Merah Kuning Lambang Kebanggaan!



Setelah lama aku sekadar blog-hopping dari satu blog ke satu blog yang lain, tiba-tiba aku terasa nak tulis pasal bolasepak. Semua yang aku tulis adalah berdasarkan pengalaman aku. Pengalaman orang lain aku tak tau.

Sejarah aku dan bolasepak kalau nak diikutkan bermula pada tahun 1988. Masa tu Road To Wembley adalah rujukan utama pada ketika itu. Dan rancangan itu jugalah yang menemukan aku dengan team yang aku sokong sampai sekarang (yang aku rasa semua orang tahu..hahaha). Disulami dengan rancangan Serie A yang juga menemukan aku dengan Napoli, pasukan yang pernah kuat satu ketika dulu.

Perkenalan aku dengan bolasepak tempatan pula bermula pada tahun 1990. Waktu tu aku darjah 4 dan bersekolah sesi petang. Guru Bahasa English sekolah aku membuat tawaran untuk mengikut beliau ke Stadium Merdeka menonton perlawanan melibatkan pasukan Selangor dengan hanya membayar RM 5 untuk duit van beliau. Dan masa tu aku antara sebilangan saja murid darjah 4 yang teruja nak ikut beliau ke stadium. Aku ingat lagi waktu tu aku kumpul duit belanja sekolah dan simpan dalam tin coca-cola (waktu tu tin coca-cola senang2 je boleh muat syiling 50 sen). Bila dah penuh je aku tukar dengan arwah ayah aku untuk modal pergi stadium. Game pertama aku tengok Selangor lawan Perak. Result dia 0-0.

Tahun 1990 ni juga aku ingat-ingat ada dalam empat kali aku ikut cikgu aku ni pergi stadium. Kena game hari sekolah memang tak dapat aku lupa. 2-3 kali jugak aku terpaksa "tipu" GPK (guru penolong kanan) sekolah aku pasal nak ikut cikgu aku ni tengok Selangor main...hahaha. Skill tipu ni pun cikgu aku ni yang ajar tau! Masa tu aku memang boleh dikategori sebagai "kipas-susah-mati" Selangor. 1st eleven senang-senang je aku tapau, gosip pasal player semua aku ikut. Dah mengalahkan artis la cara aku puja player Selangor waktu tu. Game yang paling aku ingat waktu tu ialah semi-final Piala Malaysia antara Selangor vs Pahang. Selangor menang 4-0..pergh. Tak berhenti Mexican Wave waktu tu. Aku punya bersorak mengalahkan orang besar sampaikan ada sorang brader tu suruh aku makikan reff untuk dia pasal tengok aku bersungguh-sungguh maki reff time tu..hahaha.

Tahun 1991 ada jugak 2-3 kali aku ikut cikgu aku ni ke stadium tapi aku sendiri dah lupa game apa. Scene layan bola kat stadium ni aku teruskan sampai ke kemuncaknya pada tahun 95-97. Time ni aku buat hatrik pergi stadium masa final Piala Malaysia kat Stadium Shah Alam. Pahang-Sabah-Pahang merupakan lawan Selangor masa tu. Tahun1995 tu juga la buat pertama kalinya aku dengar lagu keramat "Merah Kuning" tu. Memang bergegar beb stadium. Masa tu rasa yang teramat best pasal sokong Selangor..hahaha (masa tu la).

Tapi lepas je tahun 1997 aku dah tak rasa nak pergi stadium lagi. Aku ada ingat pernah juga ikut kawan ke stadium masa musim 2004 rasanya. Tengok game Selangor vs Perak jugak. Tapi dah rasa hambar bila tengok bola kat stadium. Masa tu pergi stadium pun pasal nak rasa seronok pergi ramai-ramai dengan kawan-kawan je. Bukan nak tengok bola sangat pun.

Aku rasa semua orang bersetuju yang bolasepak tempatan pernah mengalami zaman kegemilangannya satu ketika dulu. Zaman-zaman aku berdebar-debar dengar "Live" melalui Radio 3 Shah Alam masa aku sekolah rendah dulu bila ada game Selangor. Zaman-zaman gossip pasal player bola kadang-kadang mengalahkan artis. Zaman-zaman ketika waktu berehat pasukan-pasukan seperti Kuala Lumpur dan Selangor adalah berehat di Holland dan Eropah dan apabila mendengar nama Jepun atau Korea Selatan, masing-masing sibuk buka peta nak tengok negara tu dekat mana. Aku hampir-hampir dah jadi members SSFC (Selangor Soccer Fan Club) waktu ni kalau tak pasal aku tak cukup duit nak bayar yuran keahlian setahun RM 50.00.

Sekarang ni apa yang aku mampu buat hanyalah tengok perkembangan Selangor FC dari jauh je la. Nak kata tak ada duit, aku rasa setakat nak beli tiket bermusim dah selamba sangat rasanya. Tapi rasa "berdebar" bila tengok pasukan kegemaran bermain tu dah lama hilang. Sekarang debaran tu digantikan pulak dengan Liverpool FC..hahaha. Camne nak jawab tu?

Cumanya bila aku mula kenal sorang kawan perempuan yang tak pernah "miss" untuk ke Stadium Paroi bila pasukan Negeri Sembilan beraksi (walaupun beliau bekerja dan duduk di Kuala Lumpur) mengubah kembali tanggapan aku. Aku rasa aku kena mula ke stadium semula. Dan aku kena carik balik "feel" berdebar bila tengok Selangor beraksi di stadium Shah Alam.

Erm...lepas ni Selangor lawan ape ye?

Kembali Kepada Fitrah

Masih dalam suasana hari raya. Hari Raya kali ini aku rasa macam agak kena dengan apa yang aku lalui. Memang patut digelar "Eidul Fitri" yang membawa maksud kembali kepada fitrah. Pada hari raya kali ini juga aku semacam dibawa kembali menelusuri zaman lampau dan merenung akan kehebatan silam. Apa benda tu?

Sebenarnya benda ni secara tidak sengaja tercungkil hasil dari sesi "sembang kencang "di kedai mamak Pelita di kawasan rumah aku. Dua bulan sudah ketika aku dan kawan-kawan se"lepakan" berbual-bual maka timbul terus topik mengenai sejarah dan asal usul Melayu. Maka banyaklah yang diperdebatkan tentang sejarah "asal" Tanah Melayu ini. Juga berkaitan pertembungan Sunnah dan Syiah serta macam-macam hal lagi. Kebetulan sesi teh tarik ketika itu dihadiri oleh kawan aku yang memang minat mengkaji bab-bab sejarah. Kebetulan pula aku pun memang suka sejarah (antara sebab aku minat Liverpool kot? hahaha).

Sedang kami rancak berbual dan kebetulan pula masuk topik Syiah Rafidah, seorang brader yang kebetulan duduk di belakang kami dengan sopan meminta izin untuk mencelah lalu terus menyambung apa yang cuba disampaikan oleh kawan aku mengenai Syiah. Secara tak langsung malam itu menyaksikan dua meja yang berasingan bercantum menjadi satu dan topik perbualan kami meleret-leret terus ke sejarah awal tanah melayu sehingga ke zaman Rasullullah S.A.W.

Apa yang aku cuba sampaikan ialah hasil daripada pertemuan dan penemuan tersebut, aku semakin terbuka dan semakin memahami tentang asal-usul keturunanku. Mungkin ada antara kita yang tidak berapa minat untuk mengetahui tentang salasilah keluarga masing-masing. Dan ada juga fanatik-fanatik di luar sana yang dengan lantang bersuara kononnya memperjuangkan Bangsa Melayu sedangkan aku cukup yakin definisi Melayu yang diperjuangkan adalah sangat sempit dan dangkal.

Melayu yang kami perbincangkan ketika sesi tersebut dan diperbaharui ketika sesi Hari Raya beru-baru ini definisinya sangatlah luas. Bukan sebuah bangsa yang hanya berkisar di sekitar Tanah Melayu sahaja. Malahan sejarah Melayu itu sendiri mencakupi sehingga Perang Salib yang dipimpin oleh Salahuddin Ayyub (fakta ini disahkan oleh seorang Profesor sejarah yang amat menggemari sukan bola sepak di negara ini). Tapi sayangnya sejarah keagungan bangsa Melayu itu sendiri seolah-olah cuba diubah atau ditutup dengan secara terancang. Bukan niat aku untuk meniupkan semangat perkauman tetapi kalau dikaji dengan mendalam, sebagai contoh kedatangan bangsa lain seperti kaum cina yang berdagang di Melaka suatu ketika dulu tidak langsung menggugat kedaulatan dan jati diri bangsa Melayu itu sendiri. Malahan bukan sedikit kaum cina yang berasimilasi dan akhirnya menjadi Melayu melalui peredaran zaman (Tanah Melayu juga digelar sebagai Tanah Jawi ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melaka dan menerangkan kenapa wujudnya istilah "masuk jawi" sebagai gelaran kepada mualaf). Tapi kenapa bila buruh-buruh cina yang dibawa oleh British tidak melalui proses asimilasi yang sama? Aku rasa semua sudah tau jawapannya.

Melalui sesi tersebut juga aku mendapat pencerahan mengenai asal sirah Kesultanan Melayu itu sendiri. Mungkin akan kedengaran pelik, kelakar dan tidak masuk akal tetapi percayalah yang kesultanan Melayu itu sudah wujud lebih awal sebelum terkaitnya perjanjian antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba. Malahan ada kajian yang mendakwa bahawa kesultanan Melayu ini berasal dari Iskandar Zulkarnain dan bercantum dengan susur galur keturunan Rasullullah atau digelar Ahlul-Bait. Cumanya jangan dihadam fakta ini bulat-bulat. Aku sendiri masih terus mengkaji akan kebenaran dan kesahihan fakta-fakta ini. Bukan bermaksud ingin membangga diri dengan Melayu itu sendiri tetapi mengambil semangat Eidul Fitri itu sendiri iaitu kembali kepada fitrah supaya lebih mengenal akan bangsa dan seterusnya cuba untuk mengambil sebanyak mungkin pengajaran dari kisah-kisah silam.

Sebagai permulaan, mungkin kita sudah boleh meninggalkan Sejarah Melayu versi Richard Olaf Winstedt dan Shellabear dan mula mengkaji Sulalatus Salatin versi Tun Sri Lanang (yang belum diubahsuai).

*Sedang mencari buku tulisan Suzana Osman (kakak Aziz M. Osman): Ahlul Bait dan kaitannya dengan Kesultanan Melayu.

**Juga sedang mencari buku terjemahan Debat Syiah & Sunni. Antara Rektor Universiti Al-Azhar dengan seorang pengamal Syiah. Mungkin akan memberikan sedikit pencerahan tentang Syiah yang sebenar (tertanya-tanya mengapa Ahlul-Bait banyak yang dibunuh ketika zaman Khalifah Umaiyah).

***Pedulikan tentang gaya bahasa aku yang agak "skema" tapi aku rasa perkara yang serius perlu ditulis dengan serius (harapnya dengan tatabahasa yang betul).


Telephantasm...

Selamat hari raya semua. Maaf zahir & batin. Agak panjang juga aku bercuti untuk raya tahun ni. Bukan pergi mana pun, lepak rumah saja..hahaha

Raya tahun ni ada perkara yang membuatkan aku excited tak tentu hala. Tak pernah-pernah aku gunakan kad kredit (adik aku punya) untuk membeli edisi pre-sale tapi kali ni memang aku tak boleh tahan..huhuhu

Ya..Soundgarden muncul kembali dengan Telephantasm. Ini merupakan rilisan terkini mereka selepas Down On The Upside (DOTU) dan juga selepas kembalinya mereka daripada pergaduhan yang cukup lama. Akhirnya baik Thayil mahupun Cornell menolak segala ego mereka dan kembali menjilat ludah masing-masing dan sanggup bersatu kembali di dalam sebuah kumpulan. Untuk makluman, merekalah band pertama dari Seattle yang berjaya menandatangani kontrak dengan major label (dari Sub Pop ke A&M Records) sebelum diikuti dengan Nirvana, Pearl Jam, Alice In Chains dan sebagainya. Kiranya kalau mereka tak buka jalan sign dengan major label, agaknya Nirvana masih ada lagi kot (tapi tak terkenal la macam sekarang..hahaha).

Walaupun ini adalah sebuah album kompilasi, bukan album baru tapi aku rasa cukup berjaya menaikkan perasaan teruja aku untuk menunggu hasil "terkini" mereka. Ialah, sampai sanggup beli versi pre-sale kat amazon.com. Dengan gambar-gambar terkini mereka perform bersama, apa lagi yang lebih best melainkan nak dengar balik jeritan Cornell mengiringi solo penuh berserabut Thayill, bassline merapu Shepherd dan juga ketukan off beat Cameron..fuh!

(gambar diambil dari Obefiend)

Apapun, marilah kita bersama-sama menunggu detik 28 September ni untuk melihat Telephantasm memasuki pasaran dunia (Malaysia aku tak pasti). Dan pastikan yang tulen!


Sedikit pasal bola.

Clash Of The Titans (??) malam tadi antara team aku (Liverpool) bertemu Setan Merah (Manchester United). 3-2 di Old Trafford. Memang aku tak sangka Berbatov boleh hatrik malam tadi. Tapi memang aku agak kecewa dengan pertahanan Liverpool. Walaupun pada mulanya aku gembira Lucas Leiva tak main, tapi dengan meletakkan Skrtel sebagai last-man menggantikan Agger, aku agak kurang berkenan. Pasal kecenderungan Skrtel untuk bertahan berbanding Agger yang berkebolehan untuk menjaringkan gol (Agger ada iras-iras Hyypia ketika muda..hahaha). Tapi nak buat macamana, bak kata Faroukh Bulsara the show must go on. Dan aku tetap bersama Liverpool walau macamana najisnya dorang main..huhuhuu

Diambil dari sini

YNWA!