Poster kedua untuk acara ini. Aku suka design dia.
Aku
berjaya menewaskan penggera telefon aku pada pagi itu. Sesuatu yang sangat
‘rare’ sebenarnya dan sangat menyalahi rutin hari Sabtuku – bangun di awal
pagi. Sedar-sedar, aku sudah berada di Mamak Bucu di bawah bukit DBP sambil
menunggu pesanan roti canai empat segi 2 keping pada pukul 9.30 pagi. Tips
untuk korang mendapat roti canai yang sentiasa panas dan dibuat baru, pesanlah
roti canai empat segi. Kebanyakan mamak akan membuat roti canai berbentuk bulat
dan dimasukkan dalam bekas kedap udara. Akibatnya, roti canai yang tersimpan di
dalam bekas akan berkuap dan menjadi lembik kesan pemeluwapan udara panas yang
bertukar menjadi titik air dan seterusnya gugur membasahi roti canai yang diam
di dasar bekas. Tepung yang dibasahi air, tak sedap bukan?
Sepatutnya
acara forum/diskusi/perbincangan Magnum Opus: 40 tahun M. Nasir Dari Kembara ke
Solo ini bermula pada waktu petang. Tetapi secara kebetulan, syarikat
penerbitan aku juga mengadakan diskusi kecil-kecilan bertujuan mengira royalti
dan honorarium penulis kami dan juga
pembahagian ‘BRIM’ kepada ahli lembaga pengarah. Kah! Maka itulah sebabnya
kenapa seawal jam 9 pagi aku sudah tercantuk di kedai mamak ini sambil
melihat-lihat ‘drebar’ teksi dan abang polis minum pagi.
Usai
urusan syarikat penerbitan, aku bergegas ke MATIC melalui jalan Imbi seterusnya
jalan Tun Razak sebelum memasuki jalan Ampang. Jangan harap Waze nak tunjukkan
kau jalan-jalan ini. Sinaganaga selaku penumpang di sebelah yang menunjukkan
jalan-jalan yang boleh aku katakan ‘gilalah!’. Lalu belakang bangunan, lalu
jalan kecil...terus sampai ke jalan Ampang. Mati hidup balik aku takkan ingat
jalan yang ditunjuk. Oh, lupa aku katakan. Bekalan ‘bateri badan’ aku hanya
diisi dengan dua keping roti canai pagi tadi. Nak singgah makan kejap, jam
sudah menunjukkan pukul 2.15 petang. Tinggal 15 minit lagi sebelum acara
bermula!
Setibanya
aku di MATIC, kelihatan Ronasina yang kemas bertocang siap dengan bush jacket sedang berborak dengan
tetamu. Sesudah berjumpa Ishmael dan mendaftarkan diri (walaupun nama yang
tertera masih nama lama kelab) serta mengambil beg cenderamata, aku ke belakang
seketika untuk menyalakan rokok. Ronasina kemudiannya bergabung denganku
diikuti dengan Amin Iskandar, wartawan Malaysia Insight. Seir kemudian
menghampiri kami semata-mata untuk pow
rokok aku. Gila kau taknak kasi? Ex-editor ROTTW tu yang pow kau. Kalau dia tak pow
pun, aku akan offer juga dekat dia.
Perut sudah mula berSeloka Jegela Melayu. Tapi mengenangkan acara bakal
dimulakan, kutahankan saja, Jebat!
Dari kiri: Ronasina, M. Nasir, Hairul Anuar Harun & Seir Rashid
Aku
ditunjukkan tempat di barisan tepi hadapan di dalam dewan. Pergh! Kerusi ada
tag media! Demam ke apa Ishmael ni? Di sebelahku ada makwe lawa dengan kamera
tivi. Entah dari media mana, tak pula aku bertanya. Jam di telefon pintarku
sudah menunjukkan pukul 3.10 petang. Bayang M. Nasir masih belum kelihatan di
dalam dewan. Hmmm. Kalau aku tahu, baik aku minum kejap dekat kafe Matic tadi.
Argh!
'Gaduh' pusingan pertama!
Lebih
kurang pukul 3.30 petang, kelibat M. Nasir mula kelihatan dan memasuki dewan.
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh puan pengacara majlis diikuti
dengan bacaan doa. Panelis mula mengambil tempat di atas pentas. Selain Ronasina
sebagai moderator/pemudahcara, panelis lain ialah ‘bos’ Tempatan Fest dan juga
bekas editor majalah ROTTW, Seir Rashid, penulis lirik ‘Cindai’ dan ‘Hati Kama’,
Hairul Anuar Harun dan (Dato’) M. Nasir sendiri. Acara dijalankan secara format
3 pusingan di mana pusingan pertama membincangkan seputar album-album Kembara,
pusingan kedua membicarakan tentang album ‘Solo’ dan pusingan akhir adalah soalan
daripada penonton.
Seir
Rashid selaku panelis pertama banyak mengupas mengenai rekabentuk kulit album
dan juga sifat dan keunikan trio Kembara. Beliau sempat menamakan lagu
kegemaran beliau, Di Suatu Keramaian kerana menampilkan antara paduan suara
harmoni yang terbaik pernah dihasilkan Kembara. Beliau juga mengupas tentang
pengaruh Bob Dylan dan Bob Marley dalam lagu-lagu Kembara dan juga bagaimana
besarnya pengaruh S. Amin Shahab sehingga layak digelar sebagai ‘ahli keempat
Kembara’.
'Punca' aku tak sempat bertanyakan soalah. Kah!
Hairul
Anuar Harun yang baru saja menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana dengan
memilih S. Amin Shahab sebagai subjek kajian pula banyak mengupas daripada
aspek tema dan unsuru-unsur yang terdapat dalam setiap lirik-lirik lagu
Kembara. 64 lagu dengan 6 buah album sepanjang tahun 1981 hingga 1986, beliau
telah memecahkan lagu-lagu Kembara kepada 3 tema utama: sosio ekonomi,
kehidupan/pencarian dan cinta. Manakala unsur-unsur yang ketara dalam setiap
lagu-lagu Kembara pada pengamatan beliau adalah pencarian, puitis, kritikan
sosio ekonomi, pembangunan negara, marhain, alam & perlambangan serta
lokasi. Beliau juga sempat menimbulkan satu fakta di mana penubuhan Kembara
adalah pada tahun yang sama dengan perlantikan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana
Menteri Malaysia yang keempat – kaitannya dengan lirik-lirik Kembara yang
banyak menyentuh tentang pembangunan negara selain kritikan sosial dan juga
marhain.
M. Nasir banyak bercerita tentang pengaruh beliau ketika membesar sehinggalah
tertubuhnya Kembara. Juga tentang peluang yang diberikan oleh Eric Yeoh (kalau
aku tak silap dengar), orang yang bertanggungjawab membuka jalan kepada Kembara
untuk merakamkan album walaupun mereka membawakan genre muzik yang tidak
popular langsung pada ketika itu. Serta ‘persaingan’ dengan kumpulan Harmoni
(allahyarham Zubir Ali) yang keluar pada waktu dan ketika yang dekat dengan
Kembara dengan konsep yang lebih kurang sama. Beliau juga bercerita perihal mengenali
A. Ali sejak dari zaman A. Ali masih lagi anggota kumpulan Sweet Charity (A.
Ali pernah menjadi gitarist kumpulan Sweet Charity di awal penubuhan kumpulan
itu) dan mengenal S. Sahlan di sebuah kelab cina di Singapura. Gabungan suara
tinggi S. Sahlan, suara pertengahan A. Ali dan suara bass beliau ternyata
menjadi gabungan terbaik harmoni untuk diterapkan dalam setiap lagu-lagu
Kembara.
Paling kanan, Johan Haron. Presiden kSMN
Pusingan
kedua pula banyak berkisar mengenai album ‘Solo’. Tentang siapa pemuzik di
sebalik rakaman. Peranan Aziz Bakar yang membuka jalan kepada M. Nasir untuk
merakamkan album tersebut. Tentang pencarian makna ‘lagu melayu’ pada M. Nasir
hingga terciptanya lagu Mustika (M. Nasir mengatakan ‘lagu melayu’ dulu banyak
dipengaruhi hindustan dan Amerika Latin hinggakan tiada dasar jelas tentang
makna lagu melayu itu sendiri) dan juga rekabentuk kulit album yang dihasilkan
allahyarham Jalil Ngah. Ketiga-tiga panelis juga secara selamat barangkali
tidak menyentuh isu-isu sensitif sepanjang mereka berdiskusi. Takde apa yang
sensitif pun dalam tempoh sela masa album pertama Kembara hingga album ‘Solo’
kan?
Aku
tertarik dengan soalan dari Hairul Anuar Harun kepada M Nasir berkenaan
penciptaan lagu. Soalan beliau kenapa M. Nasir kurang menyanyikan lagu daripada
pencipta lain baik dalam album Kembara mahupun ‘Solo’. Jawapan M. Nasir secara
spontan pada ketika itu, “Beatles ada nyanyi lagu orang lain?” diikuti dengan
ketawa beliau sebelum menyambung percakapan. Padanya, beliau meletakkan diri
sebagai seorang pelukis ketika berkarya dalam album (M. Nasir juga adalah
lepasan diploma dari Akademi Seni Halus Nanyang di Singapura dalam jurusan
lukisan barat). Seseorang pelukis tak suka hasil lukisan beliau dicerobohi atau
dikacau pelukis lain. Ini membawa kepada persoalan yang tak sempat aku utarakan
di pusingan ketiga (kerana cuma dibuka untuk 3 orang penonton saja untuk
bertanyakan soalan) iaitu adakah selama ini beliau ‘mengacau’ karya-karya orang
lain dengan menghasilkan lagu dan lirik yang dinyanyikan oleh orang lain? Atau
beliau menggunakan orang lain sebagai ‘kanvas bergerak’ beliau untuk
menyampaikan lagu dan lirik yang beliau hasilkan kerana beliau tidak ‘mampu’
untuk menyempurnakan lukisan itu. Hinggakan di tahun 2017 ini beliau masih
‘mengganggu’ lukisan orang lain?
Baru nak naik syekh!
M. Nasir juga berkongsi artis-artis barat yang menjadi rujukan beliau dan juga peneman
beliau ketika kecil (abang beliau banyak menjadi penyumbang dengan membeli
rekod-rekod artis ini sebelum beliau mampu membeli sendiri). Selain Bob Dylan
dan Bob Marley, antara sumber beliau ketika kecil termasuklah Queen, Pink
Floyd, Crosby, Stills, Nash & Young (menjawab kenapa lagu-lagu kumpulan
Kembara kental dengan harmoni dan banyak berkisar tentang marhain), dan yang
menariknya, M. Nasir bercerita ketika orang lain sedang sibuk mendengar kumpulan-kumpulan
‘heavy rock’ seperti Deep Purple, abang beliau memperkenalkan beliau dengan Led
Zeppelin! Di akhir diskusi, Hairul Anuar Harun berharap agar penulisan lirik
dapat diterima masuk dan diiktiraf sebagai sastera. Tak kiralah sastera popular
atau perdana. Pada aku ini selaras dengan perubahan dunia yang sudah mula
menerima penulisan lirik sebagai ‘literature’ dengan pemilihan Bob Dylan
sebagai penerima anugerah Nobel pada tahun 2016 dalam kategori literature atau penulisan ini.
Bersama 'legenda' hidup, Foad Hassan (Mr. Barbarik, Srikandi Cintaku - M. Nasir dan banyak lagi lukisan beliau yang jadi cover album).
Acara
ditutup dengan persembahan oleh M. Nasir sendiri secara akustik ditemani Johan Haron,
presiden kelab Sahabat M. Nasir (kSMN) yang bermain cajon dan juga Yantoi,
bassist kumpulan Lefthanded. Lama betul tak tengok Yantoi beraksi. Persembahan
yang dijadualkan cuma 2 lagu tiba-tiba melarat sehingga menjadi 8 lagu. Terima
kasih kepada hujan lebat yang turun lewat petang Sabtu itu. Daripada Mustika, Kepadamu
Kekasih, Mentera Semerah Padi, Rajawali Terbang Tinggi...semua lagu turut
dinyanyikan bersama-sama oleh penonton yang hadir. Tiada masalah walaupun beliau lupa-lupa lirik pada beberapa bahagian lagu. Yang sengsara pada petang itu
sebenarnya perut aku! Dengan sejuk dewan dek penyaman udara, ditambah dengan
hujan yang melebat di luar, tahap kelaparan aku sudah di tahap maksimum.
Akhirnya selepas selesai lagu terakhir, aku terus bergegas ke Damansara Perdana
untuk makan dan seterusnya menunggu giliran untuk mnghabiskan malam minggu
bersama kutu-kutu Majlis Penonton Filem Suka-Suka Demaju (MAPSUJU).
Terima kasih dan tahniah
aku ucapkan kepada Ishmael M Sharif dan Johan Haron serta kSMN atas penganjuran
acara yang aku rasakan berjaya mencapai objektif dan juga atas jemputan yang diberikan.
Harapnya kalau ada Magnum Opus untuk kali kedua, jemputlah lagi ya?
1 ulasan:
Semua complete Zan, cuma foto roti canai 4 segi je takde.. terbaik.
Catat Ulasan