Selasa, 2 Januari 2018

RESOLUSI BUKAN REVOLUSI 2018


Selamat Tahun Baru 2018! Entah kenapa sejak dari pertengahan tahun lepas, aku dapat semangat balik untuk menulis dekat blog ni. Tahniah kepada geng-geng lama yang tak pernah berhenti menulis. BERTEROMBER, PORTDY, DEAF, MUS KANDAR... Dahsyat betul komitmen korang. Salute!

Aku sekarang dalam proses nak mendokumentasi segala artikel yang pernah aku tulis untuk portal online. Semua yang pernah diterbitkan aku letakkan balik di sini supaya senang aku nak rujuk balik atau nak ambil untuk mana-mana terbitan buku kemudian hari. Juga sebagai back-up kot-kot portal tu tak bayar duit hosting ke apa ke, taklah artikel-artikel aku hilang dalam kegelapan internet. Eh!

Aku mulakan hantaran pertama untuk tahun 2018 ini dengan artikel pertama yang aku tulis untuk portal online Neon Berapi; juga menjadi artikel pertama yang 'merasmikan' laman web 'berapi' itu. Kehilangan paling besar aku rasakan untuk tahun 2017. Tak pernah aku rasa 'down' semacam ini bila dengar berita kematian rockers sebelum ini...


TIADA SIAPA YANG AKAN DAPAT MENYANYI SEPERTI KAU, CORNELL.

 (sumber gambar: Google)

Pengalaman pertama aku dengan Cornell dan rakan-rakan Taman Bunyi (Soundgarden) agak lewat, sekitar tahun 1996. Ketika itu sedang aku ralit menyelongkar almari seorang kawan di dorm, aku terpandang satu kulit kaset dengan bayang 4 orang berlatar belakang kuning seperti api. “Ah, kau tak dengar band-band macam ni,” kata kawan aku sebelum menutup almari beliau. Terus hilang cerita kaset tersebut. Itulah detik pertama aku dengan Down On The Upside

Selepas diberhentikan daripada UiTM dengan jayanya, aku mula menjual burger di bandar Klang. Lebih tepat, di Jalan Melayu (depan Medan Mara). Di sini aku mula diperkenalkan dengan lebih mendalam tentang ‘Seattle scene’ - Alice In Chains, Pearl Jam, Soundgarden, Temple Of The Dog, Nona tapes (rockumentary Alice In Chains), Bogey Deport (project band Jerry Cantrell), Stone Temple Pilot, Mad Season (project band Layne Staley), dan banyak lagi. Sengaja aku tidak masukkan Nirvana kerana…well, siapa tak kenal Nirvana kan?

Dalam waktu yang sama, aku diperkenalkan juga dengan Euphoria Morning. Satu karya agung, avant garde; album solo pertama Chris Cornell. Sebelum itu, Sunshower telah terlebih dahulu mengetuk pintu hati aku hinggakan aku letakkan vcd Great Expectations sebagai ‘VCD wajib milik’ hinggalah akhirnya kami dipertemukan di ‘pasar malam’ Uptown Damansara Utama (the original Uptown). Siapa boleh lupa babak ketika lagu ini keluar? Ah, Gwyneth Paltrow pujaan aku!

Euphoria Morning menjadi soundtrack hidup aku agak lama. Aku pernah memberi lagu dan lirik Preaching The End Of The World kepada crush aku waktu itu semata-mata kerana bait lirik ‘I'm 24, and I've got everything to live for, but I know now, that it wasn't meant to be.’ Tentulah akhirnya usaha itu menemukan kegagalan kerana selain alasan ‘tak faham’, crush aku juga rupanya sedang dalam persiapan untuk bertunang dan berkahwin pada waktu itu. Secara automatik, lagu ‘When I’m Down’ menjadi latar cerita.

Audioslave muncul ketika zaman aku masih seorang kutu dan penjual burger jalanan yang biasa-biasa di bandar Klang. Perasaan kali pertama mendengar gabungan RATM+Cornell itu seperti…pelik. Pelik kerana telinga sudah terbiasa dengan petikan sound berat Gibson SG Kim Thayil namun selain Show Me How To Live, Like A Stone dan I Am A Highway menjadi kegemaran aku dan juga menjadi mangsa rewind berkali-kali di radio gerai burger aku.

Zaman jamming aku juga dilatari dengan Chris Cornell dan Soundgarden. Kumpulan aku ketika itu seringkali memainkan Tighter & Tighter dan Blow The Outside World. Pernah juga cubaan untuk memainkan Fell On The Black Days dan Spoonman cumanya kami cepat tersedar akan kemampuan vokalis kami ketika itu sangatlah terhad walaupun beliau ketika itu mengamalkan petua Cornell yang kononnya memakan gula-gula Hacks hitam sebelum menyanyi dapat membantu menyanyikan lagu bernada tinggi. Agak mujarab sebenarnya petua itu. Aku sendiri pernah amalkan ketika sesi karaoke di Red Box. Memang menjadi!

Setelah itu agak lama juga aku terputus kepedulikan dengan Chris Cornell. Hinggalah pada suatu hari di laman web grunge.com ada menyiarkan ura-ura Soundgarden akan kembali membuat reunion. Aku masih skeptikal sampailah Telephantasm membuat kemunculan pada tahun 2010. Aku masih ingat inilah album pertama yang aku beli melalui Amazon.com dek kerana tak sabar menunggu tarikh ia dipasarkan di Malaysia. Walaupun agak kecewa kerana rupanya ini sebuah album kompilasi, tapi agak melegakan hati kerana ada satu rilisan baru Black Rain (unrelased version sebenarnya) dan juga special dvd yang disertakan bersama (aku beli yang special edition, memang dapat dvd).

Tayangan The Avengers membuatkan hati aku berbunga kembali. Sumpah aku tak tahupun yang Soundgarden terlibat dalam pembikinan lagu untuk filem ini. Biasalah, kalau menonton filem Marvel, pasti akan ada end credit scene. Sementara menunggu scene tersebut, tiba-tiba terdengar bunyi gitar umpama ‘seretan rantai besi’ atas jalan. Bunyi gitar yang sangat lama aku rindukan. Masuk pula suara ‘jantan’ Chris Cornell dan dentuman dram Matt Cameron dan dentingan bass Ben Sheppard, yeaaah! Soundgarden kembali! Buat pertama kalinya juga aku duduk dalam panggung sehingga layar menjadi gelap dek kerana menunggu sampai habis Live To Rise dimainkan.

King Animal muncul tak lama selepas The Avengers ditayangkan. Kali ini aku tak dapat nak beli special edition di Amazon kerana kadar tukaran mata wang yang makin merepek. Mendengar saja rilisan baharu ini, satu yang paling nyata - sudah kurang atau hampir tiada elemen ‘marah-marah’ seperti album mereka yang sebelum-sebelum ini. Mungkin mereka sudah bertemu dengan ‘Zen’ masing-masing. Album ini juga buat pertama kalinya menampilkan Dave Grohl sebagai pengarah untuk video klip By Crooked Steps.

Secara jujur, aku agak terkesan dengan kematian Cornell. Selain lagu-lagu beliau secara solo mahupun ketika bersama Soundgarden dan Audioslave menjadi latar hidup aku selama ini, aku juga sering merasakan yang beliau adalah seorang yang positif dalam hidup walaupun pernah melalui saat kematian kawan baik, Andrew Wood, Jeff Buckley mahupun ketka kes perceraian dengan Susan Silver. Siapa sangka yang beliau akan menulis lagu untuk filem Bond ‘Casino Royale’ yang pada aku lagu kedua dalam franchise filem Bond yang terbaik selepas Tomorrow Never Dies (TND). You Know My Name (YKMN) menjadi lagu Bond pertama yang dibikin secara up-tempo dan bukan seperti kebiasaan lagu tema Bond yang tipikal. Cuma suara serak-serak seksi Sheryl Crow yang meletakkan TND sedikit atas daripada YKMN dalam carta aku.

Kematian Cornell menjadikan cuma Mark Arm (Mudhoney) dan Eddie Vedder (Pearl Jam) sahaja ikon ‘Seattle sound’ era 90an yang tinggal. Menuruti jejak langkah Kurt Cobain (Nirvana), Layne Staley (Alice In Chains), Andrew Wood (Mother Love Bone), Shannon Hoon (Blind Melon), dan Scott Weiland (Stone Temple Pilot), Chris Cornell seharusnya diingati bukan sahaja sebagai salah seorang pelopor ‘Seattle sound’ malahan sebagai seorang penulis lirik yang sangat puitis (walaupun beliau sangat suka menggunakan perlambangan ‘ular’ dalam lagu-lagu Soundgarden) dan juga sebagai seorang penyanyi yang padu. Kematian Cornell juga memadamkan terus cita-cita aku untuk menonton persembahan Soundgarden secara langsung pasca reunion & King Animal.  

Damailah kau di sana Chris. Akhirnya permintaan kau ditunaikan jua walau dalam keadaan paksarela.

Please, mother of mercy take me from this place…
and the long winded curses keep here in my head
”  

Koleksi peribadi aku. 

5 ulasan:

berteromber berkata...

selamat tahun baru Zan...menarik artikel ni...tapi aku tak puas hati ni...mana ada lagu tema James Bond yang lebih baik dari A View To Kill dari Duran Duran dan The Living Daylights dari A-ha...hahaha...

zan berkata...

Berteromber...
Pilihan kau tu menunjukkan umur kau. Sorok sikit bro!
Kah kah kah! Mat diskang elektro rupanya...

Kaboi Tanduk berkata...

aku pun tak sangka ada lagu Soundgarden masa hujung cerita Avengers tu, memang terbaik feel dia.. dan kematian Chris Cornell pun tak sangka, kalau dengar lagu macam Dandelion (lagu untuk anak dia), memang menggambarkan dia seorang yang sangat positif

speedrider berkata...

Melekat nama kandaq la pulakkkkk. ahhahaha

deaf-angel berkata...

Terbaik Zan. Dari hati tulis ni mengimbau cerita zaman dulu...

BARBARIK PENTAS KERAS – PENUTUP MELAZATKAN UNTUK TAHUN 2022

Ura-ura untuk mengadakan konsert ini sudahpun sampai ke telinga aku sejak sebelum PM DS Ismail Sabri umumkan negara memasuki fasa pra-pand...