Rabu, 29 November 2017

KATHARSIS: PENYUCIAN JIWA DAN PENUTUP CERITA SEBUAH PENCARIAN...


Poster iklan jualan advance Katharsis dalam empat muka berbeza oleh Fenomena Music.

Dalam usia 19 tahun, aku telah menduduki 3 peperiksaan awam Malaysia (UPSR, PMR & SPM) dan 2 kali melangkah masuk ke UiTM (sebelum kemudiannya melangkah keluar di pertengahan jalan. Cerita lain). Begitulah kalau boleh aku bayangkan betapa panjangnya tempoh 19 tahun itu. Lama bukan? Dan apabila selepas 19 tahun album Bikin Wilayah di mana itulah kali terakhir gandingan Kid dan Din dalam satu album rakaman studio dikeluarkan, aku diserang perasaan gemuruh, cemas, panik, suka, gembira...entah hape-hape! Lain macam betul perasaan yang datang bila kali pertama mendengar single terbaru Search, Sidang Kangaroo melalui speaker ‘gigi biru’ Voombox aku. The Taib Brothers are back!

Aku mengulang dengar Katharsis, rilisan terkini dan mungkin terakhir Search ini berulang-ulang kali. Dalam kereta aku, dalam kereta mak aku, dengar guna earphone, dengar guna ‘built in’ speaker komputer pejabat, dengar guna speaker bluetooth Voombox Ongo...sebelum mengambil keputusan untuk menaip ulasan ini. Perlu ditekankan ini adalah ulasan peribadi aku. Mungkin pada korang yang membaca akan ada perbezaan pendapat...aku tak tahulah. Kalau tak setuju, tulislah ulasan korang sendiri. Lagipun, bukan korang yang kasi aku duit untuk beli CD pun. Kah!

Katharsis diiklankan sebagai album Search yang paling lama mengambil masa untuk dirakam, album yang paling mahal dibikin oleh Search dan juga menemukan kembali gandingan Search bersama penerbit ‘keramat’ mereka. Siapa lagi kalau bukan (Dato’) M. Nasir! Akirnya kita semua perlu menerima bahawa hanya M. Nasir yang sesuai dan memahami kumpulan Search dan Search memang perlukan M. Nasir. ‘Match Made In Heaven’ giteww! Bukan perkara yang negatif pun pada aku akan gandingan berbisa ini. Sejarah mereka sendiri telah membuktikan betapa gemilangnya mereka berdua ketika bergandingan. Hats off untuk duo ini!

Aku suka direction M. Nasir dalam Katharsis. Jelas dan memahami luar dalam karakter kumpulan ini. Hampir kesemua lagu yang dikreditkan atas nama beliau kedengaran sesuai dengan Search. Macam mengimbau balik album-album yang terdahulu pun ada. Kadang teringat Rampage ketika dengar lagu ini, kadang teringat Gema Di Timur Jauh ketika mendengar lagu itu. Ada juga terimbau sampai Fenomena ketika mendengar lagu yang lain (sengaja aku tak namakan lagu-lagu itu). Kumpulan Search sendiri menyumbang beberapa lagu dalam album ini. Acey (Nasir) ada dua lagu, Din ada satu lagu. Dan beberapa lagu lagi yang dikongsi kredit bersama dengan M. Nasir. Termasuklah lagu single mereka, Sidang Kangaroo.

Track pembukaan untuk album ni dimulakan dengan Gagalista, sebuah lagu oleh M. Nasir sementara lirik ditulis oleh Buddhi Hekayat. Tidak dapat tidak, apabila melihat akan tajuknya saja, terus aku teringatkan Hishamuddin Rais, susuk yang mempopularkan perkataan gagalis itu sendiri dengan senarai gagalis yang dikeluarkannya setiap tahun ketika tarikh ‘keramat’ 14 Februari. Kah kah kah! Penulis lirik ini pun tidak terkecuali pernah dimasukkan dalam senarai ‘Tukar Tiub’ ini namun dengan bergayanya keluar dari senarai pada tahun ini. Pada aku, lagu ini jatuh dalam kategori ‘ok’ untuk sebuah lagu pembuka album. Mungkin tak mencapai tahap epik seperti Pelesit Kota untuk album Langit dan Bumi, Melastik Ke Bintang untuk album Karisma  atau Neo Romantik untuk album Rampage, tapi taklah juga teruk. Masih wujud elemen ‘kejutan’ untuk sebuah lagu ‘pembuka tirai’ dengan penggunaan bunyian sampler. Dan aku boleh bayangkan raut muka ‘mengejek’ Amy ketika menyanyikan lagu ini terutama ketika menyebut perkataan ‘gagalis’ sambil menuding jari ke muka aku. Aduh! Pedih rasanya walaupun dengan hanya membayangkan!

Sidang Kangaroo menjadi track kedua dalam album ini setelah diangkat menjadi single. Lirik oleh Mael, mengambil latar sempena kejadian sebenar perbicaraan terpilih yang pernah terjadi di negara Australia hinggakan dunia menggelarkan perbicaraan tersebut sebagai ‘kangaroo court’. Macam ada persamaan pula dengan...ok tak. Terpulang pada tafsiran masing-masing. Cuma pada aku, lagu inilah yang membuatkan bulu roma aku meremang lagi-lagi bila part solo Kid. Cukup-cukup beliau membelasah tremolo bersama dengan wah pedal. Gila terubat rindu weh! Cumanya...lagu ini jugalah yang membuatkan aku akhirnya berhenti berharap kepada Amy. Dan menerima beliau sekarang seadanya. Dalam usia yang mencecah 60 tahun, pada aku tindakan beliau yang bersetuju untuk merakam album inipun sudah seribu kesyukuran. Tak adil pada aku untuk membandingkan suara beliau dalam album-album terdahulu. Sedangkan Gothik Malam Edan pun sudah berusia 11 tahun beb! Dan pada aku, satu perbandingan yang bebal kalau ada yang cuba membandingkan beliau dengan penyanyi luar negara seperti Steve Tyler atau Mick Jagger. Lain lifestyle weh, lain!

Aku tak bercadang nak ulas satu persatu lagu-lagu di dalam album ini. Korang kena beli dan rasai sendiri pengalaman ini. Kalau tak, sia-sia beb dorang bertapa sampai 700 jam dalam studio tu semata-mata untuk siapkan album ini. Nanti kalau tak buat album, korang juga yang keji kata album baru takde tapi sibuk nak buat konsert, kan? Biarlah aku ulas secara keseluruhan saja.

Dalam album ini, dimuatkan 10 buah lagu yang pecahannya adalah 5 lagu keras, 2 lagu berentak balada, dan 3 lagu moderate rock. Selain pencipta lagu, album ini juga menghimpunkan gabungan penulis lirik antara yang terbaik dalam Malaysia. Tolak tepi allahyarham Rosli Khamis dan allahyarham Zul Adnan Mohd Razali, mereka-mereka yang terlibat dalam penulisan lirik untuk Katharsis boleh dikatakan pelapis atau penyambung kepada dua nama besar tadi (selain senior kepada dua orang itu). Selain Buddhi Hekayat dan Ishmael MS, Ad Samad, Usop dan S Amin Shahab (Tuan Tulis) juga menyumbang kepada penulisan lirik dalam Katharsis. Buddhi Hekayat mempertaruhkan Gagalista, Nama Yang Kau Lupa, Sulalatus Salatin dan Embun. Usop pula menyumbangkan Mitos Atau Nyata. S Amin Shahab dengan Jubah Pengantin manakala Ad Samad dengan Henjut dan Bebas Liar. Manakala Ismael MS pula selain Sidang Kangaroo, turut menghasilkan Apologia. Track pilihan aku dalam album ini bersaing antara Jubah Pengantin dan juga Embun. Tapi akhirnya aku pilih Embun. Mungkin pasal Embun lebih menangkap hati berbanding Jubah Pengantin. Mitos atau Nyata juga punyai ‘vibe’ atau aura yang sama dengan dua lagu ini. Ah, sembang pasal aura pula.

Kidd masih mengingati 'abang' Yazit. Brotherhood never dies! 

Cumanya...aku kurang berkenan dengan bunyi ‘snare’ dalam album ini. Inilah masalahnya bila seseorang yang sangat berkaliber dan berkarisma tinggi meninggalkan sesebuah kumpulan. Aku masih merindui tone dan pukulan ‘abang’ aka Yazit. Bukan bermakna aku mengatakan Pae tidak cukup bagus untuk menggantikan abang tapi tone dan bunyi snare abang yang lebih aku dambakan. Fuh! Bahaya betul ayat! Kualiti rakaman dan adunan juga memuaskan. Tidaklah mencapai tahap terbaik tapi oklah. Aku masih berharap semoga suatu hari nanti kita mampu mencapai tahap kualiti adunan muzik dan rakaman seperti album Whitesnake – Forevermore sebagai contoh. Kasi sound betul-betul depan muka punya, tak kasi chan! Aku juga terasa sedikit kurang dengan lagu Henjut. Terasa vokal Amy macam terkebelakang. Mungkin disengajakan. Entah!

Part paling danger dalam album ini pada aku adalah 'trio' lagu 7 hingga 9. Inilah trio ‘membunuh’ pada aku. Bila mana masuk saja ke lagu ke 7, secara auto kepala aku akan masuk ke alam lain. Trio Jubah Pengantin - Apologia – Embun ini macam sengaja diletakkan berturutan dalam album ini. Tiga-tiga lagu ini pada aku seakan mengulang trend lagu-lagu Search yang kau tak boleh dengar sekali lalu saja. Berat betul tafsiran untuk ketiga-tiga lagu ini. Dan mungkin secara kebetulan, trio ini disusun seakan mengikut senioriti penulis lirik. Paling senior, senior, baru masuk senior. Walau dekat tahap manapun mereka, lirik yang mereka hasilkan sangat bagus dan superb. Paling penting, penuh dengan tafsiran yang mungkin hanya mereka sahaja yang boleh rungkaikan.    

Thanklist Din cuma secebis daripada lirik Apologia. Apa maknanya?

Walau apapun yang aku tulis, aku ‘paksa’ korang untuk beli sendiri fizikal album, cium inlay dia dan dengar sendiri melalui mini kompo atau set teater rumah korang. Lain beb feel dia kalau kau ikut aturan yang betul mendengar album baharu macam zaman budak-budak dulu. Cuba untuk tak skip atau pilih-pilih lagu untuk didengar. Paling penting, dengar sambil pegang inlay dan baca sekali lirik lagu. Baru feel dengar lagu tu 'sampai' dan boleh faham apa makna tersurat dan tersirat. Memang platform digital macam iTunes menjual album ini secara loose manakala Spotify pula membolehkan korang mendengar keseluruhan album secara percuma, tapi percayalah! Lain rasanya dengan mendengar melalui cara konvensional (melalui CD). Nasib baik album ini tak dikeluarkan dalam bentuk kaset, kan?

Secara keseluruhan aku nilaikan album Katharsis ini sebagai satu produk yang baik, meskipun bukanlah yang terbaik pernah Search hasilkan. Baik daripada segi penghasilan lagu, lirk, team produksi, inlay hinggalah ke pemasaran. Satu strategi yang sangat baik pada aku apabila mereka memilih untuk keluarkan 4 jenis kulit album (variant cover) dan warna CD bagi cetakan pertama album ini. Mereka melakukan homework dengan baik kerana amat mengenali latar belakang peminat-peminat mereka. Bagi yang tegar dan mampu, sudah tentu akan membeli keempat-empat jenis kulit album ini bukan? Bagi yang minat biasa-biasa atau kurang berkemampuan, sekeping pun sudah memadai. Tapi strategi ini satu pelan yang bagus untuk melonjakkan jualan CD dan tidak menghairankan sekiranya dalam jangka masa terdekat, Search akan mencapai tahap jualan Platinum (10,000 keping album) untuk Katharsis ini lebih cepat berbanding artis-artis lain. Dan sekiranya memang ditakdirkan ini adalah album terakhir daripada mereka, percayalah mereka telah melakukan satu perkara yang betul dengan menjadikan Katharsis ini penyucian jiwa dan juga penutup kepada Cinta Buatan Malaysia yang dibikin 32 tahun yang lalu.

“Bahagialah di manapun
Halalkan tiap yang menjadi kata-kataku
Bayang sendiri menjadi saksi
Tiada berkurang rasanya cinta
Meski selepas dunia tiada...”




      

5 ulasan:

MagnusCaleb berkata...

catatan likat mengalir lembut menuju hati, walaupun pada aku Ses patutnya patut menggarap karya tersendiri seperti Karisma dan terus berdiri tanpa M.(B)asir hehe :)

speedrider berkata...

Jangan risau pasal kaset. Nanti keluar vinyl 7 warna pelangi beserta cd made in semua negara pasti muncul. Tunggu.

deaf-angel berkata...

((((((standing ovation)))))))))))

Tahir Jaafar berkata...

Terima kasih.

Unknown berkata...

Kontol

BARBARIK PENTAS KERAS – PENUTUP MELAZATKAN UNTUK TAHUN 2022

Ura-ura untuk mengadakan konsert ini sudahpun sampai ke telinga aku sejak sebelum PM DS Ismail Sabri umumkan negara memasuki fasa pra-pand...