Nak tiket free / diskaun boleh?

Semalam aku dan mata kucing yang boleh berjalan telah ke Amcorp Mall. Selain daripada menambahkan lagi koleksi cd kitorang (dan juga menipiskan kocek masing-masing) antara acara wajib ialah melepak di mamak bawah tepi escalator. Kebetulan semalam ramai pulak ahli-ahli mesyuarat tingkap dan topik yang disembangkan pun juga menarik. Secara tak langsung aku mendapat satu lagi ilmu baru (walaupun ilmu dunia, masih tetap ilmu bukan) dan aku rasa nak berkongsi disini.

Selalu kedengaran yang negara kita ketandusan konsert artis luar (lebih tepat konsert rock artis luar). Ramai yang mengharapkan band2 terunggul dan lagenda macam Metallica, Iron Maiden, Loudness dan lain untuk datang mengadakan persembahan disini. Tapi mungkin kita tidak pernah nak amik tahu kenapa band2 ni tak nak datang Malaysia. Selain dari kekangan dari pihak kerajaan, ada juga sebab2 lain yang membantutkan hasrat kita untuk melihat mereka beraksi di depan mata.

Faktor utama ialah DUIT. Band2 ini mengenakan charge ikut kepada rate negara mereka, bukan negara kita. Amik contoh Scorpions. Mereka mengenakan charge sekitar Euro 150,000 ke Euro 250,000 untuk satu kumpulan. Ini baru harga kumpulan ok, belum masuk harga krew dan peralatan dorang. Katakan lah harga untuk krew dan peralatan adalah Euro 100,000. Jadi disini sahaja sudah Euro 300,000 (amik rate band Euro 200,000).

Kemudian masuk bab kemudahan. Penganjur perlu sediakan pengangkutan di sini dan juga tiket kapal terbang mereka beserta krew. Demand untuk rockstar seperti yang kita tahu...hahaha. Untuk Scorpions dipahamkan mereka mahukan kereta bertaraf limosin sorang sebijik sebagai pengangkutan mereka di sini. Jadi agak2 berapa kos untuk pengangkutan sahaja?

Kemudian masuk pula bab penginapan. Untuk artis sebesar Scorpions, takkan penganjur nak letakkan di hotel Sri Malaysia kan? Sekurang-kurangnya hotel seperti Mandarin Oriental atau setaraf dengannya yang terpaksa pihak penganjur sediakan. Untuk satu bilik suite boleh mencecah RM 300 - RM 500 semalam. Rockstar takkan nak berkongsi bilik bukan? jadi boleh kira berapa banyak bilik yang perlu disediakan oleh penganjur? hehehe

Kemudian penyediaan untuk permit bekerja. Dipahamkan permit bekerja untuk warga asing mencecah RM 2,500 satu kepala. Seperti sedia maklum band2 rock luar akan membawa team mereka sendiri yang terdiri dari guitar tech, drum tech, sound engineer, monitor engineer, lighting engineer, rowdy dan krew2 lain. Katakanlah kekuatan team ni ialah 20 orang. Maka RM 50,000 perlu dikeluarkan oleh pihak penganjur untuk permit kerja sahaja. Ini belum masuk PUSPAL lagi. Bond jaminan bank perlu disediakan mengikut rate ini.

Tiba untuk part venue. Band besar seperti Scorpions tentunya perlukan venue yang besar dan open air (kecuali dah memang konsert unplugged / orkestra). Sewa untuk stadium (disini ambil contoh Stadium Merdeka) menjangkau RM 200,000 untuk sehari. Stadium perlu disewa sekurang-kurangnya 4 hari ke seminggu untuk persiapan pentas dan sebagainya. Sewa stadium saja dah menjangkau RM 800,000 ke RM 1 juta...banyak bukan? Jangan lupa yang pihak penganjur juga terpaksa menanggung 15% cukai hiburan dan cukai perkhidmatan. Tu belum masuk income tax, insurans..bla..bla..

Ini kos2 yang memang nyata. Belum dicampur kos2 yang terlindung (promosi radio & tv, tiket, security, makan krew etc..etc..). Kalau kita campur kos dari awal tadi boleh mencecah RM 5juta (dan mungkin lebih!) untuk kos penganjuran sahaja. Pihak penganjur akan estimate berapa jumlah pengunjung yang datang untuk mendapat break even. Katakanlah target audience adalah 20,000 penonton maka harga tiket mungkin diparas RM 250 (plus minus). Dan standard orang Malaysia akan kata yang harga tiket adalah mahal!

Pernah tak kita terfikir kenapa konsert2 di Singapura harga tiket semua mahal? Tak payah convert currency pun dah cecah SGD 100++ bukan? Kalau diambil kira kos nak anjurkan konsert artis rockstar ni, rasanya takkan ada promoter yang sanggup...huhuhu

bersambung...

p/s: Sebelum tu, aku nak kasi kira-kira sikit seandainya nak bawak masuk IRON Maiden ke Malaysia...

Bayaran untuk SETIAP ahli = RM 1juta (Maiden ada 6 orang bukan?)
Rate parking kapal terbang kat KLIA = RM 200,000 sehari
Boleh agak berapa kos nak bawak masuk Iron Maiden? hehehe


p/s: kira-kira yang aku gunakan didapati dari seseorang yang biasa berurusan dengan artis luar / agent mereka. Angka2 yang diberikan mungkin tidak 100% tepat tapi boleh digunakan sebagai rujukan.

Selamat Datang PilihanRaya!

Apabila duit peruntukan turun mencurah
seperti musim monsun di Kelantan..
Apabila maruah disingkap umpama
menyelak kain pelacur di lorong "lampu merah"..
Apabila kerajaan dan parti pemerintah disamakan
umpama minyak lenga dan minyak bijan..
Apabila berduyun-duyun pembesar negeri
memenuhi kawasan-kawasan pedalaman..
Apabila rumah-rumah sewa dan hotel-hotel kawasan sekitar
mengeluarkan notis "fully booked"..
Apabila sepanduk-sepanduk dan kertas-kertas
bertaburan di simpang-simpang jalan..
Apabila yang miskin tiba-tiba
menjadi mewah seketika..
Apabila si papa mendapat pembelaan
dalam sekelip mata..
Apabila yang merempat dikurniakan
tanah barang sekangkang kera..
Maka...
Ucapkanlah Selamat Datang kepada Pilihan Raya!
Menjadi rahmat pada masyarakat desa..
Menjadi duka pada keluarga bekas Ketua..
Kerana tanah kubur masih merah
tetapi orang semua sudah ghairah..
Peramal dan pelobi semuanya "busy body"..
Semua kerana 1Undi!

Patah yang tumbuh, hilang yang berganti...

"Hari minggu yang lalu, bawa awek tengok citer hantu"..hahaha. Saja nak nyanyi lagu Senario sebagai intro entry ni. Tapi memang ada kaitan pun dengan hujung minggu aku yang lepas..

Aku pernah cerita dulu dalam entry yang lepas-lepas pasal "bini" no. 2 kesayangan aku telah dirampok dan "bini" 1st aku dicederakan. Sejak dari hari tu, secara tak langsung telah menimbulkan azam baru pada aku untuk mencari pengganti "bini" no. 2 aku tu. Yelah..nak berkabung lama-lama pun tak guna juga..

Jadi aku telah membuat satu perjalanan "24jam" bermula dari jumaat lepas ke Temasek. Tujuan utama memang untuk melamar tuan puteri Sterling yang diam di Serangoon. Nak kata perjalanan ke sana tu takde la mencabar sangat. Paling2 idak pun halangan dari hulubalang kastam Tanah Melayu & Temasek di pintu masuk Tuas. Berjaya jejak kaki di tanah besar yang pernah dijejaki oleh Parameswara ni tepat jam 6.30am. Tempat landing, Jalan Sultan (Beach road). Sempat jugak bas aku tu lalu tepi kasino baru yang tengah buat kat tepi laut tu. Tempat yang bakal penuh dengan orang melayu dari tanah melayu (pasal kat puncak Gunung Ulu Kali tu orang melayu tak boleh masuk kan? hehehe).

Setelah diajar cara-cara menggunakan perkhidmatan awam oleh Otai Besar Yishun, Deaf dan dibawa sarapan kat area 24 jam Mall Mustafa (sempat lagi beli dvd Ketika Cinta Bertasbih. Harga masa Pesta Buku itu ari sampai RM 50 sekeping. Bapak mahal), terus aku ke istana hinggap tuan puteri di Serangoon dan mengadap Maharaja untuk tujuan merisik dan berbincang wang hantaran. Kat sini ada sorang lagi Otai Besar yang bawak aku mengadap maharaja. Otai Besar Woodlands, Royhan (dia takde blog la pulak). Kalau harap aku sorang silap2 sampai ke Batam aku..hahaha.

Selesai urusan wang hantaran akhirnya tuan puteri selamat dalam dakapan. Otai Besar Woodlands kemudian bawak aku pergi Mall Peninsular pulak. Katanya mall ni banyak kedai-kedai barang muzik dan harga dia pun boleh tahan murah (serius dah tukar matawang tanah melayu pun masih murah). Sempat aku beli strap & strap lock untuk tuan puteri aku ni..hehehe. Dari Peninsular kemudian kami terus ke Jalan Sultan (Beach road) untuk santapan tengahari aka beli tiket bas.

Jam 1.30pm aku dah ada dalam bas bersama-sama tuan puteri dan bersedia meninggalkan Temasek. Memang terlepek aku dalam bas. Dengan tak mandi dari malam, badan pulak berlengas satu macam. Tapi aku puas. Akhirnya tuan puteri sudah dalam genggaman..hahaha. Pukul 8.15pm aku dah sampai Puduraya setelah sangkut hampir sejam kat Sg. Besi angkara hulubalang-hulubalang Jang yang mengamuk nak masuk stadium (malam final Piala F.A daaa).

So sekarang masa untuk melihat samada tuan puteri punya performance boleh menandingi bekas bini no. 2 dulu..huhuhu. Khamis malam ni dan sabtu malam ni bakal menjawab segala pertanyaan..hahaha

Specs tuan puteri Sterling:

Swamp Ash Body
Maple neck
Rosewood fingerboard on BK and HB finishes and Maple fingerboard on NAT finish
21 frets
6 Bolt Music Man Designed Neck Joint
Music Man® Designed Humbucking Pickup
Music Man Designed 3 band Active Preamp
3 Way Switch for Series/Parallel combinations
Music Man® Designed Bridge w/ Stainless Steel Saddles
34" Scale
Open Gear Heavy Duty Tuners
Spoke Wheel Truss Rod Adjustment
Heavy Duty Gig Bag Included
Ernie Ball Bass Strings: .045, .065, .080, .100, .130
Nut Width: 45mm (1.77")
Natural, Black, Honeyburst

Nak tengok gambar,

Karut & serabut

Jemu pulak rasanya bila asyik menulis pasal konsert Double Trouble ni. Tapi bila nak menulis pasal benda lain, tak tau pulak apa yang nak ditulis.

Nak cerita pasal aku layan Mat Som kat Colliseum bulan lepas? Berapa kerat je yang masih ingat cerita arahan Dr. Hatta Azad Khan yang menampilkan Imuda sebagai Mat Som tu kan? Aku sendiri cuma harapkan novel grafik dari Dato' Lat yang menjadi sumber adaptasi filem ni yang boleh mengingatkan aku akan dialog-dialog dan babak-babak filem ni. Antara filem yang aku rasa kalau dibikin semula untuk masa kini, masih mampu melemparkan kritikan sosial yang masih relevan dengan zaman sekarang. Tapi apa orang peduli bukan? Kisah mat rempit / mat kereta turbo yang konon sudah insaf atau bagaimana seorang perempuan menjadi bohsia lebih dianggap sebuah modal cerita yang terbaik atas dasar "membawa mesej keinsafan kepada khalayak". Ada ke patut?

Nak cerita pasal aku berhabis kat PWTC masa Pesta Buku AntaraBangsa Kuala Lumpur tempoh hari? Orang lain pun baca dan beli buku juga. Silap-silap majalah pun ada. Padahal dari banyak-banyak buku yang aku berhabis tu, yang betul-betul khatam baru satu buku. Bidadari Paderi, sebuah fiksyen yang bersandarkan fakta sejarah penentangan kaum Paderi di Matur & Bonjol, dalam daerah Minangkabau yang menentang penjajahan Belanda. Karya penulis seberang, Saiful A. Imam terbitan PTS Litera pada aku antara buku-buku yang berjaya mengangkat tema fiksyen dan sejarah bersatu dalam sebuah buku. Tapi apa orang lain peduli kan? Cerita cengeh dan sedih-sedih kisah putus cinta masih menjadi pilihan penulis-penulis kita bukan? Ada ke patut?

Nak cerita pasal kemeriahan konsert Double Trouble ni? Lagi la merepek. Di saat terdengar suara-suara yang mempersoalkan mana bakat-bakat tempatan punya konsert, masih ada yang mengatakan harga tiket RM 70.00 tu sebagai mahal. Masih ada yang nak menagih tiket percuma, back stage pass dan sebagainya. Sedangkan band "purple" dari seberang yang juga akan mengadakan konsert pada hari yang sama (bukit yang berlainan) tak de siapa pula yang nak mempertikaikan tiket mahal. Padahal tiket VIP sampai RM 200! Ada ke patut?

Jadi sampai bila kita perlu nak menyalak pada perkara-perkara yang kita sendiri tak paham sebenarnya? Di saat slogan 1 Malaysia begitu sibuk dijaja, sekolah rendah pula ditukar nama dari SRK kepada SK. Saat aku bersekolah dulu, bukan satu taboo berkongsi tosai dengan kawan india, mengayuh basikal dengan kawan cina tapi sekarang perkara-perkara sebegitu sampaikan perlu disumbat melalui minda separa sedar kita pula. Setelah 53 tahun merdeka dan 6 Perdana Menteri melayu, kita masih berbicara tentang perpaduan antara kaum, perlukan Perkasa dan menyalak untuk ketuanan melayu...

Ada ke patut!

Permulaan sebuah cerita...


Hidup sebagai pemuzik yang memperjuangkan irama rock sebagai karier bagi menyara hidup mungkin indah di pandangan mata orang namun hakikatnya dugaan yang melanda begitu mencabar. Tanpa kecekalan, populariti yang pernah dikecap mungkin tinggal nama sahaja kerana bukan mudah untuk bertahan sebagai anak seni yang memperdagangkan bakat demi memeriahkan persada hiburan tanahair.


Pelbagai dugaan seperti isu cetak rompak yang kian parah, ditipu promoter-promoter konsert, isu digam media, kerenah syarikat rakaman hinggalah ke isu kontroversi imej rambut panjang yang dibawa antara rencah kehidupan yang mewarnai perjalanan karier sesebuah kumpulan rock dan inilah liku-liku yang pernah dialami kedua-dua buah band Wings & Search sebelum dinobat sebagai ikon rock tanahair.

Memang bukan mudah untuk bertahan lama andai tiada kecekalan lantas inilah yang dijadikan inspirasi untuk menerbitkan sebuah album gabungan kedua-dua band tersohor ini. Bernaung di bawah satu bumbung, album usahasama Go Search Sdn Bhd dan Fly-Wings Sdn Bhd serta diedarkan oleh BMG Pacific Sdn Bhd ini telah diterbitkan bersama Search, Wings dan M.Nasir. Album yang mulanya ingin diberi judul sebagai “A Lot Of Trouble” ini bagaimanapun ditukar sebagai “Double Trouble” lantaran pelbagai kesukaran yang terpaksa ditempuhi sebelum ianya menjadi suatu kenyataan.

Album ini begitu istimewa kerana buat julung-julung kalinya di zaman itu, dua buah band yang pada hakikatnya bersaing dalam arena rock, telah menepis ego masing-masing dan bekerjasama bukan sahaja di atas satu pentas konsert akan tetapi di dalam sebuah album. Bukan sahaja berganding untuk menghasilkan masing-masing 4 buah lagu, 2 buah lagu duet dan sebuah jingle, malah Double Trouble jua memperlihatkan terjalin juga kerjasama dalam aspek permainan muzik. Itulah ikatan keserasian yang termeterai dan diterjemahkan di dalam Double Trouble...

* untuk sambungan artikel ini, sila lawati website rasmi Wings di sini..sini..
**artikel asal adalah sumbangan seorang peminat Wings dari Johor yang juga Sayap-Sayap Wings...Sufrizal
***Gambar adalah dari keratan URTV tahun 92/93 dan diimbas oleh Madi S..W.A.T