Hello bebeh! Dah tahun 2017, ada lagi ke orang kat sini? Takpelah. Sekali sekala masuk & update entry baru harapnya tidaklah menjadi kesalahan, ye tak?
Ok. Artikel ini aku tulis untuk sebuah laman web 'berapi'. Namun mungkin pasal dah lambat, nampak macam tak relevan pula untuk sesebuah portal. Jadi aku tampal kat sini saja untuk sesiapa yang sudi baca. Enjoy!
Sabtu itu boleh jadi antara
Sabtu yang langka pada saya. Bukan! Bukan kerana ia hari perkahwinan saya
(walaupun saya mengharapkan ia berlaku sebegitu) tapi kerana saya berjaya
bangun pagi! Entah sudah berapa lama saya tidak berjumpa matahari pagi hari
Sabtu. Masih sama rupanya matahari Sabtu dengan matahari hari-hari lain.
Seawal 7.30 pagi saya sudah
bangun (dikejutkan lebih tepat sebenarnya) demi untuk bersama kariah surau
taman saya menyempurnakan ibadat korban bagi tahun 1438H. Hari Raya Aidiladha
untuk tahun ini kan jatuh pada hari Jumaat, maka pihak pengurusan surau
menetapkan hari Sabtu sebagai hari untuk melaksanakan ibadat korban. Disamping
mengelakkan keadaan kelam kabut kerana perlu bersiap untuk solat Jumaat pula
bagi lelaki, ia juga menggalakkan lebih ramai dapat turut serta kerana hari
Sabtu adalah hari cuti hujung minggu bagi yang mempunyai waktu kerja yang
biasa-biasa.
Selesai urusan bersama
masyarakat setempat kira-kira jam 10 pagi, saya mengambil kesempatan untuk
pulang ke rumah seketika bagi melelapkan mata sekejap sebelum bergegas semula
untuk acara penting pada petang itu. Kali terakhir saya mengamalkan cara
“Hadhari” sebegini ialah pada tahun 2007 di mana ketika itu sejurus selepas
menghadiri persembahan kumpulan Search di Planet Hollywood Kuala Lumpur, saya
kemudiannya bergegas pula ke persiapan untuk majlis Tilawah Al-Quran Masyarakat
Asli peringkat kebangsaan. Harap-harap PakLah bersetuju dengan (pendekatan)
hadhari saya.
sesi soundcheck di tengahari rembang!
Saya tiba di Oasis Damansara
pada pukul 2 petang ketika Prime Domestic sedang melakukan sesi sound check. Kelihatan Joe, Hillary, Gee
& Ainoll bersama krew mereka sedang ‘berperang’ dengan keadaan cuaca yang
luar biasa terik dan kabel yang berselirat di atas pentas demi mendapatkan
sound yang terbaik untuk persembahan pada sebelah malamnya. Saya tidaklah pula
bercadang untuk berlama-lama di atas pentas yang panas jadi saya kemudiannya
menuju ke kedai kopi berdekatan untuk menikmati teh o ais limau. Sesi sound check berlarutan hingga ke petang
sebelum diberhentikan kerana hujan lebat yang turun dengan semahu-mahunya. Hari
cuti dan hujan lebat bukanlah satu kombo yang sesuai untuk melakukan
persembahan pentas. Apatah lagi hari cuti itu melibatkan cuti hujung minggu
yang panjang. Perasaan seram mula melanda saya. Risau akan kehadiran penonton
yang ‘sendu’ pada malam ini. Haish! Waktu-waktu macam ni pula nak hujan lebat!
Sedikit mengenai kumpulan Prime Domestic. Kumpulan ini diasaskan oleh Joe & Hillary, dua figura rock tempatan yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Dengan reputasi masing-masing yang pernah mengemudi 2 band gergasi tempatan, Wings & Search, sudah beratus lagu-lagu top yang dihasilkan atau yang pernah menerima air tangan daripada mereka. Dibantu oleh seorang lagi alumni kumpulan Search, Fauzie atau Gee di bahagian bass, siapa yang boleh menidakkan sumbangan Gee dalam album Bikin Wilayah & Double Trouble 2 (album bersama kumpulan Wings). Pengalaman luas beliau ketika bersama band NRG yang merajai scene kelab-kelab malam sekitar 90-an hingga awal milenium juga tidak wajar dilupakan begitu sahaja. Dijana oleh seorang ‘kaki pukul’ aka tulang belakang band di posisi drum, Ainoll yang pernah bersama kumpulan Kristal, Bunkface, Deja Voodoo Spells, Modread, Manifesto...terlalu banyak band underground dan mainstream yang pernah mendapatkan khidmat beliau dan rasanya tak perlu diperkatakan lagi mengenai susuk drummer yang pernah menggondol anugerah ‘Pemain Drum Terbaik, Asian Beat Competition Kuala Lumpur’ pada tahun 2003 dan ditaja oleh Tama & Zildjian serta Heartbeat drumsticks ini.
(Kredit Gambar: Azriff Reza)
Mengakhir pencarian vokalis
sedari tahun 2012 ialah Aweera, pemenang tempat ketiga One In A Million anjuran
TV3 pada tahun 2009. Selaku pemenang The Best Asian Vocal di Hong Kong Music
Festival tahun 2013, kemantapan vokal Aweera tidak wajar dipandang ringan.
Sedikit trivia: memang pada permulaan semasa menubuhkan band ini, nama Aweera
sudah menjadi pilihan Joe & Hillary untuk menggalas tugas sebagai vokalis.
Namun oleh kerana komitment beliau bersama kumpulan Mojo ketika itu maka pencarian
vokalis lain diteruskan namun bak kata orang lama-lama, ‘kalau dah jodoh tidak
ke mana’. Maka menjadi rezeki Aweera untuk berjodoh dengan kumpulan ini.
(Kredit Gambar: Azriff Reza)
Gandingan mereka berlima
telahpun mengadakan showcase ‘pembuka salam’ pada 2 April 2017 yang lalu di
H@use @ GTower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Single pertama mereka yang
mengandungi 3 buah lagu, Tekno Dewata, Satukan Impian & Sedingin Pluto
turut dilancarkan pada hari tersebut. Dan sekarang mereka sedang menumpukan
kepada penerbitan album bertajuk ‘Prima Domestika’.
Single dorang yang mengandungi 3 buah lagu. Nak beli? Whatsapps 019-3681917. Limited copy ni!
Hujan mulai ‘sereyat’ pada
pukul 7 malam namun gerimis tetap turun dan ini membuatkan penonton yang sudah
mulai datang memilih untuk berteduh di bawah bumbung kedai-kedai yang
berdekatan. Saya dan kawan-kawan juga sudah mula menyusun barang-barang jualan
di atas gerai tolak yang disediakan pihak penganjur walaupun masih khuatir
dengan keadaan cuaca yang masih belum stabil. Tepat jam 7.45 malam, sebuah band
yang menggelarkan diri mereka Acoustic Fourplay mula mengambil posisi
masing-masing di atas pentas. Ternyata bukan calang-calang mereka ini daripada
gaya dan keyakinan mereka menguasai instrument
dan pentas. Dengan repertoire
lagu-lagu rock top 40 seperti yang sering didengari di kelab-kelab malam,
mereka tampil gagah selama kira-kira 30 minit menghiburkan peminat yang
kesejukan dek hujan yang turun sepanjang petang. Sedikit trivia: adik drummer
seasionist terkenal Malaysia, Sotong dan adik ipar Joe Branko adalah antara
line-up band ini.
(Band Rajhula dari kamera phone penulis)
Setelah selesai set mereka,
satu band tam-rock (tamil rock) mula naik ke pentas untuk menggantikan Acoustic
Fourplay. Menggelarkan diri mereka Rajhula, band ini sudahpun mengeluarkan
album pertama ‘Rajhula’ terbitan Agi Music. Berasal dari Klang, band yang
diketuai oleh Jaikhand selaku pemain bass, Siva di bahagian gitar dan pelakon
utama filem Jagat, Jibrail Rajhula selaku penyanyi utama untuk band ini. Walaupun mungkin sedikit sukar untuk memahami
lirik mereka, tapi benarlah kata pepatah, muzik tidak mengenal bahasa dan
bangsa. Dengan dentuman muzik keras, ternyata suasana malam yang dingin kembali
hangat dengan persembahan mereka. Bayangan Kashmir Stone mula menerjah
kenangan. Layaknya mereka menyambung kembali perjuangan Kashmir Stone di arena
tam-rock negara. Mereka juga memainkan satu cover
song dari kumpulan Kembara, Gerhana dan kelihatan penonton mula
terhangguk-hangguk tanda enjoy dengan
persembahan mereka.
Tepat jam 9 malam, DJ Pool, disc-jockey yang popular di KLFM sedikit
masa dahulu dan sekarang mengendalikan channel
Youtube ‘Abah Kau TV’ mula berceloteh untuk menaikkan semangat hadirin yang
datang. Bahagian hadapan pentas sudahpun mulai dipenuhi penonton yang datang
sejauh Singapura dan Batu Pahat demi untuk menjadi sebahagian daripada sejarah
pada malam tersebut. Hujan juga telah berhenti sepenuhnya, seakan-akan memberi
‘muka’ kepada kumpulan ini untuk memulakan persembahan. Setelah sedikit intro
kepada kumpulan Prime Domestic, seorang demi seorang dipanggil ke atas pentas.
Ainoll, Gee, Hillary dan Joe mula mengambil posisi di atas pentas dibantu Adi Yamin,
keyboadist jemputan dari kumpulan Soul Statue. Ilusi Intonasi dimainkan sebagai
salam pembukaan daripada mereka. Sebuah instrumental ciptaan Joe yang membuai
penonton yang masih diselubungi suasana sejuk selepas hujan.
(Kredit Gambar: Azriff Reza)
Nama Aweera diseru sesudah
tamat lagu pertama. Dengan berjaket kulit persis Wolverine dalam filem X-Men,
Aweera tanpa berbasa-basi memulakan persembahan Prime Domestic dengan lagu Sidang
Berasap. Ketukan drum Ainoll dan dentingan bass Gee yang kelihatan menggunakan
bass baru beliau, Fender Jazz Bass 5 string USA seakan teradun dengan cantik
seolah mereka sudahpun bermain bersama bertahun-tahun lamanya. Joe dan Hillary
pula tenang di kiri dan kanan pentas dengan Gibson Les Paul Custom Maroon Red dan
Les Paul Standard Gold Top mereka. Kelihatan juga Joe menggunakan gitar Les
Paul Custom Virgin White untuk sesetengah lagu. Mereka juga menggunakan head
amp Boss Katana tajaan Roland Music Asia pada malam itu, sesuatu yang
memeranjatkan kerana hanya dengan ‘amp kombo’, mereka berdua berjaya menggegarkan
dan memanaskan suasana pada malam itu.
(Kredit Gambar: Azriff Reza)
Bunyi petikan gitar dengan
efek ‘pitch shifter’ kedengaran menandakan bermulanya intro Alam Barzakh.
Walaupun ia sebuah lagu ‘cover’, ia mempunyai cerita yang amat menarik. Lagu
itulah menjadi titik tolak bagaimana Joe dan komposer asal lagu tersebut,
allahyarham Zul Adnan Mohd Razali yang lebih dikenali dengan nama JS Kevin
menjadi rapat dan kamceng. Dunia muzik rock Malaysia secara umumnya tahu bahawa
ketika hayatnya, JS Kevin sangat rapat dengan Joe dan Zuar XPDC dan allahyarham
juga pernah tinggal di studio Joe selama 2 tahun lamanya! Barisan lagu-lagu
yang bakal berada dalam Prima Domestika dimainkan dengan sorakan paling bingit
tentulah untuk lagu Sedingin Pluto yang semakin hari semakin mendapat tempat di
corong-corong radio tempatan. Tekno Dewata pula seperti dijangka menjadi
kegemaran mat-mat ‘headbanging’ untuk layan kepala pada malam itu. Tak
disangka, show yang diadakan pada hari perayaan masih mampu menarik sehingga
hampir 2000 penonton memenuhi bahagian hadapan pentas untuk sama-sama mendengar
lagu-lagu yang bakal dimasukkan dalam album Prima Domestika ini.
(Kredit Gambar: Azriff Reza)
Apa yang lebih menarik, lagu
ciptaan Dato’ M. Nasir diperkenalkan back-to-back
dimulakan dengan lagu ‘tekup fretboard’ aka Sejati sebelum disambung dengan
lagu Kurnia yang merupakan ciptaan terbaru Dato’ M. Nasir untuk Prime Domestic
dengan lirik oleh Ishmael. Walaupun baru kali pertama diperdengarkan, nampaknya
‘magis’ beliau masih berbisa di mana rata-rata penonton kelihatan enjoy dan
gembira dengan lagu berirama balada rock itu. Dijangkankan Kurnia akan cepat
menambat hati pendengar muzik rock tempatan khususnya dan peminat muzik amnya
sejurus album dikeluarkan nanti.
(Kredit Gambar: Azriff Reza)
Kehangatan malam itu ditutup
penuh bergaya dengan lagu cover dari
kumpulan Search, Pasti. Harus diakui tenaga dan komposisi lagu tersebut sangat
cocok dijadikan lagu penutup untuk sebuah persembahan yang ‘bukan biasa-biasa’
ini. Secara automatik kenangan di stadium Merdeka pada tahun 2004 ketika
menyaksikan ‘konsert Search disaksikan Godbless’ mula menerjah di benak saya.
Secara keseluruhannya, Prime Domestic telah memainkan sebanyak 19 lagu pada
malam tersebut. Satu jumlah yang sangat banyak untuk sebuah ‘show’ percuma.
Dengan 10 lagu baru, 2 lagu cover dari kumpulan Wings dan satu dari kumpulan
Search serta satu medley istimewa lagu-lagu kumpulan Wings dan Search. Mungkin
ada yang mempertikai kenapa mereka memainkan lagu cover Wings dan Search.
Jawapan saya, mengapa tidak? Mereka juga sebahagian daripada sejarah kedua band
tersebut & menjadi arranger, pencipta lagu & penerbit album untuk
majoriti album-album kedua kumpulan itu. Maka selayaknya mereka memainkan
lagu-lagu tersebut. Itu sahaja.
(Kredit Gambar: Azriff Reza)
Daripada tinjauan rambang ke
atas penonton selepas usai persembahan Prime Domestic, ramai yang menyatakan
tidak sabar untuk mendengar pula versi rakaman studio album ‘Prima Domestika’
setelah diperdengarkan secara ‘live’ malam itu. Ramai juga yang memuji kerana
lagu-lagu baru yang diperdengarkan tidak langsung dibayangi oleh dua band asal
sang gitaris. Kelihatan juga rakan-rakan artis rockers yang datang memberikan
sokongan seperti Fiq Mentor, Lola (XPDC), Jef
& Doy (Giegel), Lord Lokman (The Boys), Oney (LipanBara, May,
Jump-P) dan Amy & Usop (Baji). Antara
penyumbang lagu-lagu dalam ‘Prima Domestika’ ialah Acap, Boy (Projek Pistol),
Dato’ M Nasir, Hillary dan Joe manakala lirik pula oleh Najah, Kerang dan
Ishmael.
(Kredit Gambar: Azriff Reza)
Proses penerbitan album
Prime Domestic sudah di peringkat akhir di mana proses mastering sedang
dilakukan di Australia oleh Don Bartley (Scorpion, ABBA, Buzzcocks dll) setelah
proses mixing selesai dibuat di Malaysia oleh jurutera bunyi yang tak perlu
diperkenalkan lagi kepada umum, Rahmad Ayob (Kamikaze). Nantikan deruman muzik
rock gaya Prime Domestic yang dihasilkan Ainoll, Gee, Aweera, Hillary & Joe
yang bakal menerjah gegendang telinga kalian tidak berapa lama lagi.
‘You will not regret, we
will not surrender!”
Lepas show mesti kena ambil gambar.
4 ulasan:
Ahhh...
Rindu bertandang lagi zaman blog ini hangat membuat catatan demi catatan
steady
Hahaha.
terbaiklah Zan, lots of info
Catat Ulasan