Balada Pemuzik Tempatan...Bahagian Kedua

"Suasana di Malaysia emangnya berlainan dari di Jakarta. Di sana kami pentingkan sistem bunyi dahulu. Pentas dan lain-lain jatuh nombor dua yang penting soundnya wajib ngetop" Pipin Iskandar.

Dialog di atas adalah petikan perbualan (melalui private messsage @ fb) antara aku dan salah seorang tenaga kerja yang diimport dari seberang usai konsert Double Trouble di Bukit Kiara. Beliau ialah orang yang menjaga sistem lampuan ketika konsert tersebut dan juga sistem lampuan ketika konsert "Di Awan Biru" tahun lepas. Untuk makluman, jurutera bunyi juga didatangkan khas dari seberang dan merupakan rakan sepasukan beliau di sana (Indonesia).

Kenapa aku membangkitkan dialog ni? Seperti yang kita semua maklum taraf persembahan langsung di negara ini terutamanya yang melibatkan artis tempatan sememangnya mendukacitakan. Persembahan langsung yang dimaksudkan bukanlah semata-mata melibatkan artis itu sendiri (tapi memang ada artis yang hancur juga persembahannya) tetapi produksi untuk persembahan tersebut. Kerapkali faktor kewangan dijadikan alasan mengapa sesuatu persembahan tersebut gagal mencapai taraf yang memuaskan.

Aku pernah bertekak dengan seorang anonymous dalam sebuah blog pasal kualiti sound konsert di Malaysia. Si anon secara terus menempelak mengatakan peralatan yang ada di Malaysia tak cukup bagus (out to date) berdasarkan pengalaman beliau lepak2 dengan soound engineer Korn ketika konsert mereka satu ketika dahulu.

Aku kurang setuju dengan pandangan anon tersebut. AKu rasa peralatan yang kita ada sudah lebih dari cukup untuk penganjuran sesebuah konsert berskala besar. Yang menjadi masalah pada aku adalah sikap orang yang terlibat secara langsung dalam perjalanan sesebuah konsert. Aku ada di Cyberjaya ketika Toto datang untuk jelajah "Falling In Between" pada 2007. Ketika borak-borak dengan salah seorang krew konsert, aku diberitahu yang sistem bunyi yang digunakan bernilai kira-kira RM 20,000.00. Dan sound Toto malam tu tersangatlah superb! Jadi apa yang menghalang konsert-konsert artis tempatan untuk mencapai taraf macam Toto?

Realitinya produksi di Malaysia pada aku masih belum mencapai tahap seperti di luar negara. Antara sebabnya ialah kita tiada produksi yang terlibat secara sepenuh masa untuk konsert berbanding luar negara. Mungkin faktor kekerapan konsert boleh diambil kira tetapi sepatutnya kita sudahpun ada perancangan untuk mengatasinya. Faktor "nak untung lebih" pun aku lihat terlibat secara tak langsung dalam permasalahan ini. Seperti yang semua tahu (kepada sesiapa yang pergi la) ketika konsert Double Trouble @ Bukit Kiara tempoh hari, sound yang terhasil seperti ada kasta. Ada tempat yang sedap dan ada tempat yang jahanam terutama di hujung-hujung indoor arena. Sebabnya? Tiada delay speaker untuk menampung bunyi yang keluar dari speaker utama. Akibatnya bunyi bergaung yang didengari kepada yang duduk di hujung arena.

Lagi satu yang aku rasa tak patut ialah pentas yang berlebih-lebihan. Kalau kita rajin tengok konsert-konsert rock luar negara, reka corak pentas adakalanya simple je. Setakat ada platform untuk gitaris dan penyanyi berlari tanpa mengunakan lampuan atau bunga api yang menyemak mata. Tapi di sini yang dijadikan keutamaan adalah pentas. Dengan set yang terlampau canggih sampai mengenepikan bajet untuk sistem bunyi. Akhirnya hasil yang dapat adalah gambar artis yang cantik di atas pentas tapi sound system hancur!

Pada aku pentas yang gah dengan efek-efek yang canggih berguna kalau konsert tu konsert artis yang berkonsep. Macam Pink Floyd atau Radiohead. Penonton yang datang memang nak tengok magis mereka ketika membuat persembahan. Tapi kalau setakat rock n roll band punya konsert, memadai sebenarnya pentas yang simple tapi sistem bunyi yang canggih yang sepatutnya diberi keutamaan. Yang lebih mengharukan artis yang akan dipersalahkan kalau sound system hancus padahal dorang pun dapat bayaran lumpsum daripada pihak penganjur. Apa cerita?

Rasanya panjang lagi kalau aku nak cerita mengenai produksi konsert di sini. Memadai kalau aku buat kesimpulan bahawa selagi tiada keikhlasan hati untuk menganjurkan sesuatu konsert dan sikap untung lebih masih wujud, maka tahap konsert di Malaysia akan tetap pada takuk tersebut dan yang paling sedih, artis jugalah yang akan dapat nama busuk seolah mereka yang menganjurkan konsert tersebut.

Balada Pemuzik Tempatan..

Setiap dari kita boleh dikatakan mesti meminati sesebuah kumpulan ataupun penyanyi tempatan. Tak kiralah daripada apa genre sekalipun...rock, metal, pop, jazz, blues..namakan apa saja genre. Pasti kita semua minat dan mengikuti perkembangan penyanyi pujaan kita. Walaupun akan ada suara-suara yang memberikan pelbagai hujah kepada mereka-mereka yang meminati artis dengan alasan seperti "muzik itu haram", "artis tak layak jadi idola" dan sebagainya. Sebagai seorang yang menganut agama Islam dan lahir dari kalangan masyarakat di negara yang agama rasminya adalah Islam, aku rasa kalian sudah tentu mampu untuk menyanggah hujah-hujah sebegini bukan?

Tidak kurang juga dari kalangan kita yang meminati sesetengah penyanyi yang berasa kecewa dan seterusnya menyalahkan penyanyi tersebut sekiranya persembahan ataupun rakaman album terbaru penyanyi tersebut tidak menepati citarasa mahupun kepuasan diri. Kita akan terus menghukum dengan terus membuat kesimpulan bahawa penyanyi tersebut dah tua, hisap dadah, kaki putar duit dan segala benda yang buruk-buruk tanpa kita mengetahui masalah sebenar yang berlaku di sebalik "industri" yang boleh dikatakan "glamour" ini.

Pada pendapat aku, kebanyakan di antara kita selaku peminat terlalu mengharapkan sesuatu yang tinggi dan ajaib untuk dipersembahkan oleh penyanyi yang kita minati. Sebagai contoh kalau kita meminati kumpulan rock, maka kita akan mengharapkan supaya mereka dapat mempersembahkan lagu-lagu atau konsert seperti mana yang kita dengar album-album lama dorang yang sudah berusia 20 tahun! Alasan yang selalu kedengaran ialah "orang putih boleh buat."

Aku tak kata kita tak boleh mengharap sebegitu tapi kadangkala ianya tidak adil untuk penyanyi itu sendiri. Mengambil contoh artis luar. Kadangkala apabila mereka mengeluarkan sesebuah rilisan terbaru, ianya akan diikuti dengan siri jelajah konsert berbulan lamanya. Sudah tentu apabila sudah sering didalam konsert, maka tahap ketepatan mereka bermain dan mempersembahkan muzik mereka akan sentiasa meningkat. Ibarat seperti kita makan nasi menggunakan tangan..pejam mata pun nasik boleh masuk mulut bukan? Tapi kita seakan terlupa yang kebanyakkan konsert artis luar hanya kita nikmati di peti tv. Samada ianya vcd atau dvd dan semestinya sudah banyak yang diedit dan hanya ditunjukkan yang terbaik sahaja. Tanpa kita sedari bahawa daripada kesemua persembahan mereka, pasti akan ada 2-3 konsert mereka yang jahanam juga seperti penyanyi kita bukan?

Aku akui kadangkala aku sendiri berasa kecewa apabila menonton sesebuah konsert berbayar artis tempatan, ianya jauh daripada pengharapan aku. Mungkin kerana aku membandingkannya dengan artis-artis luar yang aku berpeluang untuk menonton persembahan mereka. Tapi aku rasa tidak wajar untuk aku terus menghentam mereka dan bertindak untuk memulaukan mereka terus hanya kerana persembahan mereka yang mengecewakan. Sekurang-kurangnya mereka telah berjasa kepada aku kerana muzik merekalah aku kini berpeluang mengenal artis-artis luar pula dan seterusnya mengikuti perkembangan mereka serta boleh pula ke konsert mereka.

Pada aku sudah tiba masanya kita sebagai peminat memberikan sokongan penuh kepada persembahan berbayar artis tempatan walaupun mungkin persembahan itu tidak mencapai tahap kepuasan kita. Ini masanya untuk membalas budi dan jasa (kalau boleh dipanggil sebagai budi dan jasa) mereka atas pengorbanan mereka selama ini yang memperjuangkan muzik mereka sehingga ianya sampai ke pendengaran kita. Sehebat manapun muzik yang kita dengar, ianya akan bermula dari penyanyi tempatan dulu yang kita minati yang kemudiannya merangsang kita untuk menjelajah muzik-muzik luar pula. Selaku peminat, tak perlu kita untuk mengambil pusing samada si gitaris bergaduh dengan bassist atau produksi konsert songlap duit. Pada aku, muzik yang bagus perlu dinikmati dengan sebaik mungkin dan pedulikan tentang perkara-perkara luaran. Yang paling utama, enjoy the music!

p/s: Artikel ini hanya menyentuh mengenai persembahan sesebuah artis, tidak menyentuh tentang produksi konsert. Kalau aku rajin, nanti aku sambung...

Cahaya Di Ufuk Timur...

Sehari dua ni aku rajin mendownload lagu-lagu nasyid klasik. Klasik maksud aku bukanlah zaman-zaman Orkes El-Soraya tu semua, tapi lebih kepada nasyid di zaman kegemilangan Al-Arqam dulu. Korang ingat lagi tak dengan Al-Arqam? Satu pergerakan yang telah diharamkan pada tahun 1993-94 dulu.

Pergerakan ni mengambil nama sempena nama sahabat nabi muhammad (saw), Al-Arqam bin Abi Arqam yang mula-mula memberi rumahnya untuk digunakan oleh baginda ketika episod pertama dakwah baginda secara senyap-senyap selama 3 tahun di Mekah. Ok, cukup tentang sejarah. Sila google sendiri ataupun cari buku-buku sirah nabi di kedai-kedai buku untuk sambungan ye..

Aku dan pergerakan ni sebetulnya agak dekat. Ini berkait dengan saat-saat terakhir sebelum pergerakan ni diharamkan. Ketika itu aku bersekolah di Kajang,sebetulnya sebelah masjid Kajang. Tiap kali hari jumaat mesti akan ada seorang peniaga air soya yang datang dari pergerakan al-arqam ni. Dengan berjubah hijau dan bercelak, aku suka betul bila brader ni berniaga. Satu pasal soya dia sangat sedap. Terasa balance je rasa soya & gula bila layan soya dia. Satu lagi pasal brader ni tak berkira. Di zaman yang air bungkus ketika tu berharga RM 0.50, kalau aku tak cukup duit memang selalu brader tu kasi aku beli air dengan harga RM 0.20 atau RM 0.30. Pergh..mana nak carik kan? Kat kantin sekolah pun tak boleh dapat harga macam tu..hehehe.


Zaman-zaman ni jugak aku tengah galak dengar nasyid-nasyid Arqam. Masa ni kaset yang paling top masa tu bertajuk "Cahaya Di Ufuk Timur" oleh Nadamurni. Aku tak sempat beli kaset ni. Cuma sempat beli kaset "Malaysia Indah" dan kompilasi "Kemeriahan Di Aidilfitri". Nadamurni ni adalah salah satu cabang kumpulan nasyid di bawah Al-Arqam ni. Ada lagi dua kumpulan iaitu Soutus Safwa (untuk kanak-kanak) dan The Zikr.

Pecahan dari Nadamurni setelah pengharaman Al-Arqam lah yang menghasilkan Rabbani dan Hijjaz. Jadi Nadamurni ni dulu memang kumpulan nasyid yang paling otai la. Bayangkan je la dia punya lead vocal arwah Asri & Muniff. Memang bersahut-sahut kalau part tarik tu. Siap dengan lenggok lagi. Manakala The Zikr pasca pengharaman Al-Arqam telah bertukar menjadi Raihan yang kita kenali sekarang dengan lead vokal oleh Nazrey (sekarang dia dah jadi artis solo).

Nostalgianya nasyid lama-lama ni pada aku ialah kerana alatan muzik yang digunakan terlalu asas tapi sedap. Tak perlu guna loop, bass, guitar, drum dan sebagainya. Hanya gunakan gendang, dhabooka dan kengkadang djembe dan tamborine je. Tapi tetap sedap lagu-lagu tu. Memang ada dua-tiga lagu (dan mungkin lebih) yang agak keterlaluan sesatnya memuji abuya sebagai pemimpin bani tamim tapi itu tak menghalang aku untuk enjoy banyak lagi lagu-lagu dorang ni.


Daripada pengaruh dorang ni jugak lah semua sekolah agama masa tu berlumba-lumba nak wujudkan kumpulan nasyid. Ada yang berjaya dan seterusnya terkenal seperti SMKA Maahad Hamidiah yang mewujudkan Mirwana dan pecahan dari Mirwana (1st batch) inilah yang menghasilkan Brothers yang diketuai oleh Yassin. Juga SMAP Kajang yang terkenal dengan All 4 Ummah dan serpihan dari All 4 Ummah ni pula menjadi Saujana (sekolah aku ni..hahaha).

Kalau mengikut arus muzik perdana, jualan album tertinggi dicapai oleh kumpulan Raihan denagn album Puji-Pujian bukan? Dengan jualan mencapai 500,000 unit. Tapi kalau diambil kira dari zaman Al-Arqam ni, jualan album tertinggi dipegang oleh kumpulan Nadamurni dengan album Asma'ul-Husna yang mencatat jualan sebanyak 1 juta unit. Method jualan album-album nasyid dulu ni senang je. Pergi sahaja ke kedai-kedai yang menjual buku-buku agama, alatan ibadah ataupun kedai-kedai OVA (Odio Video Arqam) maka disitu hampir semua album nasyid ni dijual. Method yang boleh ditiru rasanya oleh pihak-pihak bertanggungjawab untuk memasarkan album tempatan iaitu menjualnya ditempat yang senang untuk di akses. Dahulu antar punca jualan album tempatan tinggi adalah kerana peniaga pasar malam dibenarkan untuk menjual album original artis tempatan. Tapi selepas kebenaran ditarik balik, tengok apa sudah jadi?

Jadi kepada sesiapa yang nak mendownload nasuid-nasyid klasik ni, sila klik sini. Mamat ni dah siap-siap convert hampir semua stok nasyid dia jadi mp3..hehehe