Jumaat, 28 April 2023

BARBARIK PENTAS KERAS – PENUTUP MELAZATKAN UNTUK TAHUN 2022


Ura-ura untuk mengadakan konsert ini sudahpun sampai ke telinga aku sejak sebelum PM DS Ismail Sabri umumkan negara memasuki fasa pra-pandemik lagi. Keterujaan itu memang sangat tinggi. Tapi mengenangkan apa pun boleh jadi, maka aku diamkan dulu apa yang aku dengar.

 

Setelah menghadiri mesyuarat pra-produksi, secara rasmi juga menandakan yang konsert ini bakal menjadi kenyataan. Maka kerja keras untuk melancarkan segala yang dirancang pun bermula. Sesi promosi melalui media sosial disusun. Begitu juga dengan sesi latihan yang dimulakan lebih awal. Bayangkan ahli kumpulan yang terlibat sudah mulakan latihan 4 bulan awal sebelum tarikh konsert. Gila ke apa? Tapi demi menjamin hanya yang terbaik untuk dihidangkan buat pembeli tiket, maka segala perancangan tetap diteruskan.

 

                                                      BARBARIK production team


Walaupun sesi latihan bermula sejak bulan September, namun kerancakan promosi dan kehangatan konsert terganggu dengan pembubaran parlimen dan tarikh PRU yang diumumkan SPR. Betul punya potong stim la. Orang tengah sibuk nak rock, dia boleh bubar parlimen pula! Namun nasib baik tarikh mengundi yang ditetapkan pada 19 November 2022 agak jauh juga dengan tarikh konsert. Maka perancangan baru perlu dibuat untuk disesuaikan dengan perkembangan terkini yang berlaku.

 

Secara jujurnya aku kurang menonjolkan diri dalam konsert kali ini. Tidak sekalipun aku jejakkan kaki ke studio 3rd Floor United (tempat mereka berlatih) sepanjang 4 bulan masa yang mereka habiskan. Ini kerana gara-gara aku mendapat sakit kaki yang berpunca dari kuman dalam darah sejak dari sebelum Hari Raya Korban yang mengakibatkan kakiku bengkak sebelah. Susah beb nak panjat tangga sampai tingkat 3 dengan kaki bengkak ni. Hu hu hu! Mujur ada Rimi yang juga dalam pasukan pengurusan media sosial yang mengambil alih tempat aku.

 

2 minggu menjelang konsert promosi secara temubual dengan media cetak dan portal atas talian semakin agresif dilakukan. Er…konsert ini tidak menggunakan pendekatan melakukan sidang media secara kebiasaan untuk mempromosikan konsert. Semua aktiviti promosi dilakukan 100% melalui media sosial seperti di Facebook, Twitter, Instagram dan Youtube dan aku antara pengurusan yang menjaga semua akaun media sosial ini. Setiap hari bersama barisan team produksi memikirkan apa konten berkenaan konsert untuk dimuat naik sebagai strategi promosi. Bergaduh, merajuk, sentap...apa bala perasaan semua pernah rasa la waktu ni. Masing-masing semua tekanan tinggi wooo!

 

24 Disember 2022 – Hari persembahan. Aku masih batuk-batuk dan terpaksa memakai penutup muka (facemask) sepanjang masa. Bukan Covid-19 ya. Dah naik lopong lubang hidung aku kena jolok dek ujian RTK. Syukur ia negatif. Antara perkara-perkara negatif yang perlu diraikan. Tak sangka ya di tahun-tahun selepas Wawasan 2020 ni kita akan seronok bila mendapat hasil ujian negatif! Ha ha ha!

 

                                                    Contoh jejaka tidak pentingkan diri

Aku ditugaskan menjaga penjualan tiket fizikal. Sebenarnya untuk konsert ini pihak produksi tidak mahu menjual tiket fizikal. Semuanya 100% secara online. Namun mengenangkan peminat dua susuk rokers Jo Branko dan Muss ramai juga yang tidak terdedah kepada urusniaga atas talian ini, maka tiket fizikal dijual tetapi hanya pada hari konsert. Aku juga bersama-sama Baha memantau proses penukaran e-ticket kepada tiket fizikal yang pihak produksi sediakan.

 

Apa yang seronok pada aku ketika hari konsert sebegini ialah secara tak langsung ia menjadi hari perjumpaan kawan-kawan lama dan yang datang dari jauh. Semacam satu mini gathering apabila aku dapat berjumpa kembali dengan member-member blogger, member-member roker dan juga kawan-kawan yang lain. Cuma slek pada aku kerana tidak cergas 100% ketika itu dan terpaksa membataskan masa ‘berfoya-foya’ dengan mereka kerana tidak mahu menjadi punca kluster batuk pula selepas konsert tamat. Ha ha ha!

 

                                                Dengan kawan-kawan yang kita suka


                                           Possing majalah Mangga dengan You-Know-Who

DJ Pool ex-KLFM tampil mengambil peranan sebagai pengacara pada malam itu ketika jam menunjukkan pukul 8:45 malam. Sambil membakar perasaan penonton yang makin memenuhkan ruang hadapan pentas, sambil dia mengimbau kenangan ketika gandingan Jo dan Muss ini ‘mengganas’ dalam album Wings dulu. Aku sudah mula mengambil tempat di dalam kawasan FOH sambil mencongak-congak hadirin yang datang pada malam itu. Menurut anggaran mata kasarku, kapasiti ruang Zepp pada malam itu senang-senang sudah mencapai 90% dari jumlah yang boleh diisi. Itupun masih ramai yang tersangkut dek kesesakan lalulintas Kuala Lumpur malam itu yang gagal untuk datang walaupun tiket sudah dibeli.

 


Tepat 9:05 malam, lagu pembukaan berkumandang. Satu paparan video ditembak di atas layar kain yang menutupi pentas memperkenalkan barisan tenaga produksi konsert sebelum intro Penunggu mengambil tempat sebagai lagu pembukaan pada malam tersebut. Susun atur atas pentas sangat simple untuk konsert ini, tiada skrin LED yang selalu menjadi latar persembahan seperti konsert-konsert lain. Joe memang merancang untuk membuat konsert ini dengan vibe persembahan tahun 90-an. Hanya lampuan yang memeriahkan pentas tanpa perlu skrin-skrin besar ini.

 

Ketika sesi temubual dengan media cetak dan pengamal media sosial, Jo Branko sudah memberitahu yang dia akan memastikan penonton yang datang menyaksikan konsert Barbarik Pentas Keras ini akan puas dengan bunyi yang dihasilkan dan akan ‘membingitkan’ telinga penonton.Ternyata apa yang Joe cakap itu benar. Dari lagu pertama lagi bunyian gitar Jo, dengungan bass Rozaimi, hentakan drum Ainoll dan tusukan papan kekunci Adi serta pekikan suara Muss bagaikan anak panah menerjah gegendang telinga penonton. Dari satu lagu ke satu lagu gandingan mereka di atas pentas dengan bantuan Simon Khoo sebagai jurutera bunyi dan Ozlan sebagai jurutera lampu memukau seluruh pelusuk Zepp. Tidak cukup dengan itu, barisan artis jemputan yang dijemput khas oleh Joe selaku pengarah muzik memberikan nilai tambah kepada persembahan yang ada. Penampilan Asheed DEF GAB C, Mel dan Mael XPDC ternyata berjaya membuatkan penonton bertambah gamat pada malam itu. Paling mengujakan? Sudah tentunya kemunculan semula gitar keramat the legendary Les Paul Custom Lefty ‘Black Beauty’ yang sudah tersimpan hampir 5 tahun sebelum ini. Terubat rindu beb dengar gitar ni menjerit!

 

                                                       Joe dengan The Black Beauty

Keris Tak Ada Sarung menjadi lagu penutup pada malam itu. Sebanyak 20 lagu dipersembahkan mereka yang mengambil masa hampir 3 jam. Kelihatan muka sang pengarah persembahan Mie Bird tersenyum di belakang konsul mixer seolah-olah satu batu besar sudah habis terangkat dari bahunya. Satu show yang berjaya dan diktiraf antara konsert rock terbaik dekad ini serta layak menjadi penutup bagi tirai persembahan tahun 2022 yang menggila dengan penganjuran satu demi satu konsert artis tanah air dan luar negara. Barbarik Pentas Keras yang keras dan bingit!

 

                                        Setlist malam konsert diabadikan pada baju konsert

P/s: Aku baru perasan. Ketika pengumuman konsert ini dan ketika berlakunya konsert ini, Malaysia ditadbir oleh dua orang Perdana Menteri yang berlainan. Power To The People!

                               

 


Isnin, 6 September 2021

DEWANGGA SAKTI ARUS DERAS - FOLK BERPERISA MALAYSIA DAN NUSANTARA. SATU ULASAN

 

Music that originates in traditional popular culture or that is written in such a style. Folk music is typically of unknown authorship and is transmitted orally from generation to generation – Google.

 

 

 (Muka depan)


Setelah terlewat hampir dua bulan lebih dari tarikh asal, akhirnya album Arus Deras tiba di tangan. Bungkusan mengandungi dua buah cakera padat dan dua set poskad siap bertandatangan selamat dipisahkan dari bungkusan plastik Poslaju sekitar minggu lepas (1 September 2021). Sebuah album yang boleh saya katakan antara yang terlama saya tunggu untuk disiapkan. Mungkin sudah 7 atau 8 tahun dari kali pertama saya dimaklumkan akan projek merakam studio album yang sedang giat mereka laksanakan. Cuma album ini rupanya bukanlah album yang sama (walaupun masih mengekalkan tajuknya) yang saya diberitahu dulu. Album ini berlainan sama sekali daripada rancangan asal mereka. Kiranya album yang diberitahu dulu boleh sudah dianggap sebagai the lost album ikut kata ketua kumpulan merangkap pemain gambus/oud dan juga penerbit bersama, Zulkifli Ramli @ Zoy.

 

(Kulit depan EP Mabuk Kepayang. Gambar ihsan Dr. Rizal)

Sengaja saya mencari dan memutar kembali EP mereka, Mabuk Kepayang yang diterbitkan sekitar 13 tahun dahulu berselang-seli dengan album ini. Sekadar untuk menikmati betapa jauhnya pengembaraan dan kematangan muzik mereka sejak terbitnya Mabuk Kepayang dulu hingga lahirnya Arus Deras ini. Ah, betapa indahnya bernostalgia.

 

(Dewangga Sakti 2008. Gambar ihsan Dr. Rizal)

Dewangga Sakti membawa maksud lembaran kain atau persalinan (sutera) yang mempunyai kuasa ajaib. Dikuasakan pada awalnya oleh anak-anak kapal ‘Kesultanan Gombak’ atau dalam bahasa mudahnya alumni dan bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sg Pusu dan Akademi Seni dan Warisan Padang Merbok. Nampaknya mereka berjaya mengekalkan penguasaan alumni yang sama untuk album ini cuma melibatkan pertukaran susuk dan posisi.

 

(Senarai lagu dan pencipta)

Album ini dimulakan dengan 3 buah lagu yang mengisahkan tentang kenangan - nostalgia atau ingatan atas perca-perca cerita lama yang sudah berlalu. Jalan Gombak, Lupus dan Waktu Kecil Kita kuat temanya – benda yang telah lepas dan berlalu. Bisa mendodoi kalian untuk hanyut sekali dalam nostalgia mereka. Diikuti dengan sebuah instrumental gambus/oud yang mengikut kata pemainnya, adalah taksim atau improvasi instrument dalam Bahasa Arab. Instrumental ini dimainkan dalam maqam Nahawand (macam belajar taranum pula) atau dalam skala C Minor mengikut scale muzik moden. Lagu diteruskan dengan Langit Merah, antara kegemaran saya dalam album ini. Lagu yang sarat dengan perasaan kesedihan baik daripada segi muzik mahupun lirik. Nak buat macam mana, saya ni persis seperti yang ditulis almarhum JS Kevin, “…jadi sentimental hati lelaki ini.” Kah!

 

Ophir menjadi tajuk lagu yang seterusnya. Agak beremosi sebenarnya lagu ini terutamanya di kalangan sahabat-sahabat terdekat kerana dalam lagu in terakam jeritan ‘growl’ salah seorang sahabat mereka, allahyarham Meo Tamlikha yang telah pergi menemui Sang Pencipta akibat penangan Covid-19, pandemik durjana yang sudahpun meragut ribuan nyawa di tanah air ini. Moga rohnya dikasihi, dilimpahi rahmat dan diampuni oleh Sang Pencipta. Ameen. Diikuti dengan sebuah lagi instrumental VII yang juga merupakan satu lagi taksim.

(Senarai lagu)

Rahmat Jagat Raya pula adalah sebuah lagu yang ditulis untuk mengingati dan menggambarkan kecintaan kepada junjungan besar kita, Rasullullah Muhammad SAW yang kemudiannya diikuti dengan sebuah lagu berentak ‘rockdut’ atau dangdut rock dengan tajuk yang pada saya agak ‘menegakkan bulu roma’, Malaysia Sejahtera. Ha ha ha! Tapi saya nak puji lagu ini kerana ianya dimulakan dengan spoken word yang sangat menangkap dengan kawalan tonasi suara dan nafas yang mantap yang dilontarkan oleh kalau tak silap pendengaran saya, Abdul Raof yang memikul tanggungjawab sebagai penerbit bersama dan juga sebagai pemain alatan gendang, darbuka dan kompang dalam kumpulan ini.

 

(Poskad lengkap bertandatangan)

Satu lagi instrumental melengkapkan 3 buah lagu instrumental dalam Arus Deras ini. Al-Iksir atau dalam Bahasa Inggeris, Elixir yang membawa maksud penawar atau mata air kehidupan. Ada bagusnya juga lagu-lagu instrumental dimasukkan sekali dalam album ini. Harapnya selepas ini acara bacaan puisi di negara ini dapatlah menggunakan lagu-lagu dari album ini berbanding lagu-lagu instrumental Kitaro. Bukanlah menidakkan kehebatan Kitaro itu sendiri tapi sekadar menukar rasa dan nuansa agar lebih bercitarasa tempatan. Sekadar pendapat saya dan mohon mencadang.

 

Arus Deras ditutup dengan Ronggeng Putrajaya, sebuah lagu joget sendaloka yang menampilkan penyanyi jemputan, Alfian aka Abang Ranum, alah mamat yang pernah tular dengan bacaan ala taranum masuk gaji depan mesin ATM tidak berapa lama dulu. Sebuah lagu joget tipikal yang diakhiri dengan penutup joget Johor Sports Club.

 (Setlist ketika persembahan mereka di Rumah Pena sempena acara Maskara pada tahun 2009)

Keseluruhan pembuatan album ini pada pandangan saya adalah amat cemerlang sekali dan sangat baik hasilnya. Baik dari segi teknikal rakaman dan adunan muzik, kekemasan bungkusan album, kreativiti grafik kulit album dan juga kaligrafi lirik “Kerja orang rajin’ saya gelarkan. Dalam zaman di mana muzik fizikal sudah makin pupus selari dengan pupusnya peralatan untuk memainkannya, Dewangga Sakti berani menongkah ‘Arus Deras’ digital dan mengeluarkan album ini tanpa ada apa-apa jaminan mereka akan mendapat laba darinya. Tapi pada saya, bukanlah mereka yang tidak untung tetapi kita selaku rakyat Malaysia yang kerugian sekiranya muzik sebegini hilang dari pendengaran kita sendiri. Muzik yang dapat membawa kita kembali mengenal leluhur dan akar bangsa sendiri tanpa perlu merendah atau mencerca bangsa atau kaum yang berlainan. Sesuai dengan sifat muzik itu sendiri yang universal.

 

(Sambungan setlist di atas)

Cuma sebagai seorang yang agak lama mengenali mereka dan mengikuti perkembangan mereka dan muzik mereka, saya merasakan akan dua kehilangan. Kehilangan pertama ialah kehilangan sifat nakal (witty) dan raw dalam lagu-lagu mereka. Ini saya bandingkan dengan EP Mabuk Kepayang yang telah berusia 13 tahun itu. Tiada lagi tajuk lagu yang nakal, tiada lagi nyanyian kegembiraan beramai-ramai dan sebagainya. Tanda-tanda penuaan mungkin. Satu lagi kehilangan adalah kehilangan bunyian yang boleh dikatakan paling dominan dalam Mabuk Kepayang - gesekan biola. Mungkin saya terlalu bernostalgia tapi pada saya, muzik tradisional atau folk melayu ini selain gambus, gendang dan akordion, gesekan biola juga adalah penting dalam memberikan mood atau jiwa dalam sesebuah lagu itu. Gesekan biola seakan mempunyai magisnya yang tersendiri pada saya lebih-lebih lagi dalam lagu-lagu bernuansa nusantara melayu sebegini. Tapi ini cuma ulasan saya sebagai seseorang yang pernah mendengar dan mempunyai EP lama mereka. Untuk pendengar baru, saya rasa tiada masalah untuk kalian jatuh cinta kepada Arus Deras pada pendengaran kali pertama.

 

Kesemua lagu dan lirik dicipta dan ditulis oleh ahli kumpulan sendiri kecuali untuk lagu Lupus yang liriknya ditulis oleh rakan mereka. Album ini juga mendapat pertolongan kawan-kawan lama mereka yang menjadi penyanyi latar untuk lagu-lagu seperti Jalan Gombak, Malaysia Sejahtera dan Ronggeng Putrajaya (saya juga terlibat sebagai penyanyi latar untuk dua buah lagu. Ha ha ha!).Terbitan Himawari Records, album ini pada saya adalah album yang wajib ada di setiap rumah di Malaysia. Bagi mereka yang mencari kelainan, yang ingin mengkaji folk atau irama melayu atau yang sukakan benda-benda best, album ini memang untuk anda.

 

(Senarai jemputan khas. Perhatikan nama saya di situ. Ha ha ha!)

Belilah dan dengarlah serta hayati bait-bait lirik dan alunan muziknya serta kesyahduan pelantun suara utamanya (Edie adalah pemenang Bintang Asli Remaja Kebangsaan tahun 2006 dan merupakan juara termuda di Malaysia memenanginya ketika berusia 15 tahun). Untuk pembelian album, bolehlah terus ke laman Facebook mereka, Dewangga Sakti atau melalui ketua kumpulan mereka, Zulkifli Ramli. Semoga terhibur dan selamat hanyut bersama Arus Deras!

 


Anak-Anak Kapal Dewangga Sakti 2021.


Zulkifli Ramli – Gambus, Oud, Cura Saz, Petir

Wahyun Anwar – Rebana, Darbuka, Floor tom, Shaker, Tamborin, Kompang

Azman Azahar – Gitar Bass, Gitar Eletrik & Akustik, Vokal Kedua

Irwan Effendy – Akordion, Keyboard, Gitar Eletrik

Abdul Raof Salhudin – Rebana, Darbuka, Kompang, Floor tom, Shaker, Petir

Edie Nazrin – Vokal Utama


 (Dewangga Sakti 2021)

    

 

  

 

 

 

 

 

Ahad, 15 Ogos 2021

U2 DAN JOSHUA TREE DI TEMASEK: SATU ULASAN.

(Ulasan ini pernah diterbitkan di portal Solidaritas pada 5 Disember 2019)



(Gambar ihsan Google)

Ura-ura kedatangan kumpulan rock gergasi antarabangsa kelahiran Ireland, U2 ke rantau ini sudah lama bertiup kencang sebenarnya – semenjak tahun 2010 lagi. Ketika itu mereka dalam siri jelajah dunia untuk konsert 360°, konsert yang terkenal dengan pentas gergasi ‘labah-labah’ yang mampu berpusing 360° dan seterusnya menjadikan mereka sebagai kumpulan paling tinggi mencatat kutipan konsert dalam sejarah peradaban dunia. Tapi atas sebab-sebab tertentu, akhirnya konsert itu tidakpun singgah di rantau ini. Antara alasan yang kedengaran waktu itu, tiada promoter (penganjur) yang berani kerana U2 meminta bayaran terlalu tinggi dan ada pula sesetengah pendapat yang mengatakan Malaysia serta negara-negara dalam rantau ini gagal dalam ujian tanah (soil test) yang dilakukan (kerana pentas labah-labah itu terlalu berat untuk ditampung oleh tanah di rantau bertuah ini). Walau apapun alasannya, yang sudah lepas itu kita biarkanlah ia lepas.

Apabila pihak penganjur mengumumkan kedatangan U2 ke Singapura dan diumumkan pula tarikh jualan tiket bermula 20 Jun 2019 pukul 10 pagi (jualan awal di laman web U2 khas untuk ahli kelab peminat bermula 17 Jun 2019), maka akupun bersegera meminta sahabatku di Singapura untuk membelikan tiket. Mengambil kira pengalamannya selama ini mengikuti konsert-konsert artis antarabangsa yang selalu diadakan di Singapura, aku yakin dengan kebolehannya mendapatkan tiket. Sangkaan aku, dengan sistem tiket mereka lebih canggih berbanding Malaysia, mesti boleh dapat tiket punya. Namun aku salah. Aku terlupa mengambil kira ini kali pertama U2 datang ke rantau Asia Tenggara ini. Peminat-peminat mereka bukan saja dari Singapura dan Malaysia, malahan dari Indonesia, Brunei, Filipina dan Thailand juga berpusu-pusu mencuba untuk mendapatkan tiket. Igauan ngeri aku bermula apabila sahabat aku itu memberitahu sejak jam 10 pagi dia ‘tersangkut’ dalam queue di laman web jualan tiket. Setiap sejam sekali aku cuba dapatkan maklum balas dari sahabat itu namun jawapannya sama. “Masih on queue beb”. Dan keadaan ini berlarutan hingga ke belah malam. Mujur pengumuman oleh pihak penganjur yang menambah hari persembahan menerbitkan kembali sinar dalam hati ini. Akhirnya aku dapat tengok U2 depan mata!

(Aku dengan Azam Sang Editor dalam MRT di Singapura. Dekat KL taknak pula naik MRT!)

Aku berlepas dari Kuala Lumpur dengan seorang kawan yang juga editor portal berita atas talian menaiki bas dari Hotel Corus Jalan Ampang. Hari aku sebenarnya bermula awal lagi kerana aku mula berlepas dari rumah di Klang menaiki Komuter (kereta api pertama!) pukul 5.19 pagi menuju KL Sentral sebelum menggunakan Grab untuk ke Jalan Ampang. Perjalanan kami ke Singapura sangat lancar sementelah kami memilih bas yang tidak melalui Tambak Johor tapi melalui Laluan Kedua. Jumlah kenderaan tidaklah banyak di checkpoint Tuas walaupun keadaan di belah Singapura agak ramai (kami tersangkut lebih kurang satu jam di sini). Tapi apapun, kami selamat sampai ke perhentian terakhir bas di Harbour Front Centre jam 3 petang. Di sini, kawan aku yang membelikan tiket konsert sudah sedia menunggu di luar kompleks. Kami dibawa ke pusat penjaja di hadapan Harbour Front itu untuk merarau sebelum menaiki MRT menuju ke lokasi konsert di Stadium Nasional Singapura.

(Man of the match aku dekat Singapura. Tukang beli tiket, bawa jalan-jalan naik MRT, bawa pergi makan. Deafangel the Walking Encyclopedia of Iron Maiden in Singapore!)

Aku dan sang editor berpecah ketika memasuki stadium. Beliau membeli tiket berdiri maka pintu masuk berlainan berbanding aku yang hanya mampu membeli tiket ‘pangsapuri kos rendah’. Dari pengamatan aku pada hari kejadian, walaupun jumlah kedatangan hanya berkurang sedikit berbanding hari pertama (hari pertama dilaporkan seramai 40 ribu penonton hadir menonton) namun proses menyemak tiket dan beg berjalan lancar dan pantas. Aku ada baca di media sosial rungutan mereka yang menonton pada hari pertama tentang betapa lembapnya proses menyemak tiket dan beg ketika itu. Mungkin pihak penganjur sudah belajar berdasarkan pengalaman tersebut dan membuat penambahbaikan. Pukul 7.00 petang, aku sudahpun berada di kerusi bernombor seperti yang tertera di tiket.

(Calm before the storm. Suasana sebelum Maghrib. Walaupun hari kedua, orang macam tak ada perubahan. Tetap ramai.)

Lagu The Whole Of The Moon dendangan The Waterboys yang dimainkan secara playback berkumandang tepat jam 8.16 malam menandakan persembahan akan dimulakan. Sejurus tamat sahaja lagu, kelibat anggota U2 kelihatan berbalam-balam dalam kesamaran pentas sebelum Larry Mullen jr mengetuk drum memulakan intro lagu Sunday Bloody Sunday. Waktu ini satu perasaan seronok, gembira dan entah apa nama perasaan pun aku tak boleh nak bayangkan bukan saja kerana akhirnya dapat tengok U2 depan mata, bahkan gegaran bass drum yang menghentak dada ketika itu. Lama betul tak rasa perasan macam gini weh! Gitar The Edge mula menerawang menembusi deria pendengaran. Ada sedikit bingit di permulaan konsert ini. Tapi bukan bunyi feedback ya. Mungkin jurutera bunyi masih sedang cuba menala papan mixer agar dapat dikurangkan sebarang bunyi-bunyi yang tercela. Mengambil kira keadaan venue yang tertutup (Stadium Nasional ini dibina dengan bumbung yang boleh dibuka-tutup dan penganjur mengambil keputusan untuk mengadakan konsert dalam keadaan bumbung yang tertutup – mengambil kira musim hujan yang sedang melanda). Oh sebelum terlupa. Set pentas U2 ini adalah sesuatu yang ‘pelik’ pada aku. Untuk pertama kalinya aku tak nampak ada tiang truss di kiri kanan pentas. Manakala speaker pula semuanya digantung terus dari bumbung stadium yang ditutup. Wow! Satu kelainan berbanding persembahan pentas di Malaysia yang mesti ada elemen ‘stage & truss’ dalam setiap persembahan. Ditambah dengan skrin gergasi berukuran 61 meter X 14 meter dengan resolusi 7.6K membuatkan satu-satunya skrin yang paling besar dan paling tinggi resolusi yang pernah digunakan dalam mana-mana konsert. Patutlah tidak kelihatan layar di kiri kanan pentas untuk mereka yang berada jauh dari pentas!


(Pokok Joshua di atas pentas!)

Keadaan bunyi bertambah baik ketika lagu ketiga dimainkan. Ya, New Year’s Day berkumandang disambut sorakan bergema satu stadium sebelum diikuti dengan Bad dan lagu Pride (In The Name Of Love). Ketika ini U2 sudah mula bergerak ke bahagian belakang (untuk 5 lagu terawal, mereka membuat persembahan dari platform hadapan yang dibentuk seakan-akan bayang-bayang pokok Joshua yang menjadi latar belakang pentas dengan bahagian daun menjadi seakan pentas kecil). Lampuan merah dinyalakan menandakan bermulanya segmen lagu-lagu dari album The Joshua Tree dimulakan dengan bunyian synthesizer yang dimainkan secara playback (aku syak playback kerana tidak nampak sessionist di atas pentas). Mata aku hampir bergenang waktu ini kerana aku tahu Where The Streets Have No Name akan dimainkan dan tanpa segan silu, aku mula merakam video menggunakan telefon. Jangan risau. Tempat duduk stadium berteres, maka aku tidak menghadang siapa-siapa di belakang aku ketika aktiviti rakaman dijalankan. Kesempatan yang entah bila pula aku boleh ulang lagi. Takkan bila dah ada kesempatan sebegini, aku tak ambil kan? Tapi aku juga beringat. Iyalah. Tidaklah aku hendak merakam sepanjang konsert berlangsung. Biarlah yang lain-lain kekal dalam fikiran dan ingatan aku sahaja. Seperti contoh seorang makcik mat saleh yang menari di depan aku sepanjang konsert berlangsung. Kagum betul aku dengan beliau. Kuat staminanya!

(Tanda hormat kepada negara tuan rumah. Air pancut Merlion turut menjadi latar persembahan.)

U2 sebuah band yang pada aku sangat cakna dengan persekitaran dan tempat yang mereka pergi. Sebelum masuk lagu I Still Havent Found What I’m Looking For, Bono sempat menceritakan serba sedikit tentang lagu tersebut sebelum menambah ayat “find it in your mosque!” Ternyata beliau tahu demografi penonton di Singapura ini juga meliputi penonton dari Malaysia dan Indonesia serta Brunei yang majoritinya adalah beragama Islam. Mereka juga aku perhatikan mempunyai team grafik yang sangat bagus. Bayangkan sajalah ketika sedang live mereka masih boleh mengedit video secara real time dengan memasukkan elemen-elemen grafik atau photoshop yang membantu menaikkan lagi mood persembahan. Ternyata mereka bijak menggunakan elemen teknologi terkini dalam persembahan untuk menjamu penonton yang hadir ke konsert mereka. Sesuatu yang patut diambil perhatian oleh artis-artis tempatan ketika membuat persembahan pentas. Bukan sekadar deria pendengaran saja yang perlu dipuaskan tetapi deria penglihatan penonton juga (tapi tidaklah aku menyuruh membuat persembahan yang bisa mencolok mata pula).

(Bendera Singapura 'berkibar' megah di skrin gergasi di penghujung konsert. Majulah Singapura!)

Sebanyak 25 lagu dibawakan oleh U2 pada malam kedua ini. Pada pendengaran telinga aku, tidaklah walau sedikitpun pitching suara Bono kedengaran sumbang walaupun ketika menyanyikan lagu bernada tinggi. Curi angin itu biasalah. Beliau sudah berusia 59 tahun kot! Kena pula menyanyi dua malam berturut-turut. Selain menyanyi, Bono juga memainkan harmonika pada malam itu. The Edge juga kelihatan bermain keyboard untuk satu dua lagu selain bermain gitar seperti kebiasaan. Satu keburukan di tempat duduk aku ini ialah aku tidak nampak dengan jelas jenama gitar yang digunakan The Edge dan Adam Clayton. Aku ada perasan Gibson SG digunakan The Edge manakala bass Adam Clayton pula seakan Fender Jazz Bass di sesetengah lagu. Ah, aku lebih menumpukan perhatian pada skrin 7.6K resolution di belakang mereka berbanding apa instrument yang mereka guna. Mereka juga menggunakan dua set dram untuk Larry Mullen jr, satu di pentas satelit (bahagian daun bayang-bayang pokok Joshua) manakala dram utama di pentas utama. Namun sesuatu yang mengagumkan, walaupun dram di pentas satelit sifatnya mudah alih (kelihatan krew pentas membuka dram ketika persembahan memasuki segmen Joshua Tree sebelum memasang kembali di penghujung segmen) namun sound yang dikeluarkan tetap maintain. Tetap sama! Dahsyat betul jurutera bunyi mereka ini.

(Kasi chance la aku ambil gambar dengan gegantung di luar stadium sebelum konsert bermula.).

Aku meninggalkan stadium tepat jam 10.35 malam sesudah lagu One dimainkan. Kelihatan grafik ‘Singa Merlion’ sebagai lambang Singapura dengan warna merah putih sebagai latar menghiasi skrin gergasi sebelum bendera Singapura terpampang di penghujung lagu menandakan tamatnya persembahan mereka. Walaupun terpaksa berjalan kaki selama hampir sejam menuju ke Kompleks Golden Mile untuk menaiki bas ke Kuala Lumpur jam 12.45 pagi, aku merasakan inilah konsert yang paling cemerlang yang pernah aku tonton dalam 5 tahun kebelakangan ini. Walaupun tiket ‘PPRT’ aku berharga sama dengan tiket Pen A konsert Iron Maiden pada tahun 2011 dulu, aku tidak merasa ralat mahupun rugi membayar harga sedemikian menonton sebuah kumpulan yang ‘hanya’ mengambil masa selama 42 tahun untuk datang ke rantau sini.

Terima kasih U2 atas pengalaman menonton yang menakjubkan!

P/S: Untuk sesiapa yang nak layan rakaman amatur video yang sempat aku ambil ketika konsert ini, sila klik link di bawah.

Bullet The Blue Sky

Where The Streets Have No Name


BARBARIK PENTAS KERAS – PENUTUP MELAZATKAN UNTUK TAHUN 2022

Ura-ura untuk mengadakan konsert ini sudahpun sampai ke telinga aku sejak sebelum PM DS Ismail Sabri umumkan negara memasuki fasa pra-pand...