tapi penuh bersemangat! Tidak menghairankan sekiranya dilihat di dalam Youtube, jengah ke bahagian komen maka kita akan dapat membaca komen-komen yang positif tentang lagu ini. Lagu ini juga telah dirakamkan kembali oleh kumpulan Rock dari Carlifornia,  Mêlée dan bekas vokalis Angra, Andre Matos.Lagu ini juga dimasukkan ke dalam projek kompilasi Song For Japan sempena malapetaka tsunami dan gempa bumi yang melanda Jepun tempohari dan dikeluarkan pada Mac 2011. (sumber: wikipedia)



(verse)

When I'm gone
No need to wonder if I ever think of you
The same moon shines
The same wind blows
For both of us, and time is but a paper moon...
Be not gone

Though I'm gone
It's just as though I hold the flower that touches you
A new life grows
The blossom knows
There's no one else could warm my heart as much as you...
Be not gone

(chorus)

Let us cling together as the years go by
Oh my love, my love
In the quiet of the night
Let our candle always burn
Let us never lose the lessons we have learned

手を取り合って このまま行こう (Te o toriatte Kono mama ikō)
愛する人よ (Aisuru hito yo)
静かな宵に (Shizuka na yoi ni)
光を灯し (Hikari o tomoshi)
愛しき 教えを抱き (Itoshiki Oshie o idaki)

(verse)

Hear my song
Still think of me the way you've come to think of me
The nights grow long
But dreams live on
Just close your pretty eyes and you can be with me...
Dream on

(chorus)

手を取り合って このまま行こう (Te o toriatte Kono mama ikō)
愛する人よ (Aisuru hito yo)
静かな宵に (Shizuka na yoi ni)
光を灯し (Hikari o tomoshi)
愛しき 教えを抱き (Itoshiki Oshie o idaki)

(bridge)

When I'm gone
They'll say we're all fools and we don't understand
Oh be strong
Don't turn your heart
We're all
You're all
For all
For always

(chorus)

Let us cling together as the years go by
Oh my love, my love
In the quiet of the night
Let our candle always burn
Let us never lose the lessons we have learned

p/s: Gambar-gambar diambil tanpa kebenaran dari internet. Belum ada masa nak amik gambar koleksi aku yang ini.

Selasa, 5 Oktober 2010

Rentak Muzik Masa Kini

"Apa yang aku cuba buat sekarang ialah ibarat menghidangkan masak lemak masakan mak kita yang dah memang dari dulu sedap ke dalam pinggan yang baru, dengan hiasan yang baru. Masak lemak tetap rasa yang sama".

Kata-kata diatas dilontarkan oleh kawan aku, seorang komposer dan juga bakal penerbit album yang sedang bertungkus-lumus didalam studio untuk menyiapkan album seorang "lagenda" nyanyian tanahair. kalau aku sebut nama dah tak jadi surprise bukan? hahaha

Panjang lebar apa yang kami bualkan pada suatu pagi yang hening (cewah!) selepas proses memasukkan bv (backing vokal) untuk salah satu lagu "lagenda" tersebut. Kebanyakkannya berkisar mengenai "industri" hiburan tanahair (kalau boleh dipanggil sebagai industri. Kalau ikut kata Fauzie bassist Search era Nurnilam Sari, "scene" pun dah cukup bagus).

Sememangnya banyak yang perlu diperdebat untuk menentukan arah tuju muzik kita. Era penjualan album "ratus-ribu" dah lama berlalu. Kualiti muzik dari luar (barat dan juga indonesia) makin meningkat tapi muzik kita masih di takuk yang sama. Persembahan berbayar cukup sukar untuk mendapat tempat di hati penonton sedangkan di Rio De Janerio, Rolling Stones mengumpulkan hampir 2 juta penonton berbayar untuk menyaksikan mereka bermain pada Rock In Rio 2006.

Di mana salahnya?

Peminat zaman sekarang di era I-Pod dan I-Tunes agak sukar untuk membeli cd yang asli. Ledakan teknologi muat-turun membolehkan peminat hanya membeli lagu yang diminati dan bukannya keseluruhan album. Peminat yang lama masih menyandarkan pada kenangan sedangkan pendengar yang baru dahagakan pembaharuan. Tetapi tanpa kita sedari hakikat yang teramat pahit untuk ditelan bahawa dalam tempoh sepuluh tahun ke belakang (2000 - 2010) tiada satupun lagu atau karya tempatan yang betul-betul boleh menangkap halwa kalbu dan telinga kita (secara kebetulan serangan Dewa, Padi, Gigi dan sebagainya juga menembusi ke arena muzik kita dalam julat masa yang sama).

Ramai yang menganggap bahawa karyawan kita kekurangan idea atau kurang kreatif untuk berkarya. Sebenarnya kalau mereka faham, kreativiti karyawan hanya menyumbang sekitar 30% daripada keseluruhan proses kejayaan sesebuah album. Lagi 70% dikongsi oleh produksi dan juga promosi. Sekarang zaman teknologi dimana lebih ramai orang yang sudah terdedah dengan teknologi dan ramai diantara kita yang dapat membezakan antara produksi yang bagus ataupun tidak untuk sesebuah lagu atau album. Pernah pada satu masa, lagu-lagu yang diputarkan di radio tempatan adalah lagu-lagu yang bahagian drumnya dengan jelas kedengaran bunyi "drum machine" sedangkan pabila kita mendengar lagu dari seberang yang diputarkan, dengan jelas kita mendengar bukan saja bunyi drum, malahan bahagian "strings" juga jelas kedengaran dimainkan oleh orkestra, bukannya menggunakan keyboard.

Seawal kewujudan Napster dunia muzik seluruh dunia sudah merasakan gelombang baru dalam era penjualan muzik. Mereka percaya yang muzik bukan lagi hanya didalam bentuk cd atau kaset tetapi sudah berevolusi dalam bentuk mp3. Tetapi sejauh mana kepekaan dunia hiburan tanahair dengan evolusi ini? Hanya setelah Aizat berjaya mencapai 2 juta muat-turun untuk lagu-lagu beliau barulah promosi muzik kita juga berubah. Dan kejayaan Aizat dengan muat-turun tersebut hanya berlaku pada tahun lepas!

Cerita tentang persembahan langsung artis tempatan yang kurang mendapat tajaan dari syarikat korporat sudah lama digembar-gemburkan. Selepas era "Salem Cool Planet" dan juga "Pesta Kingsway" konsert artis tempat boleh diibaratkan seperti melukut di tepi gantang. Yang boleh dan masih dibanggakan adalah Konsert Ikhlas anjuran R.A.P yang mengumpulkan hampir 100,000 penonton berbayar di Stadium Merdeka. Siri-siri konsert selepas itu gagal untuk mengulangi sejarah Konsert Ikhlas. Memang bergeliga otak Roslan Aziz tapi mana tempatnya dalam industri kita?

Syarikat-syarikat korporat dituduh tidak patriotik apabila tidak mahu menaja konsert artis-artis tempatan. Sedangkan untuk persembahan dari kumpulan yang baru mempunyai sebuah album yang berasal dari German tetapi menggunakan nama Jepun, GLC monopoli talian internet negara dengan senang hati menaja konsert mereka. Tapi adakah boleh disalahkan mereka 100% sedangkan apabila syarikat telco "berbaloi-baloi" yang mengambil inisiatif menaja kumpulan rock lagenda tanahair sehingga sekarang merasa serik untuk menaja akibat "pengurusan kelas pertama" yang diamalkan oleh pengurusan produksi konsert kita? Sedangkan konsert Iron Maiden yang sudah memang terkenal di seantero dunia juga di jual awal tiketnya 3-4 bulan dari tarikh konsert tapi konsert "Kacau-Bilau" kita hanya 2 minggu? Syarikat mana yang nak tanggung rugi brader?

Bersambung selepas Edisi Kuantan (dengan ulasan)...

Selasa, 28 September 2010

Merah Kuning Lambang Kebanggaan!



Setelah lama aku sekadar blog-hopping dari satu blog ke satu blog yang lain, tiba-tiba aku terasa nak tulis pasal bolasepak. Semua yang aku tulis adalah berdasarkan pengalaman aku. Pengalaman orang lain aku tak tau.

Sejarah aku dan bolasepak kalau nak diikutkan bermula pada tahun 1988. Masa tu Road To Wembley adalah rujukan utama pada ketika itu. Dan rancangan itu jugalah yang menemukan aku dengan team yang aku sokong sampai sekarang (yang aku rasa semua orang tahu..hahaha). Disulami dengan rancangan Serie A yang juga menemukan aku dengan Napoli, pasukan yang pernah kuat satu ketika dulu.

Perkenalan aku dengan bolasepak tempatan pula bermula pada tahun 1990. Waktu tu aku darjah 4 dan bersekolah sesi petang. Guru Bahasa English sekolah aku membuat tawaran untuk mengikut beliau ke Stadium Merdeka menonton perlawanan melibatkan pasukan Selangor dengan hanya membayar RM 5 untuk duit van beliau. Dan masa tu aku antara sebilangan saja murid darjah 4 yang teruja nak ikut beliau ke stadium. Aku ingat lagi waktu tu aku kumpul duit belanja sekolah dan simpan dalam tin coca-cola (waktu tu tin coca-cola senang2 je boleh muat syiling 50 sen). Bila dah penuh je aku tukar dengan arwah ayah aku untuk modal pergi stadium. Game pertama aku tengok Selangor lawan Perak. Result dia 0-0.

Tahun 1990 ni juga aku ingat-ingat ada dalam empat kali aku ikut cikgu aku ni pergi stadium. Kena game hari sekolah memang tak dapat aku lupa. 2-3 kali jugak aku terpaksa "tipu" GPK (guru penolong kanan) sekolah aku pasal nak ikut cikgu aku ni tengok Selangor main...hahaha. Skill tipu ni pun cikgu aku ni yang ajar tau! Masa tu aku memang boleh dikategori sebagai "kipas-susah-mati" Selangor. 1st eleven senang-senang je aku tapau, gosip pasal player semua aku ikut. Dah mengalahkan artis la cara aku puja player Selangor waktu tu. Game yang paling aku ingat waktu tu ialah semi-final Piala Malaysia antara Selangor vs Pahang. Selangor menang 4-0..pergh. Tak berhenti Mexican Wave waktu tu. Aku punya bersorak mengalahkan orang besar sampaikan ada sorang brader tu suruh aku makikan reff untuk dia pasal tengok aku bersungguh-sungguh maki reff time tu..hahaha.

Tahun 1991 ada jugak 2-3 kali aku ikut cikgu aku ni ke stadium tapi aku sendiri dah lupa game apa. Scene layan bola kat stadium ni aku teruskan sampai ke kemuncaknya pada tahun 95-97. Time ni aku buat hatrik pergi stadium masa final Piala Malaysia kat Stadium Shah Alam. Pahang-Sabah-Pahang merupakan lawan Selangor masa tu. Tahun1995 tu juga la buat pertama kalinya aku dengar lagu keramat "Merah Kuning" tu. Memang bergegar beb stadium. Masa tu rasa yang teramat best pasal sokong Selangor..hahaha (masa tu la).

Tapi lepas je tahun 1997 aku dah tak rasa nak pergi stadium lagi. Aku ada ingat pernah juga ikut kawan ke stadium masa musim 2004 rasanya. Tengok game Selangor vs Perak jugak. Tapi dah rasa hambar bila tengok bola kat stadium. Masa tu pergi stadium pun pasal nak rasa seronok pergi ramai-ramai dengan kawan-kawan je. Bukan nak tengok bola sangat pun.

Aku rasa semua orang bersetuju yang bolasepak tempatan pernah mengalami zaman kegemilangannya satu ketika dulu. Zaman-zaman aku berdebar-debar dengar "Live" melalui Radio 3 Shah Alam masa aku sekolah rendah dulu bila ada game Selangor. Zaman-zaman gossip pasal player bola kadang-kadang mengalahkan artis. Zaman-zaman ketika waktu berehat pasukan-pasukan seperti Kuala Lumpur dan Selangor adalah berehat di Holland dan Eropah dan apabila mendengar nama Jepun atau Korea Selatan, masing-masing sibuk buka peta nak tengok negara tu dekat mana. Aku hampir-hampir dah jadi members SSFC (Selangor Soccer Fan Club) waktu ni kalau tak pasal aku tak cukup duit nak bayar yuran keahlian setahun RM 50.00.

Sekarang ni apa yang aku mampu buat hanyalah tengok perkembangan Selangor FC dari jauh je la. Nak kata tak ada duit, aku rasa setakat nak beli tiket bermusim dah selamba sangat rasanya. Tapi rasa "berdebar" bila tengok pasukan kegemaran bermain tu dah lama hilang. Sekarang debaran tu digantikan pulak dengan Liverpool FC..hahaha. Camne nak jawab tu?

Cumanya bila aku mula kenal sorang kawan perempuan yang tak pernah "miss" untuk ke Stadium Paroi bila pasukan Negeri Sembilan beraksi (walaupun beliau bekerja dan duduk di Kuala Lumpur) mengubah kembali tanggapan aku. Aku rasa aku kena mula ke stadium semula. Dan aku kena carik balik "feel" berdebar bila tengok Selangor beraksi di stadium Shah Alam.

Erm...lepas ni Selangor lawan ape ye?

Isnin, 20 September 2010

Telephantasm...

Selamat hari raya semua. Maaf zahir & batin. Agak panjang juga aku bercuti untuk raya tahun ni. Bukan pergi mana pun, lepak rumah saja..hahaha

Raya tahun ni ada perkara yang membuatkan aku excited tak tentu hala. Tak pernah-pernah aku gunakan kad kredit (adik aku punya) untuk membeli edisi pre-sale tapi kali ni memang aku tak boleh tahan..huhuhu

Ya..Soundgarden muncul kembali dengan Telephantasm. Ini merupakan rilisan terkini mereka selepas Down On The Upside (DOTU) dan juga selepas kembalinya mereka daripada pergaduhan yang cukup lama. Akhirnya baik Thayil mahupun Cornell menolak segala ego mereka dan kembali menjilat ludah masing-masing dan sanggup bersatu kembali di dalam sebuah kumpulan. Untuk makluman, merekalah band pertama dari Seattle yang berjaya menandatangani kontrak dengan major label (dari Sub Pop ke A&M Records) sebelum diikuti dengan Nirvana, Pearl Jam, Alice In Chains dan sebagainya. Kiranya kalau mereka tak buka jalan sign dengan major label, agaknya Nirvana masih ada lagi kot (tapi tak terkenal la macam sekarang..hahaha).

Walaupun ini adalah sebuah album kompilasi, bukan album baru tapi aku rasa cukup berjaya menaikkan perasaan teruja aku untuk menunggu hasil "terkini" mereka. Ialah, sampai sanggup beli versi pre-sale kat amazon.com. Dengan gambar-gambar terkini mereka perform bersama, apa lagi yang lebih best melainkan nak dengar balik jeritan Cornell mengiringi solo penuh berserabut Thayill, bassline merapu Shepherd dan juga ketukan off beat Cameron..fuh!

(gambar diambil dari Obefiend)

Apapun, marilah kita bersama-sama menunggu detik 28 September ni untuk melihat Telephantasm memasuki pasaran dunia (Malaysia aku tak pasti). Dan pastikan yang tulen!


Sedikit pasal bola.

Clash Of The Titans (??) malam tadi antara team aku (Liverpool) bertemu Setan Merah (Manchester United). 3-2 di Old Trafford. Memang aku tak sangka Berbatov boleh hatrik malam tadi. Tapi memang aku agak kecewa dengan pertahanan Liverpool. Walaupun pada mulanya aku gembira Lucas Leiva tak main, tapi dengan meletakkan Skrtel sebagai last-man menggantikan Agger, aku agak kurang berkenan. Pasal kecenderungan Skrtel untuk bertahan berbanding Agger yang berkebolehan untuk menjaringkan gol (Agger ada iras-iras Hyypia ketika muda..hahaha). Tapi nak buat macamana, bak kata Faroukh Bulsara the show must go on. Dan aku tetap bersama Liverpool walau macamana najisnya dorang main..huhuhuu

Diambil dari sini

YNWA!

Isnin, 23 Ogos 2010

Halal ke?


Ramadhan kali ini aku rasa ada benda baru yang berputar di media-media arus perdana. Ya, kali ini media mempersembahkan isu makanan halal di hotel-hotel yang menyediakan bufet berbuka puasa. Satu benda yang agak terlambat tapi bak kata orang puteh.."better late than never".

Sebetulnya aku dah pernah berbincang dengan kawan aku tentang isu makanan halal di Malaysia ni 3 tahun lepas. Perbincangan kami bertolak daripada cadangan untuk mengadakan majlis berbuka puasa bersana bekas rakan2 sepersekolahan. Oleh kerana kawan aku ni bekerja di Jab. Agama Islam Negeri **** (JAIN) maka isu status halal di hotel-hotel ditimbulkan oleh beliau.

Aku tiada masalah dengan tanda halal ini tapi aku ada kemushkilan tersendiri. Pertamanya status halal itu sendiri. Seperti yang aku bangkitkan di blog berteromber apa definasi status halal itu sendiri? Adakah makanan yang tidak bercampur / dimasak menggunakan barang2 haram (daging babi, arak, ayam tak disembelih)? Bagaimana pulak dengan status dapur2 restoran yang tak apply sijil halal TAPI memang ternyata semua sumber mereka halal, sebagai contoh restoran makanan arab, restoran melayu, cina muslim, mamak (mamak semestinya muslim, tiada istilah mamak hindu), dan tomyam? Bagaimana pula dengan status halal yang dah "expired", adakah makanan tersebut bertukar menjadi haram? Kerana lawan halal dah tentu haram kan?

Yang aku baca dalam akhbar-akhbar arus perdana satu waktu dulu hanya JAKIM dan JAIN sahaja yang diberi tauliah dan kuasa untuk mengeluarkan sijil halal. Macamana pula dengan rangkaian restoran makanan segera yang "menjamin" status halal produk mereka dengan mengatakan mereka mempunyai panel syariah yang tersendiri? Tak kisah la samada bekas mufti pun yang duduk dalam panel syariah tu tapi adakah mereka diiktiraf oleh pihak berkuasa?

Satu lagi yang aku perhatikan, yang ditekankan oleh pihak berkuasa untuk mendapatkan sijil halal ini adalah dapur tidak bercampur daging halal & haram dan tiada penggunaan perasa yang mengandungi alkohol. Bagaimana dengan status tukang masak? Bukan nak membangkitkan isu agama tapi apa status kita memakan masakan dari bukan orang islam? Adakah agama membenarkan?

Sikit waktu dahulu kecoh serbuan demi serbuan oleh pihak berkuasa ke atas makanan yang diragui status halal. Dalam senarai ini termasuklah kue tiaw, mi kuning, bebola ikan, daging kisar, daging ayam, belacan, kicap dan pelbagai bahan makanan. Persoalan aku adakah isu ini masih dipantau atau sekadar bermusim? Lagi-lagi sekarang ni pihak berkuasa sedang sibuk memantau hotel-hotel yang menyediakan bufet berbuka puasa. Bagaimana pula dengan rakyat biasa yang tak mampu pergi ke hotel dan hanya memasak untuk makan. Adakah bahan masakan mereka terjamin halal?

Yang aku terasa kelakar tentang isu ini, penganut islam di Malaysia dah jadi seperti merantau di Hong Kong atau ke negara-negara bukan islam. Kini kita yang terpaksa memastikan bahawa sesebuah restoran / hotel perlu ada tanda halal baru kita boleh makan tanpa was-was. Sedangkan seperti yang semua sedia maklum, Malaysia ini adalah sebuah negara islam Sudah tentu semua benda di dalam negara ini sepatutnya HALAL kecuali diberitahu (diletakkan tanda HARAM). Sebagai contoh, perlukan kita berasa ragu-ragu untuk masuk makan di restoran di negara-negara arab misalnya? Melalui pembacaan aku, kedai-kedai makan di Australia yang halal memang meletakkan tanda halal di pintu kedai mereka TAPI itu kerana Australia bukan negara islam dan natural mereka yang memang makan benda yang haram bagi umat islam.

Yang terakhir aku nak sentuh ialah berapa ramai la anggota penguatkuasa yang pihak berkuasa kita ada untuk memantau 1Malaysia punya makanan ni? Ke akhirnya jadi macam kes cetak rompak jugak? Cetak rompak kalau operasi bermusim takpe jugak pasal benda tu hanya makanan batin (hahaha) tapi kes barang-barang makan ni kalau buat bermusim..kejap halal kejap haram..macam mana tu?

Kalau dah nama 1Malaysia ni negara islam, rakyat majoriti penganut islam dan ketua negara juga adalah ketua agama islam, kenapa tidak diwajibkan saja SEMUA hotel, restoran, gerai dan semua barang makan mengambil sijil halal? Atau kalau nak mudah, keluarkan satu pekeliling yang mengatakan bahawa SEMUA makanan di dalam 1Malaysia adalah HALAL kecuali yang mempunyai tanda atau label HARAM. Dah tentu senang orang nak pilih bukan?

Khamis, 15 Julai 2010

Balada Pemuzik Tempatan...Bahagian Kedua

"Suasana di Malaysia emangnya berlainan dari di Jakarta. Di sana kami pentingkan sistem bunyi dahulu. Pentas dan lain-lain jatuh nombor dua yang penting soundnya wajib ngetop" Pipin Iskandar.

Dialog di atas adalah petikan perbualan (melalui private messsage @ fb) antara aku dan salah seorang tenaga kerja yang diimport dari seberang usai konsert Double Trouble di Bukit Kiara. Beliau ialah orang yang menjaga sistem lampuan ketika konsert tersebut dan juga sistem lampuan ketika konsert "Di Awan Biru" tahun lepas. Untuk makluman, jurutera bunyi juga didatangkan khas dari seberang dan merupakan rakan sepasukan beliau di sana (Indonesia).

Kenapa aku membangkitkan dialog ni? Seperti yang kita semua maklum taraf persembahan langsung di negara ini terutamanya yang melibatkan artis tempatan sememangnya mendukacitakan. Persembahan langsung yang dimaksudkan bukanlah semata-mata melibatkan artis itu sendiri (tapi memang ada artis yang hancur juga persembahannya) tetapi produksi untuk persembahan tersebut. Kerapkali faktor kewangan dijadikan alasan mengapa sesuatu persembahan tersebut gagal mencapai taraf yang memuaskan.

Aku pernah bertekak dengan seorang anonymous dalam sebuah blog pasal kualiti sound konsert di Malaysia. Si anon secara terus menempelak mengatakan peralatan yang ada di Malaysia tak cukup bagus (out to date) berdasarkan pengalaman beliau lepak2 dengan soound engineer Korn ketika konsert mereka satu ketika dahulu.

Aku kurang setuju dengan pandangan anon tersebut. AKu rasa peralatan yang kita ada sudah lebih dari cukup untuk penganjuran sesebuah konsert berskala besar. Yang menjadi masalah pada aku adalah sikap orang yang terlibat secara langsung dalam perjalanan sesebuah konsert. Aku ada di Cyberjaya ketika Toto datang untuk jelajah "Falling In Between" pada 2007. Ketika borak-borak dengan salah seorang krew konsert, aku diberitahu yang sistem bunyi yang digunakan bernilai kira-kira RM 20,000.00. Dan sound Toto malam tu tersangatlah superb! Jadi apa yang menghalang konsert-konsert artis tempatan untuk mencapai taraf macam Toto?

Realitinya produksi di Malaysia pada aku masih belum mencapai tahap seperti di luar negara. Antara sebabnya ialah kita tiada produksi yang terlibat secara sepenuh masa untuk konsert berbanding luar negara. Mungkin faktor kekerapan konsert boleh diambil kira tetapi sepatutnya kita sudahpun ada perancangan untuk mengatasinya. Faktor "nak untung lebih" pun aku lihat terlibat secara tak langsung dalam permasalahan ini. Seperti yang semua tahu (kepada sesiapa yang pergi la) ketika konsert Double Trouble @ Bukit Kiara tempoh hari, sound yang terhasil seperti ada kasta. Ada tempat yang sedap dan ada tempat yang jahanam terutama di hujung-hujung indoor arena. Sebabnya? Tiada delay speaker untuk menampung bunyi yang keluar dari speaker utama. Akibatnya bunyi bergaung yang didengari kepada yang duduk di hujung arena.

Lagi satu yang aku rasa tak patut ialah pentas yang berlebih-lebihan. Kalau kita rajin tengok konsert-konsert rock luar negara, reka corak pentas adakalanya simple je. Setakat ada platform untuk gitaris dan penyanyi berlari tanpa mengunakan lampuan atau bunga api yang menyemak mata. Tapi di sini yang dijadikan keutamaan adalah pentas. Dengan set yang terlampau canggih sampai mengenepikan bajet untuk sistem bunyi. Akhirnya hasil yang dapat adalah gambar artis yang cantik di atas pentas tapi sound system hancur!

Pada aku pentas yang gah dengan efek-efek yang canggih berguna kalau konsert tu konsert artis yang berkonsep. Macam Pink Floyd atau Radiohead. Penonton yang datang memang nak tengok magis mereka ketika membuat persembahan. Tapi kalau setakat rock n roll band punya konsert, memadai sebenarnya pentas yang simple tapi sistem bunyi yang canggih yang sepatutnya diberi keutamaan. Yang lebih mengharukan artis yang akan dipersalahkan kalau sound system hancus padahal dorang pun dapat bayaran lumpsum daripada pihak penganjur. Apa cerita?

Rasanya panjang lagi kalau aku nak cerita mengenai produksi konsert di sini. Memadai kalau aku buat kesimpulan bahawa selagi tiada keikhlasan hati untuk menganjurkan sesuatu konsert dan sikap untung lebih masih wujud, maka tahap konsert di Malaysia akan tetap pada takuk tersebut dan yang paling sedih, artis jugalah yang akan dapat nama busuk seolah mereka yang menganjurkan konsert tersebut.

Selasa, 6 Julai 2010

Cahaya Di Ufuk Timur...

Sehari dua ni aku rajin mendownload lagu-lagu nasyid klasik. Klasik maksud aku bukanlah zaman-zaman Orkes El-Soraya tu semua, tapi lebih kepada nasyid di zaman kegemilangan Al-Arqam dulu. Korang ingat lagi tak dengan Al-Arqam? Satu pergerakan yang telah diharamkan pada tahun 1993-94 dulu.

Pergerakan ni mengambil nama sempena nama sahabat nabi muhammad (saw), Al-Arqam bin Abi Arqam yang mula-mula memberi rumahnya untuk digunakan oleh baginda ketika episod pertama dakwah baginda secara senyap-senyap selama 3 tahun di Mekah. Ok, cukup tentang sejarah. Sila google sendiri ataupun cari buku-buku sirah nabi di kedai-kedai buku untuk sambungan ye..

Aku dan pergerakan ni sebetulnya agak dekat. Ini berkait dengan saat-saat terakhir sebelum pergerakan ni diharamkan. Ketika itu aku bersekolah di Kajang,sebetulnya sebelah masjid Kajang. Tiap kali hari jumaat mesti akan ada seorang peniaga air soya yang datang dari pergerakan al-arqam ni. Dengan berjubah hijau dan bercelak, aku suka betul bila brader ni berniaga. Satu pasal soya dia sangat sedap. Terasa balance je rasa soya & gula bila layan soya dia. Satu lagi pasal brader ni tak berkira. Di zaman yang air bungkus ketika tu berharga RM 0.50, kalau aku tak cukup duit memang selalu brader tu kasi aku beli air dengan harga RM 0.20 atau RM 0.30. Pergh..mana nak carik kan? Kat kantin sekolah pun tak boleh dapat harga macam tu..hehehe.


Zaman-zaman ni jugak aku tengah galak dengar nasyid-nasyid Arqam. Masa ni kaset yang paling top masa tu bertajuk "Cahaya Di Ufuk Timur" oleh Nadamurni. Aku tak sempat beli kaset ni. Cuma sempat beli kaset "Malaysia Indah" dan kompilasi "Kemeriahan Di Aidilfitri". Nadamurni ni adalah salah satu cabang kumpulan nasyid di bawah Al-Arqam ni. Ada lagi dua kumpulan iaitu Soutus Safwa (untuk kanak-kanak) dan The Zikr.

Pecahan dari Nadamurni setelah pengharaman Al-Arqam lah yang menghasilkan Rabbani dan Hijjaz. Jadi Nadamurni ni dulu memang kumpulan nasyid yang paling otai la. Bayangkan je la dia punya lead vocal arwah Asri & Muniff. Memang bersahut-sahut kalau part tarik tu. Siap dengan lenggok lagi. Manakala The Zikr pasca pengharaman Al-Arqam telah bertukar menjadi Raihan yang kita kenali sekarang dengan lead vokal oleh Nazrey (sekarang dia dah jadi artis solo).

Nostalgianya nasyid lama-lama ni pada aku ialah kerana alatan muzik yang digunakan terlalu asas tapi sedap. Tak perlu guna loop, bass, guitar, drum dan sebagainya. Hanya gunakan gendang, dhabooka dan kengkadang djembe dan tamborine je. Tapi tetap sedap lagu-lagu tu. Memang ada dua-tiga lagu (dan mungkin lebih) yang agak keterlaluan sesatnya memuji abuya sebagai pemimpin bani tamim tapi itu tak menghalang aku untuk enjoy banyak lagi lagu-lagu dorang ni.


Daripada pengaruh dorang ni jugak lah semua sekolah agama masa tu berlumba-lumba nak wujudkan kumpulan nasyid. Ada yang berjaya dan seterusnya terkenal seperti SMKA Maahad Hamidiah yang mewujudkan Mirwana dan pecahan dari Mirwana (1st batch) inilah yang menghasilkan Brothers yang diketuai oleh Yassin. Juga SMAP Kajang yang terkenal dengan All 4 Ummah dan serpihan dari All 4 Ummah ni pula menjadi Saujana (sekolah aku ni..hahaha).

Kalau mengikut arus muzik perdana, jualan album tertinggi dicapai oleh kumpulan Raihan denagn album Puji-Pujian bukan? Dengan jualan mencapai 500,000 unit. Tapi kalau diambil kira dari zaman Al-Arqam ni, jualan album tertinggi dipegang oleh kumpulan Nadamurni dengan album Asma'ul-Husna yang mencatat jualan sebanyak 1 juta unit. Method jualan album-album nasyid dulu ni senang je. Pergi sahaja ke kedai-kedai yang menjual buku-buku agama, alatan ibadah ataupun kedai-kedai OVA (Odio Video Arqam) maka disitu hampir semua album nasyid ni dijual. Method yang boleh ditiru rasanya oleh pihak-pihak bertanggungjawab untuk memasarkan album tempatan iaitu menjualnya ditempat yang senang untuk di akses. Dahulu antar punca jualan album tempatan tinggi adalah kerana peniaga pasar malam dibenarkan untuk menjual album original artis tempatan. Tapi selepas kebenaran ditarik balik, tengok apa sudah jadi?

Jadi kepada sesiapa yang nak mendownload nasuid-nasyid klasik ni, sila klik sini. Mamat ni dah siap-siap convert hampir semua stok nasyid dia jadi mp3..hehehe




Rabu, 23 Jun 2010

Wreck In Pieces...1895 - 2010


(kredit gambar: phil.my)


Entri aku untuk kali ini terinspirasi daripada gambar-gambar yang aku lihat di dalam fb salah sorang contact aku semalam. Tapi sayangnya pasal aku taip entri ni di opis yang mem"block" hampir kesemua nikmat duniawi berinternet, maka tak dapat aku nak letak link fb tersebut.

"People who forget their history are people with no future"

Quote keramat dari bekas pengurus Liverpool, Rafa Benitez (cerita lain). Quote yang sama jugak yang diucapkan oleh ramai orang-orang terkenal tika aku google di internet (sila google sendiri ya).

Apa nostalgia aku bersama Penjara Pudu? Aku tiada sesiapa dari kalangan ahli keluarga atau kalangan yang aku kenal yang pernah menghuni tempat tersebut. Tapi aku ada nostalgia ketika kecil dimana tiap kali arwah ayahku membawa kami sekeluarga bertandang ke rumah Pak Lang aku yang terletak di kuarters Balai Polis Cheras KL, masa hendak pulang ke rumah mesti kami sekeluarga akan tersangkut di trafic light Jalan Hang Tuah. Dan memang kebiasaan aku akan berkhayal sambil memandang tembok penjara tersebut yang dipenuhi lukisan permandangan (pada masa tu aku terlalu kecil untuk tahu makna "mural" atau "lukisan terpanjang di dunia)

Lagi sekali aku tekankan, aku tiada siapa yang pernah menghuni Penjara Pudu atau pernah kenal dengan sesiapa yang menghuni penjara tersebut (baik atas kuota penjenayah mahupun pekerja) tapi bilamana pengumuman dari kerajaan untuk meruntuhkan penjara tersebut atas alasan pembangunan, hati aku terusik. Tak tahu macamana nak terangkan perasaan tersebut tapi aku memang tak boleh terima alasan "pembangunan" untuk menghalalkan kemusnahan. Lagi pula benda yang mahu dimusnahkan itu telah berusia ratusan tahun.

Memang ada kenyataan dari Timbalan Menteri yang menyatakan bahawa Penjara Pudu kurang nilai sejarah dan kerajaan takkan mewartakan kawasan tersebut sebagai tapak warisan tapi ingin aku sebagai rakyat Malaysia bertanya apa yang YB tahu pasal sejarah? Apa kriteria yang diperlukan untuk menjadikan sesebuah kawasan itu sebagai tapak warisan? Adakah hanya rumah kelahiran Perdana Menteri sahaja yang boleh dipulihara? Macamana aku nak tunjuk dekat bakal anak aku nanti letaknya penjara yang pernah memenjarakan penjenayah paling tersohor negara, Botak Chin?

Kalaulah ada kumpulan muzik di luar sana yang mendapat inspirasi dari kejadian ini sepertimana Roger Waters & Pink Floyd dengan The Wall. BrainJelly mungkin?

Isnin, 14 Jun 2010

Syair Melayu gaya Art Fazil...Satu Ulasan


Setelah melalui kepenatan konsert DT (Darul Takzim?) di stadium Larkin dan tugas-tugas duniawi akhirnya baru datang mood nak update blog balik. Nampaknya penulisan entry lepas mendapat pandangan yang kurang menarik ye? hahaha. Baru berjinak-jinak nak tulis macam awek-awek. Nampaknya terpaksa menjadi abang besar semula..hahaha

Nak tulis pasal konsert DT itu hari rasanya Deaf dan Berteromber dah ulas dalam blog dorang. Lagipun dorang punya ulasan aku rasa lebih tepat pasal dorang tumpu 100% tengok konsert dan duduk berhampiran dengan pentas sedangkan aku banyak mundar-mandir di belakang (booth sayap-sayap wings) sambil bersosial dengan member-member yang jaga booth..hehehe. Cuma aku pelik masih ada lagi manusia yang susah nak guna otak kalau nak buat keputusan. Apa kejadahnya tak boleh gunakan "Double Trouble" sampai terpaksa diganti dengan "DT"? Apa yang ada dalam kepala otak mereka yang memegang kuasa ni? hmm..

Aku terpanggil nak review satu album yang aku baru beli 2 minggu lepas (balik dari konsert DT) setelah terbaca review dalam satu paper melayu ni. Dan aku rasa pembelian cd ni antara pembelian yang berbaloi-baloi pada aku.

Bila kali terakhir korang rasa seronok dan tersenyum sendiri lepas dengar sesebuah cd / kaset untuk kali pertama? Aku tak malu nak mengaku yang aku memang tersenyum sendiri sambil menerawang kembali zaman-zaman kecik dulu. CD yang aku maksudkan ialah Art Fazil - Syair Melayu.


CD ni adalah rilisan terbaru dari Art Fazil. Pada yang kurang kenal beliau ialah seorang penyanyi lagu-lagu "folk" dari Singapura yang sekarang menjadikan London sebagai rumah kedua. Beliau juga adalah bekas anggota kumpulan "Rausyanfikir" yang juga memperjuangkan irama "folk" satu ketika dulu yang top dengan lagu "fikir-fikir" dan "satu suara".


Album beliau ni walaupun bertajuk syair melayu tetapi tidaklah sepenuhnya menggambarkan syair dalam rupa bentuk sebenar. Album ini mengandungi lagu-lagu rakyat yang dinyanyikan semula dan diberi nafas tersendiri oleh Art Fazil. Dari lagu Bangau Oh Bangau sampailah ke Rasa Sayang album ni memang menjentik nostalgia yang tersendiri kepada aku. Satu pertanyaan: Bila kali terakhir korang boleh tengok / dengar kanak-kanak main kejar-kejar atau main enjit semut? Kali terakhir aku rasanya masa aku sekolah rendah kot. Budak-budak sekarang? Aku rasa dorang lagi kenal lagu Mawi dan boleh sing-a-long sekali dari lagu Air Pasang pagi.

Objektif pengeluaran album ni seperti kata Art fazil dalam temubual dengan wartawan adalah untuk memastikan lagu-lagu rakyat ini tidak berkubur disamping membolehkan kanak-kanak zaman sekarang menyanyikan lagu yang sesuai utuk mereka. Tak la nanti kita tengok budak-budak ni asyik nak nyanyi lagu-lagu Misha Omar atau Dia Fadilla padahal baru masuk darjah 2. Memang 100% aku bersetuju dengan beliau.

Susunan lagu dalam album ni banyak menggunakan peralatan muzik tradisional seperti Bedok, Gendang Sunda, Djembe, Rebana, Kompang, Marakas dan sebagainya (kalau tak kenal sila google sendiri ya?). Tak silap aku satu ketika dulu penyanyi Malaysia Zainal Abidin (ex-headwind) pernah juga merakamkan lagu kanak-kanak ni. Tapi aku tak tertangkap dengan irama yang beliau cuba bawakkan kerana muzik semua dimodernkan. Dah tak rasa aura tradisional lagi. Tapi Art Fazil pada aku berjaya mengembalikan mood tradisional kedalam lagu ni dengan cara yang tersendiri. Dah la suara dia pun macam "kena" dengan semua lagu..

Komen kawan aku, Zul Gambus (ahli Dewangga Sakti) Art Fazil berjaya membawa mood tradisional kedalam lagu-lagu beliau ialah kerana beliau pernah merasai kehilangan budaya melayu itu sendiri (masih ingat tragedi Istana Kampung Gelam?) dan beliau terpaksa berjuang untuk memartabatkan budaya melayu beliau dan berjaya! Tersentak juga la aku dengan komen kawan aku ni dan terpikir takkan la artis Malaysia terpaksa mengalami seperti apa yang Art Fazil rasa baru mereka semua terhegeh-hegeh nak angkat balik budaya dan irama tradisional? Memang kita ada Pak Ngah dan barisan anak didik beliau seperti Siti Nurhaliza dan err...siapa lagi ek? tapi aku tak rasa ianya mencukupi. Masih banyak irama melayu yang belum digali dan ditonjolkan lagi. Mungkin ada antara kita yang tak tau apa beza nazam dan berendoi. Apa beza inang dan zapin dan apa pula irama masri dan ghazal. Shah Rukh Khan berlakon kat Melaka dapat Dato' tapi allahyarham Fadzil Ahmad yang memperjuangkan irama ghazal sampai beliau meninggal dunia dapat a.m.n je?


Aku cadangkan korang carik album ni dan dengar sendiri. Mungkin korang akan dapat rasa perasaan apa yang aku rasa (tapi kalau tak dapat aku tak boleh nak kata apa). Dengan packaging yang pada aku menarik (inlay yang dibuat booklet dan dilekat pada casing) serta kata pengantar dari seorang Profesor Budaya Universiti Nanyang, Singapura sudah cukup membuktikan betapa istimewanya album ini. Cuma muka depan yang pada aku macam kulit vcd karaoke artis melayu je yang agak sikit spoil la. Apa-apa pun, korang cuba beli dan try dengar lagu-lagu dalam ni sambil korang bernostalgia zaman korang main enjit-enjit semut bawah pokok rambutan atuk nenek korang dengan sepupu-sepupu dulu.

Track list:

1. Kampung Pasir Berdengung (intro)

2. Bangau Oh Bangau

3. Air Pasang Pagi

4. Ikan Kekek

5. Lagu Tiga Kupang

6.Syair Hang Nadim (lagu baru)

7. Nenek Si Bongkok Tiga

8. Geylang Si Paku Geylang

9. Lompat Si Katak Lompat

10. Injit Injit Semut

11. Rasa Sayang


Isnin, 17 Mei 2010

RonnieJamesDio RestInPeace...

Rest In Peace Ronnie James Padavona (19420-2010) walaupun secara amnya memang tak "peace"...

Ahad, 16 Mei 2010

Guru..Oh..Guru..


Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang, 1979

Kepada semua guru-guru di seluruh Malaysia (terutama yang terbaca blog ni) Selamat Hari Guru kepada anda semua. Satu jawatan yang orang akan panggil walaupun dah berpuluh tahun korang bersara...cikgu! Terima kasih cikgu!




Selasa, 20 April 2010

Selamat Datang PilihanRaya!

Apabila duit peruntukan turun mencurah
seperti musim monsun di Kelantan..
Apabila maruah disingkap umpama
menyelak kain pelacur di lorong "lampu merah"..
Apabila kerajaan dan parti pemerintah disamakan
umpama minyak lenga dan minyak bijan..
Apabila berduyun-duyun pembesar negeri
memenuhi kawasan-kawasan pedalaman..
Apabila rumah-rumah sewa dan hotel-hotel kawasan sekitar
mengeluarkan notis "fully booked"..
Apabila sepanduk-sepanduk dan kertas-kertas
bertaburan di simpang-simpang jalan..
Apabila yang miskin tiba-tiba
menjadi mewah seketika..
Apabila si papa mendapat pembelaan
dalam sekelip mata..
Apabila yang merempat dikurniakan
tanah barang sekangkang kera..
Maka...
Ucapkanlah Selamat Datang kepada Pilihan Raya!
Menjadi rahmat pada masyarakat desa..
Menjadi duka pada keluarga bekas Ketua..
Kerana tanah kubur masih merah
tetapi orang semua sudah ghairah..
Peramal dan pelobi semuanya "busy body"..
Semua kerana 1Undi!

Rabu, 14 April 2010

Patah yang tumbuh, hilang yang berganti...

"Hari minggu yang lalu, bawa awek tengok citer hantu"..hahaha. Saja nak nyanyi lagu Senario sebagai intro entry ni. Tapi memang ada kaitan pun dengan hujung minggu aku yang lepas..

Aku pernah cerita dulu dalam entry yang lepas-lepas pasal "bini" no. 2 kesayangan aku telah dirampok dan "bini" 1st aku dicederakan. Sejak dari hari tu, secara tak langsung telah menimbulkan azam baru pada aku untuk mencari pengganti "bini" no. 2 aku tu. Yelah..nak berkabung lama-lama pun tak guna juga..

Jadi aku telah membuat satu perjalanan "24jam" bermula dari jumaat lepas ke Temasek. Tujuan utama memang untuk melamar tuan puteri Sterling yang diam di Serangoon. Nak kata perjalanan ke sana tu takde la mencabar sangat. Paling2 idak pun halangan dari hulubalang kastam Tanah Melayu & Temasek di pintu masuk Tuas. Berjaya jejak kaki di tanah besar yang pernah dijejaki oleh Parameswara ni tepat jam 6.30am. Tempat landing, Jalan Sultan (Beach road). Sempat jugak bas aku tu lalu tepi kasino baru yang tengah buat kat tepi laut tu. Tempat yang bakal penuh dengan orang melayu dari tanah melayu (pasal kat puncak Gunung Ulu Kali tu orang melayu tak boleh masuk kan? hehehe).

Setelah diajar cara-cara menggunakan perkhidmatan awam oleh Otai Besar Yishun, Deaf dan dibawa sarapan kat area 24 jam Mall Mustafa (sempat lagi beli dvd Ketika Cinta Bertasbih. Harga masa Pesta Buku itu ari sampai RM 50 sekeping. Bapak mahal), terus aku ke istana hinggap tuan puteri di Serangoon dan mengadap Maharaja untuk tujuan merisik dan berbincang wang hantaran. Kat sini ada sorang lagi Otai Besar yang bawak aku mengadap maharaja. Otai Besar Woodlands, Royhan (dia takde blog la pulak). Kalau harap aku sorang silap2 sampai ke Batam aku..hahaha.

Selesai urusan wang hantaran akhirnya tuan puteri selamat dalam dakapan. Otai Besar Woodlands kemudian bawak aku pergi Mall Peninsular pulak. Katanya mall ni banyak kedai-kedai barang muzik dan harga dia pun boleh tahan murah (serius dah tukar matawang tanah melayu pun masih murah). Sempat aku beli strap & strap lock untuk tuan puteri aku ni..hehehe. Dari Peninsular kemudian kami terus ke Jalan Sultan (Beach road) untuk santapan tengahari aka beli tiket bas.

Jam 1.30pm aku dah ada dalam bas bersama-sama tuan puteri dan bersedia meninggalkan Temasek. Memang terlepek aku dalam bas. Dengan tak mandi dari malam, badan pulak berlengas satu macam. Tapi aku puas. Akhirnya tuan puteri sudah dalam genggaman..hahaha. Pukul 8.15pm aku dah sampai Puduraya setelah sangkut hampir sejam kat Sg. Besi angkara hulubalang-hulubalang Jang yang mengamuk nak masuk stadium (malam final Piala F.A daaa).

So sekarang masa untuk melihat samada tuan puteri punya performance boleh menandingi bekas bini no. 2 dulu..huhuhu. Khamis malam ni dan sabtu malam ni bakal menjawab segala pertanyaan..hahaha

Specs tuan puteri Sterling:

Swamp Ash Body
Maple neck
Rosewood fingerboard on BK and HB finishes and Maple fingerboard on NAT finish
21 frets
6 Bolt Music Man Designed Neck Joint
Music Man® Designed Humbucking Pickup
Music Man Designed 3 band Active Preamp
3 Way Switch for Series/Parallel combinations
Music Man® Designed Bridge w/ Stainless Steel Saddles
34" Scale
Open Gear Heavy Duty Tuners
Spoke Wheel Truss Rod Adjustment
Heavy Duty Gig Bag Included
Ernie Ball Bass Strings: .045, .065, .080, .100, .130
Nut Width: 45mm (1.77")
Natural, Black, Honeyburst

Nak tengok gambar,

Selasa, 13 April 2010

Karut & serabut

Jemu pulak rasanya bila asyik menulis pasal konsert Double Trouble ni. Tapi bila nak menulis pasal benda lain, tak tau pulak apa yang nak ditulis.

Nak cerita pasal aku layan Mat Som kat Colliseum bulan lepas? Berapa kerat je yang masih ingat cerita arahan Dr. Hatta Azad Khan yang menampilkan Imuda sebagai Mat Som tu kan? Aku sendiri cuma harapkan novel grafik dari Dato' Lat yang menjadi sumber adaptasi filem ni yang boleh mengingatkan aku akan dialog-dialog dan babak-babak filem ni. Antara filem yang aku rasa kalau dibikin semula untuk masa kini, masih mampu melemparkan kritikan sosial yang masih relevan dengan zaman sekarang. Tapi apa orang peduli bukan? Kisah mat rempit / mat kereta turbo yang konon sudah insaf atau bagaimana seorang perempuan menjadi bohsia lebih dianggap sebuah modal cerita yang terbaik atas dasar "membawa mesej keinsafan kepada khalayak". Ada ke patut?

Nak cerita pasal aku berhabis kat PWTC masa Pesta Buku AntaraBangsa Kuala Lumpur tempoh hari? Orang lain pun baca dan beli buku juga. Silap-silap majalah pun ada. Padahal dari banyak-banyak buku yang aku berhabis tu, yang betul-betul khatam baru satu buku. Bidadari Paderi, sebuah fiksyen yang bersandarkan fakta sejarah penentangan kaum Paderi di Matur & Bonjol, dalam daerah Minangkabau yang menentang penjajahan Belanda. Karya penulis seberang, Saiful A. Imam terbitan PTS Litera pada aku antara buku-buku yang berjaya mengangkat tema fiksyen dan sejarah bersatu dalam sebuah buku. Tapi apa orang lain peduli kan? Cerita cengeh dan sedih-sedih kisah putus cinta masih menjadi pilihan penulis-penulis kita bukan? Ada ke patut?

Nak cerita pasal kemeriahan konsert Double Trouble ni? Lagi la merepek. Di saat terdengar suara-suara yang mempersoalkan mana bakat-bakat tempatan punya konsert, masih ada yang mengatakan harga tiket RM 70.00 tu sebagai mahal. Masih ada yang nak menagih tiket percuma, back stage pass dan sebagainya. Sedangkan band "purple" dari seberang yang juga akan mengadakan konsert pada hari yang sama (bukit yang berlainan) tak de siapa pula yang nak mempertikaikan tiket mahal. Padahal tiket VIP sampai RM 200! Ada ke patut?

Jadi sampai bila kita perlu nak menyalak pada perkara-perkara yang kita sendiri tak paham sebenarnya? Di saat slogan 1 Malaysia begitu sibuk dijaja, sekolah rendah pula ditukar nama dari SRK kepada SK. Saat aku bersekolah dulu, bukan satu taboo berkongsi tosai dengan kawan india, mengayuh basikal dengan kawan cina tapi sekarang perkara-perkara sebegitu sampaikan perlu disumbat melalui minda separa sedar kita pula. Setelah 53 tahun merdeka dan 6 Perdana Menteri melayu, kita masih berbicara tentang perpaduan antara kaum, perlukan Perkasa dan menyalak untuk ketuanan melayu...

Ada ke patut!

Isnin, 29 Mac 2010

Fikir-fikir..

..mengapa selepas 6 Perdana Menteri Melayu berkuasa kita masih juga terpaksa menjerit Melayu terancam? -A. Samad Said, Harakah 29/03/2010-

p/s: update stail sikit-sikit..sementara menunggu mood nak tulis panjang-panjang datang balik..hehehe

Khamis, 11 Mac 2010

Terbang bersama sayap illusi...



Mood aku hari ni tetiba mau layan mellow kan? huhuhu. Kasi layan lagu dulu. Nanti ada mood baru aku tulis panjang-panjang..hahaha

*Khas untuk Portdy...Mari terbang bersama Sayap Illusi...

p/s: Ada siapa-siapa perasan berita ni? yang ni plak versi PPSMI..huhuhu

Isnin, 1 Mac 2010

Pilihan bersama...

Sana-sini blog-blog yang aku baca penuh dengan carutan. Rasa marah dan panas menguasai seantero dunia blogger. Pelik gak aku, ingatkan dorang ni sedang merayakan sesuatu. Rupa-rupanya semua ni berasal dari kisah seorang budak perempuan yang kena dera sampai mati tu (aku yakin korang semua tau).

Seingat aku, lebih kurang 20 tahun yang lepas pernah terjadi kes yang sama. Yang aku ingat naka kanak-kanak malang tu Balasundram kalau aku tak silap. Ya, keturunan hindu. Ada jugak kes kanak-kanak perempuan melayu (aku lupa nama dia). Kemudian ada lagu yang di cipta khas yang dinyanyikan oleh gabungan artis-artis kita yang menentang penderaan kanak-kanak ni. Tajuk dia "Tangan Yang Menggapai".



Sekarang di zaman serba canggih ni, skrip yang sama kembali berulang. Kali ni jalan cerita dia lebih "daring". Dera depan orang ramai tapi takde sorang pun yang berani nak halang mamat tu belasah budak tu. Sungguh "penyayang" masyarakat kita sekarang ni kan?

Jadi aku dedikasikan lagu di bawah kepada "Abang Mat", Siti Nurhanim Aziz aka ibu simati dan juga kepada mereka-mereka yang boleh tengok je budak umur 3 tahun tu kena belasah dekat PADANG BOLA dengan ucapan "fuck you and your mother fucking mama..we're gonna kill all you mother fuckers..."

BARBARIK PENTAS KERAS – PENUTUP MELAZATKAN UNTUK TAHUN 2022

Ura-ura untuk mengadakan konsert ini sudahpun sampai ke telinga aku sejak sebelum PM DS Ismail Sabri umumkan negara memasuki fasa pra-pand...